Khamis, 12 April 2012

Kepemimpinan Berkesan Penentu Semangat Berprestasi (Spirit of Performance) Organisasi Pendidikan

1. Apakah yang menyebabkan kakitangan di dalam sesebuah organisasi pendidikan bekerja dengan gembira dan  sentiasa berusaha serta menunjukkan prestasi kerja yang tinggi?

2. Antara jawapannya ialah wujudnya penetapan matlamat kerja kakitangan  yang selaras dengan matlamat organisasi. Hasilnya, sudah tentu  secara tidak langsung  membantu  pencapaian prestasi organisasi di tempat kerja kerana mereka telah mendapat kepuasan bekerja.

3. Bagaimana pula caranya untuk mendapatkan rasa gembira di tempat kerja dan seterusnya membantu menyumbang kepada prestasi tinggi organisasi?

 4. Jawapannya sudah tentu di tangan pihak pemimpin organisasi sendiri yang melalui segala usahanya memperkenalkan budaya kerja  baik kepada semua kakitangannya selaras dengan nilai utama Kementerian Pelajaran.

5. Selain itu, pemimpin organisasi haruslah memfokuskan terhadap nilai dan kekuatan utama organisasi yang dipimpinnya.

6. Seterusnya, melalui usaha menyelaraskan matlamat pekerjaan kakitangan dengan matlamat organisasi dengan memberi pemahaman terhadap kakitangan tentang amalan-amalan baik di dalam organisasi.

7. Salah satu ciri  sesebuah organisasi pendidikan yang hebat adalah kemampuannya mengubah orang (kakitangan) biasa   menjadi kakitangan yang mampu menghasilkan sesuatu keputusan (contohnya keputusan peperiksaan awam) yang luar biasa.

Isnin, 9 April 2012

Pengaruh Kecerdasan Emosi Dalam Kepemimpinan Pendidikan

1. Kemunculan teori kecerdasan emosi telah menambah satu dimensi baru dalam bidang kepemimpinan pendidikan.

 2. Dalam konteks kepemimpinan pendidikan kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan seseorang pemimpin untuk mengenalpasti, menilai dan mengawal emosi sendiri, orang lain atau sekumpulan manusia di bawahnya bagi membantu mencapai matlamat organisasi.

3. Sesetengah penyelidik percaya bahawa kecerdasan ini boleh dipelajari tetapi ada juga yang berpendapat bahawa keupayaan ini wujud sejak seseorang itu dilahirkan lagi.

 4. Kemampuan kecerdasan emosi seseorang pemimpin pendidikan dikatakan mempunyai hubungan positif dengan kejayaan organisasi yang dipimpinnya.

Rabu, 15 Februari 2012

Sekolah Sebagai Institusi Sosial

1.   Organisasi  ditakrifkan sebagai sebuah unit sosial yang berusaha mencapai matlamat  yang telah ditetapkan bagi organisasi tersebut.

2.   Sekolah dikatakan sebagai sebuah institusi sosial kerana organisasi ini terdiri daripada beberapa kumpulan manusia iaitu pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru yang lain yang berperanan bersama-sama bagi mencapai matlamat organisasi.

3.   Setiap ahli  kumpulan di dalam organisasi sekolah mempunyai set peranan dan kedudukan  masing-masing yang seterusnya akan menentukan segala tindakan mereka di dalam institusi tersebut.

4.   Namun demikian, setiap kumpulan di sekolah sama ada pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru mempunyai peranan,  dan nilai yang berbeza-beza antara satu sama lain dalam usaha  mencapai matlamat organisasi sekolah.

Jumaat, 10 Februari 2012

Kecekapan Pengurusan Pelanggan Penentu Pendidikan Berkualiti

1. Dalam konteks pengurusan pendidikan, pelanggan merujuk kepada  pengguna perkhidmatan pendidikan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan pendidikan iaitu sesebuah institusi pendidikan yang disediakan oleh sama ada pihak kerajaan atau swasta.

2. Status pelanggan sesebuah institusi pendidikan ditentukan oleh hubungannya dengan sesebuah institusi pendidikan

3. Terdapat dua jenis pelanggan bagi sesebuah institusi pendidikan iaitu pelanggan luar dan pelanggan dalaman yang juga dikenali sebagai pihak berkepentingan (stakeholders).

4. Pelanggan dalaman sesebuah institusi pendidikan adalah seperti pelajar, guru, ibu bapa, kakitangan bukan guru dan semua warga sekolah, manakala pelanggan luaran pula terdiri daripada komuniti sekeliling, pihak kerajaan, pihak swasta, pihak politik dan pihak-pihak luar lain yang yang berkepentingan dengan sesebuah institusi pendidikan.

Selasa, 24 Januari 2012

Kepimpinan Berkarisma Dalam Institusi Pendidikan

1. Kepimpinan bermaksud kemampuan seseorang untuk mempengaruhi  orang-orang di bawahnya bagi mencapai matlamat organisasi.

2. Seseorang yang dikatakan pemimpin pendidikan adalah individu yang menetapkan visi  sesebuah organisasi pendidikan dan berusaha menggembleng seluruh tenaga orang-orang di bawahnya bagi mencapai visi tersebut.

3. Karisma adalah berkaitan dengan hasil  kepimpinan yang berkesan terutamanya apabila pengikutnya yakin dengan visi pemimpin berkenaan. Seseorang pemimpin berkarisma  dianggap mempunyai  kuasa  dan kebolehan yang luar biasa  terhadap pengikut-pengikut mereka.

4. Karisma boleh berlaku apabila wujudnya sesuatu satu krisis sosial di dalam sesebuah organisasi pendidikan,  kempimpinan seorang pemimpin mampu menarik perhatian pengikutnya dengan satu visi yang memberi peluang kepada penyelesaian masalah.

5. Pemimpin pendidikan berkarisma selalunya memiliki kemahiran bahasa badan (body language) dan kemahiran berkomunikasi yang baik. Ini sering dilakukan melalui penggunaan hubungan mata dan berjabat tangan dengan para pengikutnya.

Sabtu, 7 Januari 2012

Perbezaan Antara Pemimpin Dengan Pengurus Organisasi Pendidikan

1.    Sesebuah organisasi pendidikan diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat pihak atasan dan memenuhi  keperluan kakitangan.

2.    Dalam hal ini, pihak kakitangan sentiasa berusaha mendapatkan kepuasan  melalui pemenuhan keperluan-keperluan mereka di tempat kerja manakala matlamat pihak atasan pula dapat dicapai melalui penghasilan produktiviti yang tinggi dalam segala pekerjaan kakitangan bawahannya.

3.    Sehubungan itu, matlamat kedua-dua belah pihak ini hanya dapat dicapai melalui proses kepemimpinan yang berkesan yang diamalkan oleh pihak atasan di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

4.    Namun demikian, kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua pengurus organisasi pendidikan dapat dianggap sebagai pemimpin  yang berkesan walaupun kebanyakan pemimpin boleh dianggap pengurus organisasi pendidikan yang baik.

Rabu, 21 Disember 2011

Pendidik dan Falsafah Pendidikan

1.    Falsafah pendidikan merupakan aplikasi teori-teori falsafah dalam bidang pendidikan .

2.    Bidang pendidikan memerlukan falsafah kerana  masalah-masalah pendidikan bukan sahaja melibatkan pelaksanaan aspek-aspek pendidikan melalui pengalaman pelajar, tetapi juga mencakupi masalah-masalah  yang lebih luas, lebih dalam, serta lebih kompleks, yang tidak dapat diselesaikan melalui pengalaman  mahupun fakta-fakta  teori pendidikan.

3.    Dalam hal ini, seseorang pendidik, sama ada sebagai individu ataupun sebagai agen pelaksana pendidikan, perlu mengetahui falsafah pendidikan kerana tujuan  pendidikan sememangnya mempunyai hubungan langsung dengan tujuan hidup seseorang individu ataupun sesebuah masyarakat yang menganjurkan  pendidikan di sesebuah negara.

4.    Sehubungan itu, tujuan pendidikan perlu difahami dalam hubungannya dengan tujuan hidup.

Selasa, 6 Disember 2011

Penglibatan Aktif Keluarga dan Komuniti Setempat Membantu Peningkatan Prestasi Sekolah

1. Setiap ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mengharapkan anak-anak membantu mereka apabila  dewasa kelak.

2. Kebanyakan guru juga sedar bahawa penglibatan ibu bapa di sekolah amat penting bagi membantu peningkatan prestasi akademik pelajar kerana pada masa yang sama penglibatan ini dapat membantu pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.

3. Walaupun demikian, pemahaman pihak sekolah tentang kepentingan dan pendekatan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa di sekolah dengan lebih bermakna  didapati masih kurang.

4. Bagi memenuhi hasrat ini, pihak sekolah perlu melakukan pelbagai usaha bagi mendekati pihak ibu bapa supaya mereka melibatkan diri secara sepenuhnya dalam pelbagai program yang dianjurkan.

5. Kerjasama dan penglibatan ibu bapa di sekolah sebenarnya boleh meliputi pelbagai aspek sama ada dalam bidang akademik, perkembangan sahsiah pelajar, ko kurikulum, pembangunan fizikal sekolah dan lain-lain lagi.

Khamis, 1 Disember 2011

Pengurusan Emosi Di Institusi Pendidikan

1. Pengurusan emosi merupakan satu dimensi baru  dalam  pengurusan sesebuah institusi pendidikan.

2. Melalui program pembangunan staf yang dilaksanakan selama ini, didapati kebanyakan institusi pendidikan hanya memberi tumpuan kepada latihan aspek pemikiran logik dan rasional sahaja tanpa mengambil kira aspek-aspek kawalan dan pengurusan emosi di tempat kerja.

3. Dengan itu, kebanyakan kakitangan belajar menguruskan emosi mereka dengan hanya meniru cara-cara orang lain bertindak di tempat kerja tanpa mengetahui sama ada sesuatu tindakan sesuai itu atau tidak.

4. Kajian mendapati bahawa pihak pengurusan dan rakan sekerja di kebanyakan organisasi tidak begitu berminat jika rakan sekerja mereka meluahkan apa-apa jenis emosi secara kuat sama ada positif atau negatif.

5. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa satu-satunya cara sesuai untuk menguruskan emosi negatif di tempat kerja ialah dengan menyembunyikannya manakala emosi yang positif pula perlu diluahkan secara sederhana.

6. Seperti organisasi lain, sekolah juga dikatakan sebagai sebuah organisasi beremosi yang kompleks dan rencam.

7. Keadaan ini dikatakan menjadi salah satu punca pengurusan sesebuah sekolah pada masa kini menjadi semakin kompleks, kabur, dan bercelaru.

Selasa, 29 November 2011

Pengainayaan Kakitangan Di Tempat Kerja

1. Dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini banyak penyelidikan dilakukan pada peringkat antarabangsa mendapati bahawa kes layanan buruk termasuk penyalahgunaan tenaga kerja, pembulian dan gangguan di tempat kerja semakin meningkat.

2. Beberapa buah negara kini telah menggubal pelbagai dasar dan undang-undang yang melarang mana-mana pegawai atasan dan kakitangan di dalam sesebuah organisasi berkelakuan buruk terhadap kakitangan lain dengan niat untuk memberi layanan buruk, membuli atau mendera.

3. Dalam konteks hubungan manusia di tempat kerja, istilah "mobbing" merujuk kepada sejenis komunikasi yang digunakan oleh sekumpulan kakitangan atau orang atasan atau kedua-duanya yang bertindak secara bersama-sama untuk membuli seorang rakan sekerja atau lebih dalam tempoh jangka panjang sehingga menyebabkan kemudaratan terhadap psikologi, fizikal, dan sosial.

4. Mobbing juga dapat dianggap sebagai penderaan emosi di tempat kerja, seperti "ganging" oleh rakan sekerja, orang bawahan atau atasan, untuk memaksa seseorang keluar dari tempat kerja dengan cara menyebarkan khabar angin, sindiran, ugutan, penghinaan, mencemar nama baik, dan pengasingan, ini juga disebut sebagai berniat jahat, nonsexual, nonracial atau gangguan umum.