Memaparkan catatan dengan label kepimpinan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kepimpinan. Papar semua catatan

Ahad, 3 Februari 2013

Peranan Kepemimpinan Teknikal Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.    Kepemimpinan teknikal dalam konteks pengurusan strategik organisasi pendidikan dapatlah dianggap sebagai satu usaha bagi memulakan, mendorong dan mengekalkan proses-proses  dalam pengurusan strategik di sesebuah organisasi pendidikan.

2.    Tujuannya adalah bagi melakukan penambahbaikan secara berterusan  terhadap organisasi pendidikan berkenaan.

3.      Melalui kepemimpinan teknikal, pemimpin organisasi pendidikan akan menyediakan pelbagai bantuan teknikal yang bersesuaian dalam usaha menambahbaik segala proses yang terlibat dalam perancangan, pengelolaan, penyelarasan serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

4.      Dalam konteks ini, seseorang pemimpin teknikal ialah seorang yang cekap dalam memanipulasikan pelbagai sumber, strategi dan situasi bagi mendapatkan hasil (keputusan) yang optimum.

5.        Antara tindakan yang dapat dilakukan bagi mendapatkan hasil yang optimum di sekolah ialah termasuklah pengagihan tugas yang tepat, penjelasan tepat terhadap peranan setiap kakitangan, penggunaan saluran komunikasi yang sesuai serta pengagihan sumber dan peruntukan yang betul,

6.      Di samping itu,  penerangan tentang dasar-dasar sekolah dan  prosedur-prosedur kerja hendaklah dilakukan dengan sejelas-jelasnya. Tindakan lain termasuklah pelaksanaan belanjawan yang bijak, melakukan pemantauan terhadap semua program sekolah, mengadakan khidmat nasihat serta melakukan pengupayaan terhadap guru dan kakitangan.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Amalan Kepimpinan Instruksional Sebagai Penentu Sekolah Berkesan


1. Berdasarkan analisis keputusan peperiksaan awam didapati bahawa terdapat perbezaan yang ketara prestasi antara beberapa buah sekolah menengah yang  terletak berhampiran di daerah yang sama, serta mempunyai latar belakang guru, pelajar, ibu bapa, kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama.

2.  Ada  sekolah prestasinya mengatasi peratus kebangsaan manakala sekolah-sekolah lain  prestasinya amat lemah. Perbezaan ini sebenarnya memerlukan satu faktor dalaman unik bagi sesebuah sekolah iaitu  keberkesanan  pengetuanya melaksanakan kepimpinan instruksional di samping komitmen guru-gurunya  terhadap kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh pengetua tersebut.

3. Penentuan sama ada status sesebuah akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah amat bergantung kepada faktor kepimpinan instruksional yang diamalkan di  sekolah berkenaan .

4. Selain itu, perubahan dalam masyarakat semasa telah memberi tekanan kepada sistem pendidikan terutamanya terhadap pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian pelajar (Cheryl Graczewski, Joel Knudson, & Deborah J. Holtzman: 2009).  Keghairahan pihak ibu bapa dan masyarakat terhadap pencapaian akademik sesebuah sekolah juga menimbulkan pelbagai masalah, isu dan dilema dalam kalangan guru (James Ang Jit Eng & Balasandran Ramiah : 2009). Pihak Kementerian Pelajaran pula menyediakan pelbagai standard dan piawaian bagi memastikan pihak sekolah mencapai kualiti perkhidmatan pendidikan yang telah ditetapkan.

Isnin, 9 April 2012

Pengaruh Kecerdasan Emosi Dalam Kepemimpinan Pendidikan

1. Kemunculan teori kecerdasan emosi telah menambah satu dimensi baru dalam bidang kepemimpinan pendidikan.

 2. Dalam konteks kepemimpinan pendidikan kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan seseorang pemimpin untuk mengenalpasti, menilai dan mengawal emosi sendiri, orang lain atau sekumpulan manusia di bawahnya bagi membantu mencapai matlamat organisasi.

3. Sesetengah penyelidik percaya bahawa kecerdasan ini boleh dipelajari tetapi ada juga yang berpendapat bahawa keupayaan ini wujud sejak seseorang itu dilahirkan lagi.

 4. Kemampuan kecerdasan emosi seseorang pemimpin pendidikan dikatakan mempunyai hubungan positif dengan kejayaan organisasi yang dipimpinnya.

Selasa, 24 Januari 2012

Kepimpinan Berkarisma Dalam Institusi Pendidikan

1. Kepimpinan bermaksud kemampuan seseorang untuk mempengaruhi  orang-orang di bawahnya bagi mencapai matlamat organisasi.

2. Seseorang yang dikatakan pemimpin pendidikan adalah individu yang menetapkan visi  sesebuah organisasi pendidikan dan berusaha menggembleng seluruh tenaga orang-orang di bawahnya bagi mencapai visi tersebut.

3. Karisma adalah berkaitan dengan hasil  kepimpinan yang berkesan terutamanya apabila pengikutnya yakin dengan visi pemimpin berkenaan. Seseorang pemimpin berkarisma  dianggap mempunyai  kuasa  dan kebolehan yang luar biasa  terhadap pengikut-pengikut mereka.

4. Karisma boleh berlaku apabila wujudnya sesuatu satu krisis sosial di dalam sesebuah organisasi pendidikan,  kempimpinan seorang pemimpin mampu menarik perhatian pengikutnya dengan satu visi yang memberi peluang kepada penyelesaian masalah.

5. Pemimpin pendidikan berkarisma selalunya memiliki kemahiran bahasa badan (body language) dan kemahiran berkomunikasi yang baik. Ini sering dilakukan melalui penggunaan hubungan mata dan berjabat tangan dengan para pengikutnya.

Sabtu, 7 Januari 2012

Perbezaan Antara Pemimpin Dengan Pengurus Organisasi Pendidikan

1.    Sesebuah organisasi pendidikan diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat pihak atasan dan memenuhi  keperluan kakitangan.

2.    Dalam hal ini, pihak kakitangan sentiasa berusaha mendapatkan kepuasan  melalui pemenuhan keperluan-keperluan mereka di tempat kerja manakala matlamat pihak atasan pula dapat dicapai melalui penghasilan produktiviti yang tinggi dalam segala pekerjaan kakitangan bawahannya.

3.    Sehubungan itu, matlamat kedua-dua belah pihak ini hanya dapat dicapai melalui proses kepemimpinan yang berkesan yang diamalkan oleh pihak atasan di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

4.    Namun demikian, kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua pengurus organisasi pendidikan dapat dianggap sebagai pemimpin  yang berkesan walaupun kebanyakan pemimpin boleh dianggap pengurus organisasi pendidikan yang baik.

Rabu, 16 November 2011

Pengupayaan Pengurus Pertengahan Penyumbang Kecemerlangan Organisasi

1. Perkembangan teknologi telah membawa perubahan terhadap dalam gaya kepimpinan di dalam sesebuah organisasi. Kaedah kepimpinan kawal dan perintah yang diamalkan sejak berabad lalu didapati kurang cekap dan tidak relevan lagi dalam dunia teknologi yang pantas berubah.

2. Pada masa kini, pengurus pertengahan sesebuah organiasasi memerlukan persekitaran kerja yang bermotivasi dan berautonomi daripada kepimpinan peringkat atasan di dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

3. Pengupayaan(empowerment) adalah adalah proses yang membolehkan atau membenarkan seseorang individu untuk berfikir, berkelakuan, mengambil tindakan, dan mengawal serta membuat keputusan secara autonomi dalam menjalankan tugasnya.

4. Dalam pengurusan sekolah, pengupayaan melibatkan aspek kurikulum, ko-kurikulum, pentadbiran, hal ehwal pelajar, perjawatan, kewangan, harta benda dan kawasan, perhubungan awam serta iklim dan budaya sekolah.

5. Antara proses yang terlibat dalam pengupayaan adalah perkongsian maklumat dengan kakitangan, mencipta autonomi tetapi dalam sempadan tertentu serta menggantikan sistem hirarki tradisional kepada pasukan terarah sendiri.

Selasa, 1 November 2011

Prestasi Pemimpin Sekolah Menentukan Kejayaan Sekolah

1. Syabas kepada sekolah-sekolah yang mendapat ranking dan band yang baik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP). Melalui program ini, prestasi sekolah diukur melalui Gred Purata Sekolah (GPS) dalam peperiksaan awam dan skor penarafan kendiri sekolah menggunakan SKPM (Standard Kualiti Pendidikan Malaysia).

2. Kita dapati di sini, kejayaan sesebuah sekolah dilihat bukan sahaja daripada kecemerlangan pelajar-pelajarnya, tetapi juga dari segi produktiviti guru dan yang lebih penting kempimpinan serta kegigihan pengetuanya.

3. Amalan di Malaysia, selalunya seorang guru yang berpengalaman dilantik sebagai pengetua di sesebuah sekolah menengah atau guru besar di sekolah rendah. Namun, pengalaman sebagai guru di bilik darjah belum memadai untuk seseorang itu mengetuai satu organisasi pendidikan yang kompleks dan sentiasa berubah.

4. Bagi mencapai matlamat organisasi pendidikan, pengetua perlu memainkan dua peranan utama iaitu sebagai pentadbir sekolah dan sebagai pemimpin pengajaran ( kepimpinan instruksional).

5. Tugas ikhtisas utama pengetua ialah sebagai pemimpin pengajaran manakala tugas pentadbiran adalah bersifat sampingan. Walaupun demikian didapati bahawa pengetua banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja pentadbiran berbanding sebagai pemimpin pengajaran.