Memaparkan catatan dengan label pengurusan sumber manusia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengurusan sumber manusia. Papar semua catatan

Rabu, 9 Oktober 2013

Dilema Moral Di Dalam Organisasi Pendidikan

1. Pernahkah anda menerima arahan yang bercanggah? Misalnya anda menerima surat daripada pihak JPN untuk menghadiri satu taklimat penting di luar stesen manakala pada masa yang sama pihak sekolah meminta anda melakukan tugas lain di sekolah serta meminta anda supaya tidak hadir taklimat berkenaan.

2. Dalam hal ini, arahan siapakah yang patut kita ikut? Apakah akan berlaku sekiranya kita ingkar arahan pengetua? Apakah kesannya jika kita diamanahkan oleh pihak JPN untuk melaksanakan sesuatu tugas penting, tetapi kita gagal menghadiri taklimat  seperti yang diarahkan?

3. Atau mungkinkah juga kita tidak perlu menghiraukan arahan kedua-dua pihak tersebut.

4. Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan yang serius kerana melibatkan nilai moral dan etika seseorang yang boleh menyebabkan konflik dalaman serta serba salah.

5. Seseorang akan menjadi serba salah untuk mempertimbang  antara kepentingan-kepentingan moral daripada dua pihak  berlainan tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan.  Situasi ini dianggap sebagai dilema moral.

Isnin, 18 Februari 2013

Tekanan Bebanan Kerja dan Keseronokan Bekerja Sebagai Pendidik


1. Kerjaya  guru terdedah secara langsung dengan masyarakat dan boleh dikatakan sebagai satu bentuk perkhidmatan sosial. Profesion keguruan hari ini telah mengalami banyak perubahan dari segenap segi serta bertambah mencabar.

2. Tenaga pengajar dan pengurus organisasi pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber serta pencapaian matlamat pendidikan.

3. Sehubungan itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar.

4. Melihat kepada perkembangan semasa berhubung kerja, beban dan tugas dalam kerjaya sebagai seorang guru, maka timbul tanggapan-tanggapan bahawa kerjaya sebagai guru bukan lagi satu kerja yang mudah.

5. Masyarakat mula melihat kerjaya ini tidak lagi sebagai sesuatu yang menarik. Malah tidak dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bebanan tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul daripada situasi yang tidak diduga.

Selasa, 5 Februari 2013

Amalan Kepemimpinan Kemanusiaan Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.      Dari perspektif sumber manusia, sekolah berkesan dapatlah dianggap sebagai sebuah organisasi pendidikan yang memiliki individu-individu bermotivasi tinggi, berkepuasan tinggi serta sentiasa komited terhadap matlamat sekolah.

2.      Individu-individu yang dimaksudkan ini adalah mereka yang sentiasa bersama-sama  bekerja  dalam satu pasukan di sekolah.

3.      Melalui  kerja berpasukan mereka  sentiasa berkongsi objektif kerja yang sama, setia terhadap kumpulan, dan  saling menyokong antara satu sama lain bagi mencapai matlamat sekolah.

4.      Dalam konteks pengurusan strategik, seseorang pemimpin kemanusiaan merupakan seorang yang sentiasa berusaha meningkatkan komitmen guru-guru, perkembangan peribadi mereka serta hubungan interpersonal antara semua pihak di sekolah.

5.      Antara peranan  yang dapat dilakukan oleh pemimpin sekolah bagi mencapai matlamat ini adalah dengan melaksanakan kejurulatihan (coaching), latihan-latihan dalam perkhidmatan, menjadi mentor , dan melakukan kaunseling kerjaya terhadap guru-guru.

Isnin, 7 November 2011

Kecekapan Penilaian Menjamin Kecemerlangan Organisasi

1. Ketua mempunyai pengaruh besar dalam menentukan tangga gaji, kenaikan gaji, keperluan berkursus serta kenaikan pangkat kakitangan di bawahnya.

2. Bagi memastikan setiap kakitangan melakukan kerja yang terbaik mengikut piawaian yang telah ditetapkan, setiap organisasi akan menyediakan sistem penilaian prestasi kakitangan masing-masing supaya penilaian yang dilakukan adalah adil dan mencapai matlamatnya.

3. Penilaian prestasi bertujuan untuk mengesahkan bahawa seseorang kakitangan itu telah memenuhi piawaian prestasi yang telah ditetapkan. Penilaian ini bukan sahaja untuk menilai kerja tetapi juga untuk membangunkan dan memotivasikan kakitangan.

4. Antara proses yang terlibat dalam penilaian prestasi adalah penetapan piawaian kerja, melakukan penilaian prestasi berdasarkan piawaian yang ditetapkan dan penyediaan maklumbalas dengan tujuan memberi motivasi atau memperbaiki kelemahan pekerja.

5. Hasilnya, penilaian yang dilakukan akan berdasarkan maklumat tepat tentang prestasi kerja seseorang kakitangan dan bukannya dinilai berdasarkan perkara-perkara lain yang tiada kena mengena dengan profesion.