1. Cabaran dan kehendak semasa menjadikan sesebuah organisasi pendidikan semakin kompleks. Dalam proses untuk berubah menjadi lebih kompleks, sudah tentu banyak usaha perlu dilakukan dalam memenuhi tuntutan semasa yang berbeza daripada keadaan sebelumnya. Keadaan ini diperlihatkan melalui usaha - usaha yang dilakukan pada dekad kebelakangan ini bagi mengorganisasi semula institusi pendidikan.
2. Matlamat pengorganisasian semula institusi pendidikan adalah supaya institusi pendidikan berkenaan akan mampu berperanan dengan cekap dan berkesan dalam menghadapi perubahan dsan meningkatkan prestasinya. Pengorganisasian sesebuah institusi pendidikan yang baik selalunya bermula dengan penetapan hasil prestasi (output) yang dihasratkan daripada organisasi tersebut. Kemudian barulah dilakukan kerja-kerja memetakan semula carta organisasi sekolah.
3. Dalam hal ini, antara tanda lemahnya sesebuah organisasi pendidikan adalah apabila struktur organisasinya didapati terlalu rumit. Kesilapan sering dilakukan oleh pentadbir sekolah dalam memetakan semula carta organisasi sekolah ialah melakukan penambahan bilangan lapisan tahap pengurusan di sekolah sehinggakan carta organisasi sekolah menjadi rumit dan kompleks. Keadaan ini berpunca daripada wujudnya salah tanggapan dalam kalangan pentadbir sekolah bahawa organisasi sekolah umpama sebuah mesin yang komponennya saling bergantung untuk bergerak. Semakin kompleks organisasi, semakin kuat untuk bergerak.
4. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul pelbagai halangan dan kesukaran di dalam komunikasi terutamanya dalam hal persetujuan bersama terhadap sesuatu keputusan. Selain itu, masalah lain adalah akan berlakunya salah faham, pemesongan daripada objektif organisasi dan salah arah tumpuan. Kesannya, sudah tentu sesebuah organisasi tersebut akan sukar untuk bergerak bagi memenuhi objektif penubuhannya, malah mustahil baginya untuk meningkatkan prestasi. Selain itu, dengan bertambahnya subordinat di bawah seseorang ketua akan mewujudkan gambaran bahawa pihak subordinat lebih banyak melakukan tugas sedangkan pihak ketua unit di atasnya tidak melakukan apa-apa.