Memaparkan catatan dengan label pengurusan organisasi pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengurusan organisasi pendidikan. Papar semua catatan

Rabu, 9 Oktober 2013

Dilema Moral Di Dalam Organisasi Pendidikan

1. Pernahkah anda menerima arahan yang bercanggah? Misalnya anda menerima surat daripada pihak JPN untuk menghadiri satu taklimat penting di luar stesen manakala pada masa yang sama pihak sekolah meminta anda melakukan tugas lain di sekolah serta meminta anda supaya tidak hadir taklimat berkenaan.

2. Dalam hal ini, arahan siapakah yang patut kita ikut? Apakah akan berlaku sekiranya kita ingkar arahan pengetua? Apakah kesannya jika kita diamanahkan oleh pihak JPN untuk melaksanakan sesuatu tugas penting, tetapi kita gagal menghadiri taklimat  seperti yang diarahkan?

3. Atau mungkinkah juga kita tidak perlu menghiraukan arahan kedua-dua pihak tersebut.

4. Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan yang serius kerana melibatkan nilai moral dan etika seseorang yang boleh menyebabkan konflik dalaman serta serba salah.

5. Seseorang akan menjadi serba salah untuk mempertimbang  antara kepentingan-kepentingan moral daripada dua pihak  berlainan tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan.  Situasi ini dianggap sebagai dilema moral.

Selasa, 5 Februari 2013

Amalan Kepemimpinan Kemanusiaan Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.      Dari perspektif sumber manusia, sekolah berkesan dapatlah dianggap sebagai sebuah organisasi pendidikan yang memiliki individu-individu bermotivasi tinggi, berkepuasan tinggi serta sentiasa komited terhadap matlamat sekolah.

2.      Individu-individu yang dimaksudkan ini adalah mereka yang sentiasa bersama-sama  bekerja  dalam satu pasukan di sekolah.

3.      Melalui  kerja berpasukan mereka  sentiasa berkongsi objektif kerja yang sama, setia terhadap kumpulan, dan  saling menyokong antara satu sama lain bagi mencapai matlamat sekolah.

4.      Dalam konteks pengurusan strategik, seseorang pemimpin kemanusiaan merupakan seorang yang sentiasa berusaha meningkatkan komitmen guru-guru, perkembangan peribadi mereka serta hubungan interpersonal antara semua pihak di sekolah.

5.      Antara peranan  yang dapat dilakukan oleh pemimpin sekolah bagi mencapai matlamat ini adalah dengan melaksanakan kejurulatihan (coaching), latihan-latihan dalam perkhidmatan, menjadi mentor , dan melakukan kaunseling kerjaya terhadap guru-guru.

Khamis, 12 April 2012

Kepemimpinan Berkesan Penentu Semangat Berprestasi (Spirit of Performance) Organisasi Pendidikan

1. Apakah yang menyebabkan kakitangan di dalam sesebuah organisasi pendidikan bekerja dengan gembira dan  sentiasa berusaha serta menunjukkan prestasi kerja yang tinggi?

2. Antara jawapannya ialah wujudnya penetapan matlamat kerja kakitangan  yang selaras dengan matlamat organisasi. Hasilnya, sudah tentu  secara tidak langsung  membantu  pencapaian prestasi organisasi di tempat kerja kerana mereka telah mendapat kepuasan bekerja.

3. Bagaimana pula caranya untuk mendapatkan rasa gembira di tempat kerja dan seterusnya membantu menyumbang kepada prestasi tinggi organisasi?

 4. Jawapannya sudah tentu di tangan pihak pemimpin organisasi sendiri yang melalui segala usahanya memperkenalkan budaya kerja  baik kepada semua kakitangannya selaras dengan nilai utama Kementerian Pelajaran.

5. Selain itu, pemimpin organisasi haruslah memfokuskan terhadap nilai dan kekuatan utama organisasi yang dipimpinnya.

6. Seterusnya, melalui usaha menyelaraskan matlamat pekerjaan kakitangan dengan matlamat organisasi dengan memberi pemahaman terhadap kakitangan tentang amalan-amalan baik di dalam organisasi.

7. Salah satu ciri  sesebuah organisasi pendidikan yang hebat adalah kemampuannya mengubah orang (kakitangan) biasa   menjadi kakitangan yang mampu menghasilkan sesuatu keputusan (contohnya keputusan peperiksaan awam) yang luar biasa.

Sabtu, 7 Januari 2012

Perbezaan Antara Pemimpin Dengan Pengurus Organisasi Pendidikan

1.    Sesebuah organisasi pendidikan diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat pihak atasan dan memenuhi  keperluan kakitangan.

2.    Dalam hal ini, pihak kakitangan sentiasa berusaha mendapatkan kepuasan  melalui pemenuhan keperluan-keperluan mereka di tempat kerja manakala matlamat pihak atasan pula dapat dicapai melalui penghasilan produktiviti yang tinggi dalam segala pekerjaan kakitangan bawahannya.

3.    Sehubungan itu, matlamat kedua-dua belah pihak ini hanya dapat dicapai melalui proses kepemimpinan yang berkesan yang diamalkan oleh pihak atasan di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

4.    Namun demikian, kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua pengurus organisasi pendidikan dapat dianggap sebagai pemimpin  yang berkesan walaupun kebanyakan pemimpin boleh dianggap pengurus organisasi pendidikan yang baik.

Khamis, 3 November 2011

"Loose Coupling" Di Dalam Institusi Pendidikan

1. Sekolah ialah satu sistem yang terdiri daripada beberapa sub sistem yang menyokong kewujudannya.

2. Kesemua sub sistem menyokong satu sama lain bagi mencapai matlamat utama sekolah.

3. Misalnya, unit akademik, hal ehwal murid, ko kurikulum, pentadbiran am, kewangan, sumber manusia, kaunseling dan sebagainya bekerja untuk mencapai satu visi sekolah yang sama dibawah pimpinan pengetua atau guru besar.

4. Walaupun demikian, setiap sub sistem tersebut mempunyai cara tersendiri dan berbeza untuk mencapai visi sekolah tersebut.

5. Konflik timbul apabila masing-masing sub sistem tidak memahami dan mungkin juga enggan menerima cara unit lain menyelesaikan sesuatu masalah yang dikongsi bersama, mungkin satu pihak menyatakan bahawa kejayaan sesebuah sekolah dilihat dari segi sahsiah pelajar manakala pihak satu lagi melihat prestasi akademik sebagai penentu kejayaan.

6. Keadaan ini distilahkan sebagai 'loose coupling'.

Pekerja Berpengetahuan dan Nasib Hang Nadim...

1. Peter Drucker, seorang sarjana pengurusan pernah menyatakan bahawa aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi dalam abad ke-20 ialah harta modal bagi tujuan pengeluaran produk manakala aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi dalam abad ke-21 pula adalah pekerja berpengetahuan dan produktiviti tinggi yang mereka hasilkan.

2. Idea 'pekerja berpengetahuan' pertama kali dikemukakan oleh Peter Drucker dalam bukunya 'The Landmarks of Tomorrow' pada tahun 1959.

3.Pekerja berpengetahuan adalah individu-individu yang penting di dalam sesebuah organisasi yang berupaya untuk bertindak dan akan menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah di dalam organisasi.

4. Mereka sering membantu pemahaman menyeluruh tentang sesuatu isu di dalam organisasi melalui kajian.

5. Pekerja berpengetahuan menggunakan kemahiran penyelidikan untuk mentakrifkan masalah dan untuk mengenal pasti alternatif penyelesaiannya. Dalam hal ini pandangan dan kepakaran mereka digunakan oleh sesebuah organisasi untuk menyelesaikan masalah, mengatur strategi atau membuat keputusan.

Rabu, 26 Oktober 2011

Keputusan hendaklah berasaskan penyelidikan...

1. Kehidupan sebagai masyarakat bertamadun membuatkan kita sering berdepan dengan pelbagai masalah yang memerlukan jawapan untuk menyelesaikannya.

2. Penyelesaian masalah ini memerlukan kita membuat keputusan.Dalam membuat keputusan pula kita berhadapan dengan pelbagai risiko.

3. Bagi mengurangkan risiko, kita hendaklah melakukan proses mengumpul, menganalisis, dan mentafsir data untuk membuat keputusan. Proses ini dinamakan penyelidikan.

4. Rasanya pelik jika pihak pengurusan sesuatu organisasi pendidikan membuat keputusan penting hanya berdasarkan andaian.

5. Andaian bahawa sesuatu keputusan diambil berdasarkan sangkaan-sangkaan, kebiasaan dan amalan yang pernah dilakukan oleh sekolah lain tidak akan memberi makna kepada keberkesanan sesuatu tindakan yang bakal diambil dalam konteks sesebuah sekolah.

6. Sedangkan apabila dilakukan kajian didapati bahawa tindakan yang diambil berdasarkan andaian tidak memberi gambaran sebenar tentang senario yang berlaku di sekolah.

7. Misalnya, pengharaman penggunaan laptop dalam kalangan pelajar atas alasan pelajar mudah mengakses laman web lucah merupakan satu keputusan yang tidak berasaskan kajian.

8. Keputusan boleh mengundang kepada masalah besar dalam perkembangan ilmu pengetahuan pelajar kerana di dalam internet bukan sahaja terdapat laman web lucah, sebaliknya banyak lagi gedung ilmu pengetahuan dan maklumat yang boleh pelajar perolehi.