Memaparkan catatan dengan label hubungan manusia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hubungan manusia. Papar semua catatan

Selasa, 5 Februari 2013

Amalan Kepemimpinan Kemanusiaan Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.      Dari perspektif sumber manusia, sekolah berkesan dapatlah dianggap sebagai sebuah organisasi pendidikan yang memiliki individu-individu bermotivasi tinggi, berkepuasan tinggi serta sentiasa komited terhadap matlamat sekolah.

2.      Individu-individu yang dimaksudkan ini adalah mereka yang sentiasa bersama-sama  bekerja  dalam satu pasukan di sekolah.

3.      Melalui  kerja berpasukan mereka  sentiasa berkongsi objektif kerja yang sama, setia terhadap kumpulan, dan  saling menyokong antara satu sama lain bagi mencapai matlamat sekolah.

4.      Dalam konteks pengurusan strategik, seseorang pemimpin kemanusiaan merupakan seorang yang sentiasa berusaha meningkatkan komitmen guru-guru, perkembangan peribadi mereka serta hubungan interpersonal antara semua pihak di sekolah.

5.      Antara peranan  yang dapat dilakukan oleh pemimpin sekolah bagi mencapai matlamat ini adalah dengan melaksanakan kejurulatihan (coaching), latihan-latihan dalam perkhidmatan, menjadi mentor , dan melakukan kaunseling kerjaya terhadap guru-guru.

Selasa, 29 November 2011

Pengainayaan Kakitangan Di Tempat Kerja

1. Dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini banyak penyelidikan dilakukan pada peringkat antarabangsa mendapati bahawa kes layanan buruk termasuk penyalahgunaan tenaga kerja, pembulian dan gangguan di tempat kerja semakin meningkat.

2. Beberapa buah negara kini telah menggubal pelbagai dasar dan undang-undang yang melarang mana-mana pegawai atasan dan kakitangan di dalam sesebuah organisasi berkelakuan buruk terhadap kakitangan lain dengan niat untuk memberi layanan buruk, membuli atau mendera.

3. Dalam konteks hubungan manusia di tempat kerja, istilah "mobbing" merujuk kepada sejenis komunikasi yang digunakan oleh sekumpulan kakitangan atau orang atasan atau kedua-duanya yang bertindak secara bersama-sama untuk membuli seorang rakan sekerja atau lebih dalam tempoh jangka panjang sehingga menyebabkan kemudaratan terhadap psikologi, fizikal, dan sosial.

4. Mobbing juga dapat dianggap sebagai penderaan emosi di tempat kerja, seperti "ganging" oleh rakan sekerja, orang bawahan atau atasan, untuk memaksa seseorang keluar dari tempat kerja dengan cara menyebarkan khabar angin, sindiran, ugutan, penghinaan, mencemar nama baik, dan pengasingan, ini juga disebut sebagai berniat jahat, nonsexual, nonracial atau gangguan umum.

Jumaat, 18 November 2011

Masalah Irihati Di Tempat Kerja

1. Sudah menjadi lumrah hidup di mana-mana sahaja bahawa ada orang yang akan tidak gembira apabila melihat kesenangan orang lain.

2. Irihati dan dengki adalah salah satu tingkah laku sosial manusia yang boleh wujud di dalam semua kumpulan dalam sesebuah organisasi tidak mengira sama ada daripada kumpulan tinggi atau rendah.

3. Perasaan irihati dianggap sebagai gugusan emosi yang berkaitan dengan rasa rendah diri, malu, murung, rasa tidak selamat, tidak senang, kecewa, dan rasa tidak upaya.

4. Walaupun demikian, intipati utama perasaan ini ialah lebih kepada gugusan perasaan yang tidak menyenangkan terutamanya apabila seseorang itu hidup atau bekerja bersama-sama orang lain.

5. Perasaan irihati muncul akibat kesan proses perbandingan sosial yang dilakukan oleh seseorang dengan mengukur sejauhmana dia setanding dengan orang yang dekat dengannya.

6. Irihati juga lebih berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan, menikmati, mempunyai, memiliki apa yang ada pada orang lain yang dekat atau dipandang rendah olehnya selama ini.

Isnin, 7 November 2011

Pengurusan Konflik Di Tempat Kerja

1. Konflik merupakan ketidaksecocokan yang wujud apabila dua belah pihak berbeza keputusan atau pandangan.

2. Konflik boleh wujud dalam pelbagai bentuk sama ada dalam diri individu sendiri, antara individu, di dalam organisasi atau dengan pihak luar.

3. Dalam konteks organisasi, pemimpin organisasi bertanggungjawab untuk menjadi orang tengah bagi meleraikan pertikaian di dalam organisasinya. Ini kerana kakitangan merupakan aset penting organisasi yang perlu dijaga dengan baik.

4. Konflik boleh wujud daripada pelbagai punca antaranya perselisihan tentang bidang kuasa, tidak memahami aktiviti orang lain, perbezaan cara melakukan sesuatu tugasan dan lain-lain lagi.

5. Kebanyakan konflik mendatangkan kesan negatif seperti perpecahan, syak wasangka dan kurangnya kerjasama, manakala konflik positif pula mampu menyumbang kepada idea-idea baru, mewujudkan persaingan positif dan sebagainya.