Memaparkan catatan dengan label pengurusan akademik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengurusan akademik. Papar semua catatan

Selasa, 24 September 2013

Amalan Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan dan Gaya Kepimpinan Instruksional Linear Pemimpin Sekolah

1.  Kepimpinan Instruksional telah lama dianggap sebagai salah satu tanggungjawab utama seseorang pemimpin sekolah.  Namun, sehingga kini  masih belum jelas tentang peranan sebenar tangggungjawab kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh seseorang pemimpin sekolah di dalam urusan tugas sehariannya.

2.  Antara perkara yang sering menjadi pertanyaan banyak pihak ialah bagaimanakan seseorang pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan instruksional dalam menjalankan tugasnya? dan apakah hasil yang diperolehi daripada amalan kepimpinan instruksional yang mereka laksanakan selama ini?

3.  Secara tradisinya seperti yang kita ketahui, bahawa amalan kepimpinan instruksional seseorang pemimpin sekolah termasuklah menyatakan harapan-harapan tingginya terhadap prestasi guru-guru dan pelajar-pelajar, menyelia proses pengajaran, memantau proses penilaian dan perkembangan pelajar, menyelaras kurikulum sekolah, serta mewujudkan iklim pembelajaran dan suasana kerja yang baik di sekolah.

4.  Pada masa kini didapati bahawa amalan kepimpinan instruksional seorang pemimpin sekolah telah diluaskan fokus peranannya daripada hanya menjadi " seorang  penilai kecekapan guru" kepada berperanan sebagai "fasilitator perkembangan profesion guru".

5.  Antara peranan yang boleh dimainkan oleh seorang fasilitator perkembangan guru,  ialah dengan mengadakan perbincangan-perbincangan profesional bersama  guru-gurunya, mewujudkan peluang  guru-guru melakukan refleksi dan perkembangan profesional mereka, serta mengembangkan komuniti pembelajaran profesional  (PLC) di sekolah.

6.  Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan  (Relational Instructional Leadership) adalah berasaskan perspektif hubungan manusia yang melihat organisasi yang dipimpin sebagai sebuah keluarga besar.

Selasa, 21 Mei 2013

Pemanfaatan Sumber Guru Melalui Tindakan Penyeliaan Berkesan


1.  Penyeliaan merupakan salah satu komponen penting di dalam kepemimpinan instruksional.

2. Secara tradisinya, penyeliaan merupakan salah satu tugas pengurusan di sekolah yang lebih menekankan kepada "melakukan sesuatu dengan cara yang betul" atau dengan kata lain pelaksanaan prosedur-prosedur standard penyeliaan klinikal seperti 'perjumpaan sebelum penyeliaan', aktiviti penyeliaan dan 'perjumpaan selepas penyeliaan '.

3. Tindakan penyeliaan  yang dilakukan oleh pemimpin sekolah dengan betul sebenarnya dapat membantu pihak sekolah menyelaras dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada di sekolah dengan cekap dan berkesan.

4. Seseorang pemimpin sekolah yang berkesan ialah seorang yang mampu memanipulasikan semua sumber yang ada di sekolah dan sekelilingnya seperti guru dan kakitangan, bangunan dan kawasan sekolah serta masyarakat sekeliling bagi mencapai matlamat sekolah.

5. Hasilnya, pemanfaatan sumber yang betul dan cekap akan membantu dalam peningkatan pencapaian akademik pelajar-pelajar sesebuah sekolah.

Ahad, 3 Februari 2013

Peranan Kepemimpinan Teknikal Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.    Kepemimpinan teknikal dalam konteks pengurusan strategik organisasi pendidikan dapatlah dianggap sebagai satu usaha bagi memulakan, mendorong dan mengekalkan proses-proses  dalam pengurusan strategik di sesebuah organisasi pendidikan.

2.    Tujuannya adalah bagi melakukan penambahbaikan secara berterusan  terhadap organisasi pendidikan berkenaan.

3.      Melalui kepemimpinan teknikal, pemimpin organisasi pendidikan akan menyediakan pelbagai bantuan teknikal yang bersesuaian dalam usaha menambahbaik segala proses yang terlibat dalam perancangan, pengelolaan, penyelarasan serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

4.      Dalam konteks ini, seseorang pemimpin teknikal ialah seorang yang cekap dalam memanipulasikan pelbagai sumber, strategi dan situasi bagi mendapatkan hasil (keputusan) yang optimum.

5.        Antara tindakan yang dapat dilakukan bagi mendapatkan hasil yang optimum di sekolah ialah termasuklah pengagihan tugas yang tepat, penjelasan tepat terhadap peranan setiap kakitangan, penggunaan saluran komunikasi yang sesuai serta pengagihan sumber dan peruntukan yang betul,

6.      Di samping itu,  penerangan tentang dasar-dasar sekolah dan  prosedur-prosedur kerja hendaklah dilakukan dengan sejelas-jelasnya. Tindakan lain termasuklah pelaksanaan belanjawan yang bijak, melakukan pemantauan terhadap semua program sekolah, mengadakan khidmat nasihat serta melakukan pengupayaan terhadap guru dan kakitangan.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Amalan Kepimpinan Instruksional Sebagai Penentu Sekolah Berkesan


1. Berdasarkan analisis keputusan peperiksaan awam didapati bahawa terdapat perbezaan yang ketara prestasi antara beberapa buah sekolah menengah yang  terletak berhampiran di daerah yang sama, serta mempunyai latar belakang guru, pelajar, ibu bapa, kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama.

2.  Ada  sekolah prestasinya mengatasi peratus kebangsaan manakala sekolah-sekolah lain  prestasinya amat lemah. Perbezaan ini sebenarnya memerlukan satu faktor dalaman unik bagi sesebuah sekolah iaitu  keberkesanan  pengetuanya melaksanakan kepimpinan instruksional di samping komitmen guru-gurunya  terhadap kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh pengetua tersebut.

3. Penentuan sama ada status sesebuah akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah amat bergantung kepada faktor kepimpinan instruksional yang diamalkan di  sekolah berkenaan .

4. Selain itu, perubahan dalam masyarakat semasa telah memberi tekanan kepada sistem pendidikan terutamanya terhadap pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian pelajar (Cheryl Graczewski, Joel Knudson, & Deborah J. Holtzman: 2009).  Keghairahan pihak ibu bapa dan masyarakat terhadap pencapaian akademik sesebuah sekolah juga menimbulkan pelbagai masalah, isu dan dilema dalam kalangan guru (James Ang Jit Eng & Balasandran Ramiah : 2009). Pihak Kementerian Pelajaran pula menyediakan pelbagai standard dan piawaian bagi memastikan pihak sekolah mencapai kualiti perkhidmatan pendidikan yang telah ditetapkan.

Ahad, 22 Julai 2012

Tanda -Tanda Kelemahan Sesebuah Organisasi Pendidikan

1. Cabaran dan kehendak semasa menjadikan sesebuah organisasi pendidikan  semakin  kompleks. Dalam proses untuk berubah menjadi lebih kompleks, sudah tentu banyak usaha perlu dilakukan dalam memenuhi tuntutan semasa yang berbeza daripada keadaan sebelumnya. Keadaan ini diperlihatkan melalui usaha - usaha  yang dilakukan pada dekad kebelakangan ini bagi mengorganisasi semula institusi pendidikan.

2. Matlamat pengorganisasian semula institusi pendidikan adalah supaya institusi pendidikan berkenaan akan mampu berperanan dengan cekap dan berkesan dalam menghadapi perubahan dsan meningkatkan prestasinya. Pengorganisasian sesebuah institusi pendidikan yang baik selalunya bermula dengan penetapan  hasil prestasi (output) yang dihasratkan daripada organisasi tersebut. Kemudian barulah dilakukan kerja-kerja memetakan semula carta organisasi sekolah.

3. Dalam hal ini, antara tanda lemahnya sesebuah organisasi pendidikan adalah apabila struktur organisasinya didapati terlalu rumit. Kesilapan  sering dilakukan oleh pentadbir sekolah dalam memetakan semula carta organisasi sekolah ialah melakukan  penambahan bilangan lapisan tahap pengurusan di sekolah sehinggakan carta organisasi sekolah menjadi  rumit dan kompleks. Keadaan ini berpunca daripada wujudnya salah tanggapan dalam kalangan pentadbir sekolah bahawa organisasi sekolah umpama sebuah mesin yang komponennya saling bergantung untuk bergerak. Semakin kompleks organisasi, semakin kuat untuk bergerak.

4. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul pelbagai halangan dan  kesukaran di dalam komunikasi terutamanya dalam hal persetujuan bersama terhadap sesuatu keputusan. Selain itu, masalah lain adalah akan berlakunya salah faham, pemesongan daripada objektif organisasi dan salah arah tumpuan. Kesannya, sudah tentu sesebuah organisasi tersebut akan sukar untuk bergerak bagi memenuhi objektif penubuhannya, malah  mustahil baginya untuk meningkatkan prestasi. Selain itu, dengan bertambahnya subordinat di bawah seseorang ketua akan mewujudkan gambaran bahawa pihak subordinat lebih banyak melakukan tugas sedangkan pihak ketua unit di atasnya tidak melakukan apa-apa.

Khamis, 12 April 2012

Kepemimpinan Berkesan Penentu Semangat Berprestasi (Spirit of Performance) Organisasi Pendidikan

1. Apakah yang menyebabkan kakitangan di dalam sesebuah organisasi pendidikan bekerja dengan gembira dan  sentiasa berusaha serta menunjukkan prestasi kerja yang tinggi?

2. Antara jawapannya ialah wujudnya penetapan matlamat kerja kakitangan  yang selaras dengan matlamat organisasi. Hasilnya, sudah tentu  secara tidak langsung  membantu  pencapaian prestasi organisasi di tempat kerja kerana mereka telah mendapat kepuasan bekerja.

3. Bagaimana pula caranya untuk mendapatkan rasa gembira di tempat kerja dan seterusnya membantu menyumbang kepada prestasi tinggi organisasi?

 4. Jawapannya sudah tentu di tangan pihak pemimpin organisasi sendiri yang melalui segala usahanya memperkenalkan budaya kerja  baik kepada semua kakitangannya selaras dengan nilai utama Kementerian Pelajaran.

5. Selain itu, pemimpin organisasi haruslah memfokuskan terhadap nilai dan kekuatan utama organisasi yang dipimpinnya.

6. Seterusnya, melalui usaha menyelaraskan matlamat pekerjaan kakitangan dengan matlamat organisasi dengan memberi pemahaman terhadap kakitangan tentang amalan-amalan baik di dalam organisasi.

7. Salah satu ciri  sesebuah organisasi pendidikan yang hebat adalah kemampuannya mengubah orang (kakitangan) biasa   menjadi kakitangan yang mampu menghasilkan sesuatu keputusan (contohnya keputusan peperiksaan awam) yang luar biasa.

Isnin, 28 November 2011

Penambahbaikan Prestasi Sekolah Melalui Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC)

1. Pada masa kini, banyak negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan reformasi untuk mengubah sistem pendidikan mereka bagi memenuhi tuntutan kualiti dan prestasi pelajar.

2. Walaupun terdapat banyak penyelidikan dalam bidang sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah mencadangkan kepada kita tentang cara mengubah seluruh sistem sesebuah sekolah supaya menjadi lebih baik, tetapi jelas di sini bahawa dengan mengubah seluruh sistem pendidikan sesebuah sekolah pada satu-satu masa tidak lagi membantu dalam peningkatan prestasi sebaliknya menimbulkan banyak masalah.

3. Mengulangi semula strategi penambahbaikan yang pernah dilakukan sebelumnya juga tidak banyak membantu dalam peningkatan prestasi sesebuah sekolah.

4. Selain itu, mengulangi semula strategi-strategi yang dipinjam daripada tempat lain dan ditambah dengan sedikit pengubahsuaian juga hanya akan mengembalikan prestasi sekolah tersebut di takuk lama.

5. Terdapat banyak reformasi yang diperkenalkan di dalam sistem pendidikan sekarang, namun kesannya hanya sedikit sahaja perubahan yang berlaku dan ini juga akan hanya mengekalkan status sesebuah sekolah ketinggalan di takuk lama.

6. Mengapakah reformasi pendidikan yang diperkenalkan kadang kala gagal mengubah sesebuah sekolah menjadi lebih baik?

Rabu, 23 November 2011

Tanda-Tanda Keunggulan Sekolah Berkesan

1. Mengapakah dua sekolah yang terletak berhampiran di daerah yang sama, mempunyai latarbelakang guru, pelajar,ibu bapa, kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama, tetapi keputusan peperiksaan awam mereka jauh berbeza ?

2. Sebuah sekolah prestasinya mengatasi peratus kebangsaan dan sebuah lagi peratusan prestasinya amat lemah. Mengapakah perbezaan ini boleh berlaku?

3. Perbezaan ini sudah tentu disebabkan beberapa faktor dalaman unik yang melibatkan budaya sekolah sebagai penentu sama ada statusnya akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah.

4. Sekolah berkesan ialah sekolah yang berkemampuan menghasilkan pelajar maju atau lebih tinggi daripada yang disasarkan.

5. Dengan itu, sekolah berkesan juga dianggap sebagai sekolah yang mampu memberi nilai tambah terhadap ‘outcome’ (keputusan peperiksaan awam) pelajar sekolah berkenaan berbanding keputusan peperiksaan sekolah lain yang menerima kemasukan pelajar yang mempunyai ciri hampir sama.

Khamis, 27 Oktober 2011

Andragogi di Sekolah Menengah..

1. Saya sering diajukan dengan pelbagai pertanyaan oleh ibu bapa dan sesetengah guru tentang mengapa tidak dibuat program khas untuk meningkatkan prestasi pelajar pelajar tingkatan enam di dalam subjek tertentu.

2. Persoalannya ialah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengehendaki sesi pengajaran dan pembelajaran peringkat tingkatan enam menggunakan kaedah andragogi dan bukannya pedagogi seperti yang digunakan kepada murid-murid tadika sehingga tingkatan lima sekolah biasa.

3. Andragogi digunakan untuk pembelajaran dewasa seperti di IPT, IPG, Kolej Komuniti, Kolej Kejururawatan, Pusat Latihan Polis dan lain-lain institusi latihan.

4. Berbeza dengan pedagogi, dari segi peranan pelajar, andragogi lebih menekankankan pembelajaran dan penilaian kendiri oleh pelajar berbanding pedagogi yang lebih banyak memberi tanggungjawab kepada guru untuk melakukannya.

4. Dalam hal ini, pelajar adalah bertanggungjawab sepenuhnya kepada pelajaran dan prestasinya. Sekiranya didapati prestasinya kurang baik bagi sesuatu subjek, adalah menjadi tanggungjawab pelajar dewasa tersebut untuk menyelesaikannya, sama ada berjumpa dengan pensyarah, membuat ulangkaji, berbincang dengan rakan sekuliah dan lain-lain kaedah yang memerlukan usaha pelajar itu sendiri.

5. Sama juga jika seseorang pelatih jururawat atau seseorang mahasiswa IPT gagal sesuatu subjek, tidak ada sebarang program pemulihan atau kelas tambahan dilakukan untuk memperbaiki kelemahan pelajar atau pelatih tersebut.