Memaparkan catatan dengan label kepimpinan instruksional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kepimpinan instruksional. Papar semua catatan

Selasa, 24 September 2013

Amalan Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan dan Gaya Kepimpinan Instruksional Linear Pemimpin Sekolah

1.  Kepimpinan Instruksional telah lama dianggap sebagai salah satu tanggungjawab utama seseorang pemimpin sekolah.  Namun, sehingga kini  masih belum jelas tentang peranan sebenar tangggungjawab kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh seseorang pemimpin sekolah di dalam urusan tugas sehariannya.

2.  Antara perkara yang sering menjadi pertanyaan banyak pihak ialah bagaimanakan seseorang pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan instruksional dalam menjalankan tugasnya? dan apakah hasil yang diperolehi daripada amalan kepimpinan instruksional yang mereka laksanakan selama ini?

3.  Secara tradisinya seperti yang kita ketahui, bahawa amalan kepimpinan instruksional seseorang pemimpin sekolah termasuklah menyatakan harapan-harapan tingginya terhadap prestasi guru-guru dan pelajar-pelajar, menyelia proses pengajaran, memantau proses penilaian dan perkembangan pelajar, menyelaras kurikulum sekolah, serta mewujudkan iklim pembelajaran dan suasana kerja yang baik di sekolah.

4.  Pada masa kini didapati bahawa amalan kepimpinan instruksional seorang pemimpin sekolah telah diluaskan fokus peranannya daripada hanya menjadi " seorang  penilai kecekapan guru" kepada berperanan sebagai "fasilitator perkembangan profesion guru".

5.  Antara peranan yang boleh dimainkan oleh seorang fasilitator perkembangan guru,  ialah dengan mengadakan perbincangan-perbincangan profesional bersama  guru-gurunya, mewujudkan peluang  guru-guru melakukan refleksi dan perkembangan profesional mereka, serta mengembangkan komuniti pembelajaran profesional  (PLC) di sekolah.

6.  Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan  (Relational Instructional Leadership) adalah berasaskan perspektif hubungan manusia yang melihat organisasi yang dipimpin sebagai sebuah keluarga besar.

Selasa, 21 Mei 2013

Pemanfaatan Sumber Guru Melalui Tindakan Penyeliaan Berkesan


1.  Penyeliaan merupakan salah satu komponen penting di dalam kepemimpinan instruksional.

2. Secara tradisinya, penyeliaan merupakan salah satu tugas pengurusan di sekolah yang lebih menekankan kepada "melakukan sesuatu dengan cara yang betul" atau dengan kata lain pelaksanaan prosedur-prosedur standard penyeliaan klinikal seperti 'perjumpaan sebelum penyeliaan', aktiviti penyeliaan dan 'perjumpaan selepas penyeliaan '.

3. Tindakan penyeliaan  yang dilakukan oleh pemimpin sekolah dengan betul sebenarnya dapat membantu pihak sekolah menyelaras dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada di sekolah dengan cekap dan berkesan.

4. Seseorang pemimpin sekolah yang berkesan ialah seorang yang mampu memanipulasikan semua sumber yang ada di sekolah dan sekelilingnya seperti guru dan kakitangan, bangunan dan kawasan sekolah serta masyarakat sekeliling bagi mencapai matlamat sekolah.

5. Hasilnya, pemanfaatan sumber yang betul dan cekap akan membantu dalam peningkatan pencapaian akademik pelajar-pelajar sesebuah sekolah.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Amalan Kepimpinan Instruksional Sebagai Penentu Sekolah Berkesan


1. Berdasarkan analisis keputusan peperiksaan awam didapati bahawa terdapat perbezaan yang ketara prestasi antara beberapa buah sekolah menengah yang  terletak berhampiran di daerah yang sama, serta mempunyai latar belakang guru, pelajar, ibu bapa, kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama.

2.  Ada  sekolah prestasinya mengatasi peratus kebangsaan manakala sekolah-sekolah lain  prestasinya amat lemah. Perbezaan ini sebenarnya memerlukan satu faktor dalaman unik bagi sesebuah sekolah iaitu  keberkesanan  pengetuanya melaksanakan kepimpinan instruksional di samping komitmen guru-gurunya  terhadap kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh pengetua tersebut.

3. Penentuan sama ada status sesebuah akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah amat bergantung kepada faktor kepimpinan instruksional yang diamalkan di  sekolah berkenaan .

4. Selain itu, perubahan dalam masyarakat semasa telah memberi tekanan kepada sistem pendidikan terutamanya terhadap pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian pelajar (Cheryl Graczewski, Joel Knudson, & Deborah J. Holtzman: 2009).  Keghairahan pihak ibu bapa dan masyarakat terhadap pencapaian akademik sesebuah sekolah juga menimbulkan pelbagai masalah, isu dan dilema dalam kalangan guru (James Ang Jit Eng & Balasandran Ramiah : 2009). Pihak Kementerian Pelajaran pula menyediakan pelbagai standard dan piawaian bagi memastikan pihak sekolah mencapai kualiti perkhidmatan pendidikan yang telah ditetapkan.