Rabu, 13 Januari 2016

Pengurus Pendidikan Sebagai Pembimbing Dalam Memacu Pembangunan Sesebuah Organisasi Pendidikan


1.   Bimbingan dapatlah dianggap sebagai  interaksi antara pengurus sebuah organisasi pendidikan dengan kakitangan di bawahnya bagi tujuan perkembangan staf jangka pendek yang lebih memfokuskan terhadap prestasi kerja.

2.  Ini dapat dilakukan dengan penetapan matlamat, menunjukkan cara-cara pelaksanaan sesuatu tugas dengan  mempraktikannya, memberikan maklumbalas dan menggunakan kaedah pengajaran sebagai komponen bimbingan utama.

3.  Dalam konteks pengurusan pendidikan, bimbingan adalah menjadi strategi popular dalam pembangunan organisasi pendidikan yang direka bentuk untuk membantu para guru menangani masalah-masalah berkenaan dengan tugas mereka.

4.  Antaranya  seperti  cara-cara seseorang guru itu patut berfungsi di dalam tugasnya bagi memenuhi piawaian yang dikehendaki. Ini melibatkan jurang antara pengetahuan dan kemahiran yang sepatutnya dimiliki di  dalam melaksanakan tugasnya.

5.  Dalam hal ini,  pengurus seharusnya berperanan bagi mewujudkan satu proses dan memberikan peluang  kepada kakitangannya bagi memahami wawasan/visi serta piawaian-piawaian di dalam organisasi kerja mereka, yang bertujuan untuk membimbing dan memberi inspirasi  supaya dapat meningkatkan mutu kerja mereka

6. Kajian mendapati bahawa bimbingan yang diberikan oleh pihak pengurusan sekolah terhadap kakitangan di bawahnya akan lebih membantu meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi pendidikan berbanding dengan hanya melakukan penilaian prestasi.

7.  Dalam konteks pengurusan organisasi pendidikan , pihak pengurusan sepatutnya akan bertindak sebagai pembimbing dengan menggunakan strategi  berfokus terhadap hubungan yang berubah-ubah antara pengurusan sekolah dengan kakitangan di bawahnya.

8. Tujuannya adalah bagi membantu memudahkan kakitangan dan guru mengetahui dengan jelas tentang cara-cara atau tingkah laku yang betul serta berkesan dalam melaksanakan sesuatu tugas supaya dapat menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang terbaik.

9. Bimbingan terhadap guru hendaklah menjadi kemahiran teras utama yang perlu dikuasai oleh pihak pengurusan sekolah.

10. Kemahiran ini sudah tentu melibatkan penggunaan komunikasi yang berkesan dan terbuka antara pihak pengurusan dengan guru.

11. Tujuan penggunaan komunikasi berkesan ini adalah bagi memudahkan bimbingan serta  penilaian prestasi seseorang guru berasaskan tugasnya yang mengambil kira sifat  persekitaran kerja seseorang yang berbeza. Matlamatnya adalah untuk pengembangan dan penambahbaikan prestasi guru berkenaan.

12. Selain itu, ada beberapa kemahiran lain yang perlu dikuasai oleh pihak pengurusan sekolah bagi memastikan bimbingan daripada mereka terhadap guru mencapai matlamatnya.

13. Ini termasuklah keberkesanan dalam hubungan interpersonal antara pihak pengurusan sekolah dengan guru yang baik, kemahiran mendengar yang berkesan, empati terhadap masalah guru yang boleh menjejaskan prestasinya, kesabaran yang tinggi dalam membimbing guru, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan guru serta kecekapan dalam menyelesaikan pelbagai masalah di tempat kerja.

14. Walaupun kaedah ini nampaknya mudah iaitu dengan hanya melalui perbualan antara pihak pengurusan dan kakitangan/guru, namun kaedah ini agak memakan masa untuk melihat kesannya bagi meningkatkan prestasi sesebuah organisasi pendidikan.




Rabu, 9 Oktober 2013

Dilema Moral Di Dalam Organisasi Pendidikan

1. Pernahkah anda menerima arahan yang bercanggah? Misalnya anda menerima surat daripada pihak JPN untuk menghadiri satu taklimat penting di luar stesen manakala pada masa yang sama pihak sekolah meminta anda melakukan tugas lain di sekolah serta meminta anda supaya tidak hadir taklimat berkenaan.

2. Dalam hal ini, arahan siapakah yang patut kita ikut? Apakah akan berlaku sekiranya kita ingkar arahan pengetua? Apakah kesannya jika kita diamanahkan oleh pihak JPN untuk melaksanakan sesuatu tugas penting, tetapi kita gagal menghadiri taklimat  seperti yang diarahkan?

3. Atau mungkinkah juga kita tidak perlu menghiraukan arahan kedua-dua pihak tersebut.

4. Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan yang serius kerana melibatkan nilai moral dan etika seseorang yang boleh menyebabkan konflik dalaman serta serba salah.

5. Seseorang akan menjadi serba salah untuk mempertimbang  antara kepentingan-kepentingan moral daripada dua pihak  berlainan tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan.  Situasi ini dianggap sebagai dilema moral.

Selasa, 24 September 2013

Amalan Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan dan Gaya Kepimpinan Instruksional Linear Pemimpin Sekolah

1.  Kepimpinan Instruksional telah lama dianggap sebagai salah satu tanggungjawab utama seseorang pemimpin sekolah.  Namun, sehingga kini  masih belum jelas tentang peranan sebenar tangggungjawab kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh seseorang pemimpin sekolah di dalam urusan tugas sehariannya.

2.  Antara perkara yang sering menjadi pertanyaan banyak pihak ialah bagaimanakan seseorang pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan instruksional dalam menjalankan tugasnya? dan apakah hasil yang diperolehi daripada amalan kepimpinan instruksional yang mereka laksanakan selama ini?

3.  Secara tradisinya seperti yang kita ketahui, bahawa amalan kepimpinan instruksional seseorang pemimpin sekolah termasuklah menyatakan harapan-harapan tingginya terhadap prestasi guru-guru dan pelajar-pelajar, menyelia proses pengajaran, memantau proses penilaian dan perkembangan pelajar, menyelaras kurikulum sekolah, serta mewujudkan iklim pembelajaran dan suasana kerja yang baik di sekolah.

4.  Pada masa kini didapati bahawa amalan kepimpinan instruksional seorang pemimpin sekolah telah diluaskan fokus peranannya daripada hanya menjadi " seorang  penilai kecekapan guru" kepada berperanan sebagai "fasilitator perkembangan profesion guru".

5.  Antara peranan yang boleh dimainkan oleh seorang fasilitator perkembangan guru,  ialah dengan mengadakan perbincangan-perbincangan profesional bersama  guru-gurunya, mewujudkan peluang  guru-guru melakukan refleksi dan perkembangan profesional mereka, serta mengembangkan komuniti pembelajaran profesional  (PLC) di sekolah.

6.  Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan  (Relational Instructional Leadership) adalah berasaskan perspektif hubungan manusia yang melihat organisasi yang dipimpin sebagai sebuah keluarga besar.

Selasa, 21 Mei 2013

Pemanfaatan Sumber Guru Melalui Tindakan Penyeliaan Berkesan


1.  Penyeliaan merupakan salah satu komponen penting di dalam kepemimpinan instruksional.

2. Secara tradisinya, penyeliaan merupakan salah satu tugas pengurusan di sekolah yang lebih menekankan kepada "melakukan sesuatu dengan cara yang betul" atau dengan kata lain pelaksanaan prosedur-prosedur standard penyeliaan klinikal seperti 'perjumpaan sebelum penyeliaan', aktiviti penyeliaan dan 'perjumpaan selepas penyeliaan '.

3. Tindakan penyeliaan  yang dilakukan oleh pemimpin sekolah dengan betul sebenarnya dapat membantu pihak sekolah menyelaras dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada di sekolah dengan cekap dan berkesan.

4. Seseorang pemimpin sekolah yang berkesan ialah seorang yang mampu memanipulasikan semua sumber yang ada di sekolah dan sekelilingnya seperti guru dan kakitangan, bangunan dan kawasan sekolah serta masyarakat sekeliling bagi mencapai matlamat sekolah.

5. Hasilnya, pemanfaatan sumber yang betul dan cekap akan membantu dalam peningkatan pencapaian akademik pelajar-pelajar sesebuah sekolah.

Rabu, 20 Februari 2013

Kesan Kestabilan Politik Terhadap Kualiti Pendidikan Negara


1.Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan sesebuah negara adalah dicorakkan berdasarkan ideologi politik  negara itu sendiri.

2.Dalam hal ini, dasar-dasar dan perancangan pendidikan selalunya dibangunkan berasaskan pemikiran politik dan kepentingan kerajaan sesebuah negara.

3.Ini kerana kerajaan yang memerintahlah  mempunyai peranan utama dalam membangunkan sistem pendidikan di sesebuah negara.  Misalnya kerajaan memerintah bertanggungjawab dari segi pembiayaan kewangan, penetapan matlamat dan hala tuju, rekabentuk kurikulum pendidikan, latihan dan pengurusan guru, pengurusan penilaian dan pentaksiran pelajar, serta mentadbir dan mengurus aspek-aspek lain dalam pendidikan.

4.Dalam hubungan ini, sudah tentu pihak kerajaan yang memerintah  juga  bertanggungjawab bagi menyediakan peluang pendidikan kepada setiap warga negaranya dengan mengekalkan kesaksamaan peluang kepada semua, dalam usaha bagi mengurangkan kemiskinan dan menyelesaikan masalah-masalah lain di dalam masyarakat.

5.Sehubungan itu, pihak kerajaan perlu menetapkan pelbagai dasar untuk membolehkan mereka bertindak bagi memenuhi keperluan-keperluan  dan tuntutan-tuntutan ini.

6.Kestabilan politik dapatlah difahami sebagai keadaan kurangnya perubahan - perubahan yang  ketara atau dengan kata lain berlakunya kesinambungan yang baik dalam sistem politik sesebuah negara.

Isnin, 18 Februari 2013

Tekanan Bebanan Kerja dan Keseronokan Bekerja Sebagai Pendidik


1. Kerjaya  guru terdedah secara langsung dengan masyarakat dan boleh dikatakan sebagai satu bentuk perkhidmatan sosial. Profesion keguruan hari ini telah mengalami banyak perubahan dari segenap segi serta bertambah mencabar.

2. Tenaga pengajar dan pengurus organisasi pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber serta pencapaian matlamat pendidikan.

3. Sehubungan itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar.

4. Melihat kepada perkembangan semasa berhubung kerja, beban dan tugas dalam kerjaya sebagai seorang guru, maka timbul tanggapan-tanggapan bahawa kerjaya sebagai guru bukan lagi satu kerja yang mudah.

5. Masyarakat mula melihat kerjaya ini tidak lagi sebagai sesuatu yang menarik. Malah tidak dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bebanan tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul daripada situasi yang tidak diduga.

Selasa, 5 Februari 2013

Amalan Kepemimpinan Kemanusiaan Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.      Dari perspektif sumber manusia, sekolah berkesan dapatlah dianggap sebagai sebuah organisasi pendidikan yang memiliki individu-individu bermotivasi tinggi, berkepuasan tinggi serta sentiasa komited terhadap matlamat sekolah.

2.      Individu-individu yang dimaksudkan ini adalah mereka yang sentiasa bersama-sama  bekerja  dalam satu pasukan di sekolah.

3.      Melalui  kerja berpasukan mereka  sentiasa berkongsi objektif kerja yang sama, setia terhadap kumpulan, dan  saling menyokong antara satu sama lain bagi mencapai matlamat sekolah.

4.      Dalam konteks pengurusan strategik, seseorang pemimpin kemanusiaan merupakan seorang yang sentiasa berusaha meningkatkan komitmen guru-guru, perkembangan peribadi mereka serta hubungan interpersonal antara semua pihak di sekolah.

5.      Antara peranan  yang dapat dilakukan oleh pemimpin sekolah bagi mencapai matlamat ini adalah dengan melaksanakan kejurulatihan (coaching), latihan-latihan dalam perkhidmatan, menjadi mentor , dan melakukan kaunseling kerjaya terhadap guru-guru.

Ahad, 3 Februari 2013

Peranan Kepemimpinan Teknikal Dalam Pengurusan Strategik Organisasi Pendidikan


1.    Kepemimpinan teknikal dalam konteks pengurusan strategik organisasi pendidikan dapatlah dianggap sebagai satu usaha bagi memulakan, mendorong dan mengekalkan proses-proses  dalam pengurusan strategik di sesebuah organisasi pendidikan.

2.    Tujuannya adalah bagi melakukan penambahbaikan secara berterusan  terhadap organisasi pendidikan berkenaan.

3.      Melalui kepemimpinan teknikal, pemimpin organisasi pendidikan akan menyediakan pelbagai bantuan teknikal yang bersesuaian dalam usaha menambahbaik segala proses yang terlibat dalam perancangan, pengelolaan, penyelarasan serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah.

4.      Dalam konteks ini, seseorang pemimpin teknikal ialah seorang yang cekap dalam memanipulasikan pelbagai sumber, strategi dan situasi bagi mendapatkan hasil (keputusan) yang optimum.

5.        Antara tindakan yang dapat dilakukan bagi mendapatkan hasil yang optimum di sekolah ialah termasuklah pengagihan tugas yang tepat, penjelasan tepat terhadap peranan setiap kakitangan, penggunaan saluran komunikasi yang sesuai serta pengagihan sumber dan peruntukan yang betul,

6.      Di samping itu,  penerangan tentang dasar-dasar sekolah dan  prosedur-prosedur kerja hendaklah dilakukan dengan sejelas-jelasnya. Tindakan lain termasuklah pelaksanaan belanjawan yang bijak, melakukan pemantauan terhadap semua program sekolah, mengadakan khidmat nasihat serta melakukan pengupayaan terhadap guru dan kakitangan.

Jumaat, 12 Oktober 2012

Amalan Kepimpinan Instruksional Sebagai Penentu Sekolah Berkesan


1. Berdasarkan analisis keputusan peperiksaan awam didapati bahawa terdapat perbezaan yang ketara prestasi antara beberapa buah sekolah menengah yang  terletak berhampiran di daerah yang sama, serta mempunyai latar belakang guru, pelajar, ibu bapa, kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama.

2.  Ada  sekolah prestasinya mengatasi peratus kebangsaan manakala sekolah-sekolah lain  prestasinya amat lemah. Perbezaan ini sebenarnya memerlukan satu faktor dalaman unik bagi sesebuah sekolah iaitu  keberkesanan  pengetuanya melaksanakan kepimpinan instruksional di samping komitmen guru-gurunya  terhadap kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh pengetua tersebut.

3. Penentuan sama ada status sesebuah akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah amat bergantung kepada faktor kepimpinan instruksional yang diamalkan di  sekolah berkenaan .

4. Selain itu, perubahan dalam masyarakat semasa telah memberi tekanan kepada sistem pendidikan terutamanya terhadap pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian pelajar (Cheryl Graczewski, Joel Knudson, & Deborah J. Holtzman: 2009).  Keghairahan pihak ibu bapa dan masyarakat terhadap pencapaian akademik sesebuah sekolah juga menimbulkan pelbagai masalah, isu dan dilema dalam kalangan guru (James Ang Jit Eng & Balasandran Ramiah : 2009). Pihak Kementerian Pelajaran pula menyediakan pelbagai standard dan piawaian bagi memastikan pihak sekolah mencapai kualiti perkhidmatan pendidikan yang telah ditetapkan.

Ahad, 22 Julai 2012

Tanda -Tanda Kelemahan Sesebuah Organisasi Pendidikan

1. Cabaran dan kehendak semasa menjadikan sesebuah organisasi pendidikan  semakin  kompleks. Dalam proses untuk berubah menjadi lebih kompleks, sudah tentu banyak usaha perlu dilakukan dalam memenuhi tuntutan semasa yang berbeza daripada keadaan sebelumnya. Keadaan ini diperlihatkan melalui usaha - usaha  yang dilakukan pada dekad kebelakangan ini bagi mengorganisasi semula institusi pendidikan.

2. Matlamat pengorganisasian semula institusi pendidikan adalah supaya institusi pendidikan berkenaan akan mampu berperanan dengan cekap dan berkesan dalam menghadapi perubahan dsan meningkatkan prestasinya. Pengorganisasian sesebuah institusi pendidikan yang baik selalunya bermula dengan penetapan  hasil prestasi (output) yang dihasratkan daripada organisasi tersebut. Kemudian barulah dilakukan kerja-kerja memetakan semula carta organisasi sekolah.

3. Dalam hal ini, antara tanda lemahnya sesebuah organisasi pendidikan adalah apabila struktur organisasinya didapati terlalu rumit. Kesilapan  sering dilakukan oleh pentadbir sekolah dalam memetakan semula carta organisasi sekolah ialah melakukan  penambahan bilangan lapisan tahap pengurusan di sekolah sehinggakan carta organisasi sekolah menjadi  rumit dan kompleks. Keadaan ini berpunca daripada wujudnya salah tanggapan dalam kalangan pentadbir sekolah bahawa organisasi sekolah umpama sebuah mesin yang komponennya saling bergantung untuk bergerak. Semakin kompleks organisasi, semakin kuat untuk bergerak.

4. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul pelbagai halangan dan  kesukaran di dalam komunikasi terutamanya dalam hal persetujuan bersama terhadap sesuatu keputusan. Selain itu, masalah lain adalah akan berlakunya salah faham, pemesongan daripada objektif organisasi dan salah arah tumpuan. Kesannya, sudah tentu sesebuah organisasi tersebut akan sukar untuk bergerak bagi memenuhi objektif penubuhannya, malah  mustahil baginya untuk meningkatkan prestasi. Selain itu, dengan bertambahnya subordinat di bawah seseorang ketua akan mewujudkan gambaran bahawa pihak subordinat lebih banyak melakukan tugas sedangkan pihak ketua unit di atasnya tidak melakukan apa-apa.

Khamis, 12 April 2012

Kepemimpinan Berkesan Penentu Semangat Berprestasi (Spirit of Performance) Organisasi Pendidikan

1. Apakah yang menyebabkan kakitangan di dalam sesebuah organisasi pendidikan bekerja dengan gembira dan  sentiasa berusaha serta menunjukkan prestasi kerja yang tinggi?

2. Antara jawapannya ialah wujudnya penetapan matlamat kerja kakitangan  yang selaras dengan matlamat organisasi. Hasilnya, sudah tentu  secara tidak langsung  membantu  pencapaian prestasi organisasi di tempat kerja kerana mereka telah mendapat kepuasan bekerja.

3. Bagaimana pula caranya untuk mendapatkan rasa gembira di tempat kerja dan seterusnya membantu menyumbang kepada prestasi tinggi organisasi?

 4. Jawapannya sudah tentu di tangan pihak pemimpin organisasi sendiri yang melalui segala usahanya memperkenalkan budaya kerja  baik kepada semua kakitangannya selaras dengan nilai utama Kementerian Pelajaran.

5. Selain itu, pemimpin organisasi haruslah memfokuskan terhadap nilai dan kekuatan utama organisasi yang dipimpinnya.

6. Seterusnya, melalui usaha menyelaraskan matlamat pekerjaan kakitangan dengan matlamat organisasi dengan memberi pemahaman terhadap kakitangan tentang amalan-amalan baik di dalam organisasi.

7. Salah satu ciri  sesebuah organisasi pendidikan yang hebat adalah kemampuannya mengubah orang (kakitangan) biasa   menjadi kakitangan yang mampu menghasilkan sesuatu keputusan (contohnya keputusan peperiksaan awam) yang luar biasa.

Isnin, 9 April 2012

Pengaruh Kecerdasan Emosi Dalam Kepemimpinan Pendidikan

1. Kemunculan teori kecerdasan emosi telah menambah satu dimensi baru dalam bidang kepemimpinan pendidikan.

 2. Dalam konteks kepemimpinan pendidikan kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan seseorang pemimpin untuk mengenalpasti, menilai dan mengawal emosi sendiri, orang lain atau sekumpulan manusia di bawahnya bagi membantu mencapai matlamat organisasi.

3. Sesetengah penyelidik percaya bahawa kecerdasan ini boleh dipelajari tetapi ada juga yang berpendapat bahawa keupayaan ini wujud sejak seseorang itu dilahirkan lagi.

 4. Kemampuan kecerdasan emosi seseorang pemimpin pendidikan dikatakan mempunyai hubungan positif dengan kejayaan organisasi yang dipimpinnya.

Rabu, 15 Februari 2012

Sekolah Sebagai Institusi Sosial

1.   Organisasi  ditakrifkan sebagai sebuah unit sosial yang berusaha mencapai matlamat  yang telah ditetapkan bagi organisasi tersebut.

2.   Sekolah dikatakan sebagai sebuah institusi sosial kerana organisasi ini terdiri daripada beberapa kumpulan manusia iaitu pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru yang lain yang berperanan bersama-sama bagi mencapai matlamat organisasi.

3.   Setiap ahli  kumpulan di dalam organisasi sekolah mempunyai set peranan dan kedudukan  masing-masing yang seterusnya akan menentukan segala tindakan mereka di dalam institusi tersebut.

4.   Namun demikian, setiap kumpulan di sekolah sama ada pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru mempunyai peranan,  dan nilai yang berbeza-beza antara satu sama lain dalam usaha  mencapai matlamat organisasi sekolah.

Jumaat, 10 Februari 2012

Kecekapan Pengurusan Pelanggan Penentu Pendidikan Berkualiti

1. Dalam konteks pengurusan pendidikan, pelanggan merujuk kepada  pengguna perkhidmatan pendidikan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan pendidikan iaitu sesebuah institusi pendidikan yang disediakan oleh sama ada pihak kerajaan atau swasta.

2. Status pelanggan sesebuah institusi pendidikan ditentukan oleh hubungannya dengan sesebuah institusi pendidikan

3. Terdapat dua jenis pelanggan bagi sesebuah institusi pendidikan iaitu pelanggan luar dan pelanggan dalaman yang juga dikenali sebagai pihak berkepentingan (stakeholders).

4. Pelanggan dalaman sesebuah institusi pendidikan adalah seperti pelajar, guru, ibu bapa, kakitangan bukan guru dan semua warga sekolah, manakala pelanggan luaran pula terdiri daripada komuniti sekeliling, pihak kerajaan, pihak swasta, pihak politik dan pihak-pihak luar lain yang yang berkepentingan dengan sesebuah institusi pendidikan.

Selasa, 24 Januari 2012

Kepimpinan Berkarisma Dalam Institusi Pendidikan

1. Kepimpinan bermaksud kemampuan seseorang untuk mempengaruhi  orang-orang di bawahnya bagi mencapai matlamat organisasi.

2. Seseorang yang dikatakan pemimpin pendidikan adalah individu yang menetapkan visi  sesebuah organisasi pendidikan dan berusaha menggembleng seluruh tenaga orang-orang di bawahnya bagi mencapai visi tersebut.

3. Karisma adalah berkaitan dengan hasil  kepimpinan yang berkesan terutamanya apabila pengikutnya yakin dengan visi pemimpin berkenaan. Seseorang pemimpin berkarisma  dianggap mempunyai  kuasa  dan kebolehan yang luar biasa  terhadap pengikut-pengikut mereka.

4. Karisma boleh berlaku apabila wujudnya sesuatu satu krisis sosial di dalam sesebuah organisasi pendidikan,  kempimpinan seorang pemimpin mampu menarik perhatian pengikutnya dengan satu visi yang memberi peluang kepada penyelesaian masalah.

5. Pemimpin pendidikan berkarisma selalunya memiliki kemahiran bahasa badan (body language) dan kemahiran berkomunikasi yang baik. Ini sering dilakukan melalui penggunaan hubungan mata dan berjabat tangan dengan para pengikutnya.

Sabtu, 7 Januari 2012

Perbezaan Antara Pemimpin Dengan Pengurus Organisasi Pendidikan

1.    Sesebuah organisasi pendidikan diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat pihak atasan dan memenuhi  keperluan kakitangan.

2.    Dalam hal ini, pihak kakitangan sentiasa berusaha mendapatkan kepuasan  melalui pemenuhan keperluan-keperluan mereka di tempat kerja manakala matlamat pihak atasan pula dapat dicapai melalui penghasilan produktiviti yang tinggi dalam segala pekerjaan kakitangan bawahannya.

3.    Sehubungan itu, matlamat kedua-dua belah pihak ini hanya dapat dicapai melalui proses kepemimpinan yang berkesan yang diamalkan oleh pihak atasan di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

4.    Namun demikian, kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua pengurus organisasi pendidikan dapat dianggap sebagai pemimpin  yang berkesan walaupun kebanyakan pemimpin boleh dianggap pengurus organisasi pendidikan yang baik.

Rabu, 21 Disember 2011

Pendidik dan Falsafah Pendidikan

1.    Falsafah pendidikan merupakan aplikasi teori-teori falsafah dalam bidang pendidikan .

2.    Bidang pendidikan memerlukan falsafah kerana  masalah-masalah pendidikan bukan sahaja melibatkan pelaksanaan aspek-aspek pendidikan melalui pengalaman pelajar, tetapi juga mencakupi masalah-masalah  yang lebih luas, lebih dalam, serta lebih kompleks, yang tidak dapat diselesaikan melalui pengalaman  mahupun fakta-fakta  teori pendidikan.

3.    Dalam hal ini, seseorang pendidik, sama ada sebagai individu ataupun sebagai agen pelaksana pendidikan, perlu mengetahui falsafah pendidikan kerana tujuan  pendidikan sememangnya mempunyai hubungan langsung dengan tujuan hidup seseorang individu ataupun sesebuah masyarakat yang menganjurkan  pendidikan di sesebuah negara.

4.    Sehubungan itu, tujuan pendidikan perlu difahami dalam hubungannya dengan tujuan hidup.

Selasa, 6 Disember 2011

Penglibatan Aktif Keluarga dan Komuniti Setempat Membantu Peningkatan Prestasi Sekolah

1. Setiap ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mengharapkan anak-anak membantu mereka apabila  dewasa kelak.

2. Kebanyakan guru juga sedar bahawa penglibatan ibu bapa di sekolah amat penting bagi membantu peningkatan prestasi akademik pelajar kerana pada masa yang sama penglibatan ini dapat membantu pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.

3. Walaupun demikian, pemahaman pihak sekolah tentang kepentingan dan pendekatan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa di sekolah dengan lebih bermakna  didapati masih kurang.

4. Bagi memenuhi hasrat ini, pihak sekolah perlu melakukan pelbagai usaha bagi mendekati pihak ibu bapa supaya mereka melibatkan diri secara sepenuhnya dalam pelbagai program yang dianjurkan.

5. Kerjasama dan penglibatan ibu bapa di sekolah sebenarnya boleh meliputi pelbagai aspek sama ada dalam bidang akademik, perkembangan sahsiah pelajar, ko kurikulum, pembangunan fizikal sekolah dan lain-lain lagi.

Khamis, 1 Disember 2011

Pengurusan Emosi Di Institusi Pendidikan

1. Pengurusan emosi merupakan satu dimensi baru  dalam  pengurusan sesebuah institusi pendidikan.

2. Melalui program pembangunan staf yang dilaksanakan selama ini, didapati kebanyakan institusi pendidikan hanya memberi tumpuan kepada latihan aspek pemikiran logik dan rasional sahaja tanpa mengambil kira aspek-aspek kawalan dan pengurusan emosi di tempat kerja.

3. Dengan itu, kebanyakan kakitangan belajar menguruskan emosi mereka dengan hanya meniru cara-cara orang lain bertindak di tempat kerja tanpa mengetahui sama ada sesuatu tindakan sesuai itu atau tidak.

4. Kajian mendapati bahawa pihak pengurusan dan rakan sekerja di kebanyakan organisasi tidak begitu berminat jika rakan sekerja mereka meluahkan apa-apa jenis emosi secara kuat sama ada positif atau negatif.

5. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa satu-satunya cara sesuai untuk menguruskan emosi negatif di tempat kerja ialah dengan menyembunyikannya manakala emosi yang positif pula perlu diluahkan secara sederhana.

6. Seperti organisasi lain, sekolah juga dikatakan sebagai sebuah organisasi beremosi yang kompleks dan rencam.

7. Keadaan ini dikatakan menjadi salah satu punca pengurusan sesebuah sekolah pada masa kini menjadi semakin kompleks, kabur, dan bercelaru.

Selasa, 29 November 2011

Pengainayaan Kakitangan Di Tempat Kerja

1. Dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini banyak penyelidikan dilakukan pada peringkat antarabangsa mendapati bahawa kes layanan buruk termasuk penyalahgunaan tenaga kerja, pembulian dan gangguan di tempat kerja semakin meningkat.

2. Beberapa buah negara kini telah menggubal pelbagai dasar dan undang-undang yang melarang mana-mana pegawai atasan dan kakitangan di dalam sesebuah organisasi berkelakuan buruk terhadap kakitangan lain dengan niat untuk memberi layanan buruk, membuli atau mendera.

3. Dalam konteks hubungan manusia di tempat kerja, istilah "mobbing" merujuk kepada sejenis komunikasi yang digunakan oleh sekumpulan kakitangan atau orang atasan atau kedua-duanya yang bertindak secara bersama-sama untuk membuli seorang rakan sekerja atau lebih dalam tempoh jangka panjang sehingga menyebabkan kemudaratan terhadap psikologi, fizikal, dan sosial.

4. Mobbing juga dapat dianggap sebagai penderaan emosi di tempat kerja, seperti "ganging" oleh rakan sekerja, orang bawahan atau atasan, untuk memaksa seseorang keluar dari tempat kerja dengan cara menyebarkan khabar angin, sindiran, ugutan, penghinaan, mencemar nama baik, dan pengasingan, ini juga disebut sebagai berniat jahat, nonsexual, nonracial atau gangguan umum.