Rabu, 9 Oktober 2013

Dilema Moral Di Dalam Organisasi Pendidikan

1. Pernahkah anda menerima arahan yang bercanggah? Misalnya anda menerima surat daripada pihak JPN untuk menghadiri satu taklimat penting di luar stesen manakala pada masa yang sama pihak sekolah meminta anda melakukan tugas lain di sekolah serta meminta anda supaya tidak hadir taklimat berkenaan.

2. Dalam hal ini, arahan siapakah yang patut kita ikut? Apakah akan berlaku sekiranya kita ingkar arahan pengetua? Apakah kesannya jika kita diamanahkan oleh pihak JPN untuk melaksanakan sesuatu tugas penting, tetapi kita gagal menghadiri taklimat  seperti yang diarahkan?

3. Atau mungkinkah juga kita tidak perlu menghiraukan arahan kedua-dua pihak tersebut.

4. Keadaan ini sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan yang serius kerana melibatkan nilai moral dan etika seseorang yang boleh menyebabkan konflik dalaman serta serba salah.

5. Seseorang akan menjadi serba salah untuk mempertimbang  antara kepentingan-kepentingan moral daripada dua pihak  berlainan tentang apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan.  Situasi ini dianggap sebagai dilema moral.

6. Realitinya, dilema moral adalah satu keadaan  tidak menyenangkan yang dialami oleh hampir semua daripada kita di  dalam bidang pendidikan yang kadang-kadang boleh membawa kepada kekecewaan dan konflik dalam menyelesaikan serta menguruskan dilema ini.

7. Dilema moral ialah satu situasi apabila seseorang perlu membuat pilihan antara dua  atau lebih pilihan yang sama penting. Moral adalah perkara baik dan pengajaran yang dipelajari daripada sesuatu. 

8. Dilema moral juga  sering  melibatkan konflik  mental kerana jika kita memilih untuk mematuhi sesuatu arahan boleh menyebabkan kita akan mengingkari arahan pihak yang satu lagi. Ini kerana kita tidak dapat memenuhi kedua-duanya permintaan secara serentak.

9. Antara ciri konflik yang dialami seseorang menghadapi dilemma moral ialah seseorang itu dikehendaki melakukan dua atau lebih perkara.

10. Selain itu, seseorang itu sebenarnya mampu melaksanakan kedua-dua perkara tersebut tetapi dia tidak mampu untuk melakukannya serentak pada satu-satu masa.

11. Dilema moral juga boleh berlaku apabila timbul konflik antara nilai-nilai profesional dengan kepentingan peribadi seseorang guru. Sebagai contoh  seorang guru disiplin menghadapi konflik dan serba salah apabila menerima aduan pelajar lain bahawa anaknya didapati merokok di kawasan sekolah dan dia sendiri terpaksa menangkap dan menghukum anaknya.

 12. Seterusnya, apabila wujudnya konflik antara  nilai profesional dengan nilai kepercayaan yang dipegang juga boleh menimbulkan dilema moral. Sebagai contoh, seorang guru perempuan menghadapi dilema untuk mengenakan jenis dendaan yang sesuai terhadap pelajar perempuan yang tidak memakai sarung lengan ketika berada di kawasan sekolah sehinggakan ada guru yang mengambil tindakan secara ekstrim dengan mendera pelajar tersebut. 

13. Di samping itu, konflik antara bakat/minat seseorang dengan peranan yang yang wajib dimainkan juga boleh membawa kepada dilema moral. Misalnya, seorang guru baru yang tidak berminat langsung dengan sukan sudah tentu mengalami konflik untuk menerima arahan  dengan sepenuh hati apabila dia diarahkan mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani  .

14. Dalam keadaan lain pula dilema moral boleh, pada masa-masa tertentu, timbul akibat alternatif yang tidak dapat dielakkan lagi. Contohnya, apabila seseorang kakitangan sekolah secara tidak langsung diarah untuk memanipulasi laporan penyeliaan makanan asrama  yang akan memberi faedah kepada sebuah syarikat atau individu-individu tertentu di sekolahnya. 

15. Dalam hal ini maka dia mempunyai dua pilihan - sama ada mengikut arahan pihak atasan atau melaporkan penyelewengan tersebut kepada pihak berkuasa. 

16. Bagi mengatasi dilema-dilema ini pelbagai cara telah digunakan oleh seseorang bagi menyelesaikan dilema moral yang dihadapinya. Misalnya ada pihak yang menggunakan taktik pembohongan, penggunaan keganasan, mendera orang lain, membunuh diri atau tidak peduli terhadap mana-mana pihak.

17. Antara strategi  berkesan yang dapat diambil bagi mengatasi dilema  ini ialah menggunakan Strategi Pembinaan Hirarki, Strategi Pencairan Masalah, Strategi Kompromi, Strategi Analisis Nilai dan Strategi Perkembangan Moral Kognitif.

18. Kesimpulannya, dilema moral boleh berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa  terutamanya di tempat kerja kerana terdapat pelbagai jenis manusia di situ.

19. Perbezaan latar belakang, budaya, nilai, minat, kepercayaan,ideologi dan sebagainya akan menjadikan sesuatu konflik moral menjadi bertambah rumit lagi.

20. Kekeliruan yang timbul di dalam diri  seseorang akibat  perbezaan  prinsip moral dan nilai di dalam sesebuah organisasi pendidikan, boleh memberi kesan terhadap keputusan dan tindakan yang bakal diambil oleh seseorang bagi mengatasi dilema tersebut. 

21. Kekeliruan dan kesilapan dalam pembuatan keputusan  sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain sudah tentu akan mengundang pelbagai masalah yang sukar untuk diselesaikan jika tidak ditangani dengan berhemah.












Tiada ulasan: