1. Bimbingan dapatlah dianggap sebagai interaksi antara pengurus sebuah organisasi
pendidikan dengan kakitangan di bawahnya bagi tujuan perkembangan staf jangka
pendek yang lebih memfokuskan terhadap prestasi kerja.
2. Ini dapat dilakukan
dengan penetapan matlamat, menunjukkan cara-cara pelaksanaan sesuatu tugas
dengan mempraktikannya, memberikan
maklumbalas dan menggunakan kaedah pengajaran sebagai komponen bimbingan utama.
3. Dalam konteks pengurusan pendidikan,
bimbingan adalah menjadi strategi popular dalam pembangunan organisasi
pendidikan yang direka bentuk untuk membantu para guru menangani
masalah-masalah berkenaan dengan tugas mereka.
4. Antaranya seperti
cara-cara seseorang guru itu patut berfungsi di dalam tugasnya bagi
memenuhi piawaian yang dikehendaki. Ini melibatkan jurang antara pengetahuan dan kemahiran
yang sepatutnya dimiliki di dalam
melaksanakan tugasnya.
5. Dalam hal ini, pengurus seharusnya berperanan bagi
mewujudkan satu proses dan memberikan peluang
kepada kakitangannya bagi memahami wawasan/visi serta piawaian-piawaian
di dalam organisasi kerja mereka, yang bertujuan untuk membimbing dan memberi
inspirasi supaya dapat meningkatkan mutu
kerja mereka
6. Kajian mendapati
bahawa bimbingan yang diberikan oleh pihak pengurusan sekolah terhadap
kakitangan di bawahnya akan lebih membantu meningkatkan produktiviti sesebuah
organisasi pendidikan berbanding dengan hanya melakukan penilaian prestasi.
7. Dalam konteks
pengurusan organisasi pendidikan , pihak pengurusan sepatutnya akan bertindak
sebagai pembimbing dengan menggunakan strategi berfokus terhadap hubungan yang berubah-ubah
antara pengurusan sekolah dengan kakitangan di bawahnya.
8. Tujuannya adalah
bagi membantu memudahkan kakitangan dan guru mengetahui dengan jelas tentang
cara-cara atau tingkah laku yang betul serta berkesan dalam melaksanakan
sesuatu tugas supaya dapat menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang terbaik.
9. Bimbingan terhadap
guru hendaklah menjadi kemahiran teras utama yang perlu dikuasai oleh pihak
pengurusan sekolah.
10. Kemahiran ini
sudah tentu melibatkan penggunaan komunikasi yang berkesan dan terbuka antara
pihak pengurusan dengan guru.
11. Tujuan penggunaan
komunikasi berkesan ini adalah bagi memudahkan bimbingan serta penilaian prestasi seseorang guru berasaskan
tugasnya yang mengambil kira sifat
persekitaran kerja seseorang yang berbeza. Matlamatnya adalah untuk
pengembangan dan penambahbaikan prestasi guru berkenaan.
12. Selain itu, ada
beberapa kemahiran lain yang perlu dikuasai oleh pihak pengurusan sekolah bagi
memastikan bimbingan daripada mereka terhadap guru mencapai matlamatnya.
13. Ini termasuklah
keberkesanan dalam hubungan interpersonal antara pihak pengurusan sekolah
dengan guru yang baik, kemahiran mendengar yang berkesan, empati terhadap
masalah guru yang boleh menjejaskan prestasinya, kesabaran yang tinggi dalam
membimbing guru, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan guru serta kecekapan
dalam menyelesaikan pelbagai masalah di tempat kerja.
14. Walaupun kaedah
ini nampaknya mudah iaitu dengan hanya melalui perbualan antara pihak
pengurusan dan kakitangan/guru, namun kaedah ini agak memakan masa untuk melihat
kesannya bagi meningkatkan prestasi sesebuah organisasi pendidikan.
1 ulasan:
Satu pengkongsiaan yang banyak membantu dalam pengurusan pelbagai persona personal dan mempelbagai kaedah dan helah untuk memajukan organisasi selaras dengan tujuan organisasi itu.
Catat Ulasan