1. Kepimpinan Instruksional telah lama dianggap
sebagai salah satu tanggungjawab utama seseorang pemimpin sekolah. Namun, sehingga kini masih belum jelas tentang peranan sebenar
tangggungjawab kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh seseorang pemimpin
sekolah di dalam urusan tugas sehariannya.
2. Antara perkara yang sering menjadi pertanyaan
banyak pihak ialah bagaimanakan seseorang pemimpin sekolah mengamalkan
kepimpinan instruksional dalam menjalankan tugasnya? dan apakah hasil yang
diperolehi daripada amalan kepimpinan instruksional yang mereka laksanakan
selama ini?
3. Secara tradisinya seperti yang kita ketahui, bahawa
amalan kepimpinan instruksional seseorang pemimpin sekolah termasuklah
menyatakan harapan-harapan tingginya terhadap prestasi guru-guru dan
pelajar-pelajar, menyelia proses pengajaran, memantau proses penilaian dan
perkembangan pelajar, menyelaras kurikulum sekolah, serta mewujudkan iklim
pembelajaran dan suasana kerja yang baik di sekolah.
4. Pada masa kini didapati bahawa amalan
kepimpinan instruksional seorang pemimpin sekolah telah diluaskan fokus
peranannya daripada hanya menjadi " seorang penilai kecekapan guru" kepada
berperanan sebagai "fasilitator perkembangan profesion guru".
5. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh seorang
fasilitator perkembangan guru, ialah
dengan mengadakan perbincangan-perbincangan profesional bersama guru-gurunya, mewujudkan peluang guru-guru melakukan refleksi dan perkembangan
profesional mereka, serta mengembangkan komuniti pembelajaran profesional (PLC) di sekolah.
6. Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan (Relational Instructional Leadership) adalah
berasaskan perspektif hubungan manusia yang melihat organisasi yang dipimpin
sebagai sebuah keluarga besar.
7. Sebagai pemimpin di dalam keluarga besar,
kepemimpinan sekolah akan berusaha memastikan guru-guru dan pelajar-pelajar di
bawahnya sentiasa berada dalam keadaan terbaik dengan perkara-perkara yang
mereka lakukan supaya mereka dapat gigih berusaha serta berbangga dengan segala
usaha mereka.
8. Melalui
gaya kepimpinan ini, peningkatan prestasi keputusan peperiksaan tidaklah
diperolehi melalui amalan kepimpinan instruksional biasa secara langsung,
tetapi peningkatan prestasi berlaku hasil daripada hubungan baik yang dibina
antara kepemimpinan sekolah dengan para guru dan pelajar-pelajarnya.
9. Antara usaha yang boleh
dilakukan melalui gaya kepimpinan jenis ini ialah pemimpin sekolah akan berusaha
meluangkan masanya untuk bersama-sama pelajar dan guru-gurunya sama ada di
sekolah atau di luar kawasan sekolah.
10. Pada peluang keemasan ini juga, beliau akan
bertanya khabar kepada mereka, bersedia untuk mendengar masalah, rungutan atau
cadangan, berusaha mendengar cerita dan khabar pelajar, membela dan mendorong pelajar-pelajar
yang lemah, memberi kaunseling terhadap para guru dan pelajar yang memerlukan serta
memastikan guru-guru di bawahnya sentiasa berada dalam keadaan "OK"
(dari segi mental, emosi dan kesihatan fizikal) untuk membantu pelajar-pelajar
mencapai kejayaan.
11. Manakala, gaya Kepimpinan Instruksional
Linear (Linear Instructional Leadership) pula ialah gaya kepimpinan
instruksional yang biasa diamalkan oleh pemimpin-pemimpin sekolah. Melalui gaya
kepimpinan ini, pihak pemimpin sekolah akan berusaha memastikan supaya segala
aktiviti akademik di sekolahnya seiring dengan kehendak dan piawaian yang telah
ditetapkan.
12. Dalam hal ini, segala aktiviti pengajaran
akan dipantau dengan teliti bagi memastikan segala aspek di dalamnya mematuhi sistem yang telah direkabentuk dan serta
menepati sasaran yang telah ditetapkan.
13. Selain itu, pemimpin sekolah juga akan
memastikan supaya wujud penyelarasan antara kurikulum, objektif pembelajaran
dan ujian rujukan kriteria dengan piawaian-piawaian yang telah ditetapkan. Di
samping itu, beliau akan sentiasa memantau hasil-hasil pengajaran melalui
data-data ujian.
14. Antara perkara yang dilakukan melalui gaya kepimpinan
jenis ini ialah menyediakan dokumen
panduan kurikulum bagi
memperincikan tentang perkara-perkara yang seharusnya diajar pada tarikh
tertentu.
15. Seterusnya perkara lain yang dilakukan ialah mengadakan
Ujian Penanda Arasan (Benchmark Testing) bagi menguji sama ada para pelajar telah diajar
tajuk-tajuk khusus yang telah ditetapkan di dalam dokumen panduan
kurikulum dalam tempoh tertentu .
16. Di samping itu, aktiviti yang dilakukan oleh
pemimpin sekolah melalui gaya kepimpinan ini ialah pemantauan terhadap
rancangan pengajaran guru. Gaya kepimpinan ini mengandaikan bahawa terdapat
hubungan positif antara rancangan pengajaran guru yang baik dengan pembelajaran
pelajar yang baik.
17. Secara ringkasnya, gaya kepimpinan
instruksional linear ini merupakan satu bentuk kepimpinan instruksional yang
lebih menjurus ke arah peperiksaan. Ini kerana kebanyakan proses kepimpinan di
dalamnya lebih kepada memimpin dan memantau pengajaran guru bagi tujuan menyediakan
pelajar untuk menghadapi peperiksaan.
18. Kesimpulannya, Gaya Kepimpinan Instruksional
Linear lebih bersifat impersonal dan lebih memfokuskan terhadap hasil keputusan
peperiksaan. Namun, Gaya Kepimpinan Instruksional Hubungan pula didapati hanya
sesuai digunakan pada peringkat permulaan tahun sesi persekolahan berbanding pada waktu
hampir peperiksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan