Selasa, 21 Mei 2013

Pemanfaatan Sumber Guru Melalui Tindakan Penyeliaan Berkesan


1.  Penyeliaan merupakan salah satu komponen penting di dalam kepemimpinan instruksional.

2. Secara tradisinya, penyeliaan merupakan salah satu tugas pengurusan di sekolah yang lebih menekankan kepada "melakukan sesuatu dengan cara yang betul" atau dengan kata lain pelaksanaan prosedur-prosedur standard penyeliaan klinikal seperti 'perjumpaan sebelum penyeliaan', aktiviti penyeliaan dan 'perjumpaan selepas penyeliaan '.

3. Tindakan penyeliaan  yang dilakukan oleh pemimpin sekolah dengan betul sebenarnya dapat membantu pihak sekolah menyelaras dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada di sekolah dengan cekap dan berkesan.

4. Seseorang pemimpin sekolah yang berkesan ialah seorang yang mampu memanipulasikan semua sumber yang ada di sekolah dan sekelilingnya seperti guru dan kakitangan, bangunan dan kawasan sekolah serta masyarakat sekeliling bagi mencapai matlamat sekolah.

5. Hasilnya, pemanfaatan sumber yang betul dan cekap akan membantu dalam peningkatan pencapaian akademik pelajar-pelajar sesebuah sekolah.

6.  Guru-guru dianggap sebagai  sumber terpenting yang dimiliki oleh sesebuah sekolah.

7.   Dalam usaha mendapatkan maklumat terbaik tentang kepakaran dan keperluan seseorang guru di bilik darjah, pemimpin sekolah melalui lawatan penyeliaannya ke bilik - bilik darjah perlulah memastikan guru berkenaan 'melakukan perkara yang betul' mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

8.  Seterusnya selepas lawatan penyeliaan ke sesebuah di bilik darjah, pemimpin sekolah seharusnya memberi peluang kepada para guru untuk berkongsi idea-ideanya sama ada di dalam Latihan Dalam Perkhidmatan yang diadakan pada peringkat sekolah ataupun melalui perjumpaan-perjumpaan profesional secara formal ataupun tidak formal di sekolah atau di luar sekolah.

9.  Dalam hal ini, penyelarasan sumber guru dengan betul dan bijak akan menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik pelajar.

10.  Seseorang pemimpin sekolah  dianggap sudah melakukan tindakan penyeliaan sekiranya beliau sekadar  berjalan meninjau dan melintasi bilik darjah, berbual-bual dengan guru-gurunya,  mengatur lawatan guru-gurunya ke sekolah lain atau menerima lawatan guru-guru dari sekolah lain ke sekolahnya.

11. Selain itu,  sebagai penyelaras sumber di sekolahnya, seseorang pemimpin sekolah hendaklah memiliki maklumat yang lengkap berkenaan semua stafnya.

12. Maklumat yang dimiliki dan perhatian seseorang pemimpin sekolah terhadap tahap kesihatan dan kecergasan,  kebajikan, dan kemajuan profesion guru-gurunya akan memudahkannya menetapkan peranan yang sesuai dan boleh dimainkan oleh seseorang guru dalam membantu pencapaian sekolahnya.

13. Seterusnya, pemilikan maklumat tentang sumber guru yang ada di bawahnya akan memudahkan pihak pengurusan sekolah memenuhi keperluan dan menggunakan kepakaran yang ada pada guru-guru tersebut bagi memenuhi kepuasan profesionalisme mereka yang seterusnya membantu pencapaian matlamat sesebuah sekolah.

14. Kesimpulannya, adalah sesuatu yang merugikan sekiranya interaksi antara guru-guru dengan pihak kepimpinan sekolah dilakukan dalam kadar yang terhad. Lebih merugikan lagi sekiranya aktiviti penyeliaan hanya digunakan untuk menilai prestasi seseorang guru dalam tempoh yang tidak realistik. Sebenarnya,  terdapat banyak lagi manfaat yang dapat diperoleh melalui aktiviti ini.

15. Dalam hal ini, maklumat yang diperoleh daripada tindakan penyeliaan yang berkesan akan menyumbang terhadap peningkatan prestasi sesebuah sekolah.

Tiada ulasan: