Isnin, 18 Februari 2013

Tekanan Bebanan Kerja dan Keseronokan Bekerja Sebagai Pendidik


1. Kerjaya  guru terdedah secara langsung dengan masyarakat dan boleh dikatakan sebagai satu bentuk perkhidmatan sosial. Profesion keguruan hari ini telah mengalami banyak perubahan dari segenap segi serta bertambah mencabar.

2. Tenaga pengajar dan pengurus organisasi pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber serta pencapaian matlamat pendidikan.

3. Sehubungan itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar.

4. Melihat kepada perkembangan semasa berhubung kerja, beban dan tugas dalam kerjaya sebagai seorang guru, maka timbul tanggapan-tanggapan bahawa kerjaya sebagai guru bukan lagi satu kerja yang mudah.

5. Masyarakat mula melihat kerjaya ini tidak lagi sebagai sesuatu yang menarik. Malah tidak dinafikan ada yang melihat sekolah sebagai sebuah organisasi yang dihujani dengan pelbagai bebanan tugas dan ada kalanya bebanan tugas ini bukan satu yang terancang tetapi muncul daripada situasi yang tidak diduga.


6. Perubahan dunia pendidikan hari ini menyebabkan senarai tugas guru semakin panjang dan harapan terhadap guru semakin tinggi, sedangkan keadaan lain tidak banyak berubah.

7. Guru sendiri serta persekitaran pembelajaran itu tidak disediakan dengan sempurna bagi menghadapi perubahan dalam pendidikan. Atas perubahan sebegini, maka kemungkinan pada masa akan datang akan timbul fenomena guru mengambil keputusan bersara awal atau bertukar kerjaya.

8. Individu guru tidak mungkin dapat berfungsi dengan baik dan efektif jika ia berada dalam keadaan tertekan . Perasaan tertekan menjadikan seseorang itu tidak rasional, cemas, tegang serta tidak dapat memusatkan perhatian terhadap kerja dan gagal menikmati rasa gembira atau puas hati terhadap kerja yang dilakukan.

9. Dalam hal ini didapati bahawa bebanan tugas berlebihan boleh menyebabkan morale dan produktiviti kerja menurun. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menjejaskan mutu pendidikan negara.

10. Seandainya tanggapan serta perubahan yang kurang menyenangkan ini tidak ditangani dengan bijaksana, sudah pasti suasana pengajaran-pembelajaran di sekolah kini akan menuju ke arah keadaan yang tidak terurus dan pencapaian matlamat pendidikan mungkin akan menemui jalan buntu.

11. Antara bebanan tugas yang  boleh menimbulkan tekanan kepada   guru-guru  adalah apabila mereka diminta melaksanakan tugas-tugas yang berlebihan sedangkan kemampuan guru berkenaan amat terbatas. Dengan kemampuan yang terbatas  guru-guru akan berasa tertekan apabila diminta oleh pentadbir sekolah untuk mencapai sesuatu yang tidak mungkin dicapainya. Dalam hal ini didapati bahawa, pelajar-pelajar  yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang tahap kemampuan pelajar normal diminta untuk lulus dan mencapai prestasi  sama seperti pelajar cemerlang. Keadaan ini akan menyebabkan guru dan pelajar berasa tertekan  dan putus asa kerana kemampuan mereka terbatas untuk mencapai sesuatu tahap yang agak mustahil untuk dicapai.

12. Selain itu, guru-guru juga terpaksa mematuhi kehendak perkembangan pendidikan terkini yang memerlukan guru-guru menyiapkan pelbagai dokumen yang diperlukan untuk rekod  pencapaian individu bagi setiap pelajar. Dalam hal ini, terdapat banyak rungutan daripada kalangan guru bahawa mereka terpaksa menyiapkan pelbagai tugasan dan ini memerlukan banyak masa untuk diselesaikan. Guru berasa tertekan kerana masalah terlalu banyaknya tugasan dan dokumen-dokumen yang perlu disiapkan. Keadaan ini termasuklah tugas membuat salinan fotokopi, rancangan pengajaran, menyemak latihan pelajar, mengendalikan perjumpaan dengan ibu bapa, mengisi buku laporan pelajar serta tugas-tugas lain yang perlu dilaksanakan oleh seorang guru.

13. Selain tugas umum sebagai guru, mereka juga perlu menghadiri pelbagai mesyuarat, menulis dan mengemaskini data-data,  memantau tingkah laku pelajar, mengadaptasi kurikulum dan mentadbir ujian pencapaian pelajar. Tugas-tugas tambahan ini didapati menimbulkan dua bentuk rasa yang tidak menyeronokkan.  Pertama adalah masalah bagi menyiapkan tugasan yang banyak dan perlu disiapkan sebagai dokumen bukti pelaksanaan program kepada pelajar pada masa yang telah ditetapkan. Masalah kedua adalah guru-guru  merasakan bahawa tugasan-tugasan tersebut terlalu memakan masa untuk disiapkan sehingga mereka tidak ada masa  untuk bertemu dengan pelajar-pelajar masing-masing.

14. Pada masa kini  juga didapati saiz bilik darjah menjadi semakin mengecil disebabkan oleh pertambahan bilangan pelajar di dalam sesebuah kelas. Dalam hal ini didapati bahawa  pertambahan bilangan pelajar di dalam sesebuah kelas boleh menyebabkan banyak keperluan yang perlu dipenuhi bertambah. Dengan itu, guru berasa terbeban dengan masalah ini kerana para pelajar memerlukan perhatian khas daripada guru untuk terus berada di sekolah tersebut. Bebanan ini juga boleh menyebabkan guru tertekan.

15. Di samping itu, tekanan bebanan tugas guru juga boleh berpunca daripada masalah tingkah laku dan sosial pelajar-pelajar. Dalam hal ini didapati bahawa keadaan tersebut  boleh memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar berkenaan. Bagi mengatasi masalah ini guru-guru terpaksa menggunakan banyak  masa bagi membetulkan masalah tingkah laku ini. Kesannya, ada kalangan guru berasa kurang bermotivasi untuk melaksanakan tugas-tugasnya.

16. Kurangnya sokongan daripada pihak pentadbir sekolah  misalnya  dalam memastikan keadaan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berada dalam keadaan kondusif juga boleh memberi tekanan dan beban kepada guru. Dalam hal ini didapati bahawa ada kalangan pentadbir  sekolah yang tidak begitu mengambil berat terhadap disiplin pelajar di bilik darjah. Selain itu, didapati bahawa ada kalangan daripada pihak ibu bapa juga tidak begitu menyokong program-program yang diwujudkan di sekolah.

17. Di samping menanggung tugas yang dianggap memberikan tekanan, terdapat juga pelbagai aspek positif dalam tugas sebagai seorang guru. Antaranya, tugas mengajar boleh menjadikan seseorang itu berasa gembira tentang pekerjaan yang dilakukannya. Dalam hal ini didapati bahawa  hubungan baik  yang dibina antara guru dengan pelajar dan rakan-rakan sejawat merupakan salah satu sebab seseorang itu berminat menjadi guru. Selain itu, kepuasan setelah berjaya mengubah tingkah laku pelajar juga merupakan salah satu yang menyebabkan seseorang itu berminat untuk menjadi guru.

18. Selain itu, aspek lain yang  menyeronokkan  adalah  terdapatnya unsur kekreatifan yang diperoleh daripada  tugas pengajaran di bilik darjah. Dalam hal ini didapati bahawa  bahawa keseronokan dalam bertugas sebagai guru diperoleh apabila seseorang guru itu mampu merancang dan menentukan rancangan pengajaran secara kreatif. Di samping itu, aspek lain yang menyeronokkan adalah kekreatifannya dalam menyelesaikan masalah mengadaptasi kurikulum untuk dilaksanakan di dalam pengajarannya.
       
19. Perkara lain yang menyeronokkan ketika menjadi guru adalah perasaan kejayaan apabila pelajar-pelajar menunjukkan pencapaian prestasi yang tinggi di dalam peperiksaan hasil bantuan dan usaha guru tersebut. Dalam hal ini didapati bahawa keseronokan wujud setelah guru berkenaan bersungguh-sungguh membantu pelajar-pelajarnya belajar dengan menyediakan tempat belajar yang selamat dan kondusif serta melihat pelajar-pelajarnya gembira belajar. Selain itu, perkara lain yang menyeronokkan ialah  setelah guru berkenaan berjaya membantu pelajar-pelajarnya mencapai cita-cita masing-masing dan membuatkan mereka berjaya. Seseorang guru akan berasa amat gembira apabila mengetahui bahawa dia berjaya membawa perubahan yang baik terhadap diri pelajar-pelajarnya.

20. Secara kesimpulannya didapati bahawa tidak ada satupun alasan yang tetap bagi menjelaskan sebab-sebab seseorang guru berasa terbeban dan tertekan terhadap kerjayanya.

21. Dalam hal ini didapati bahawa sesuatu yang dianggap baik dan seronok oleh seseorang guru, mungkin dianggap tidak menarik dan tidak menyeronokkan oleh guru-guru lain.

22. Dengan itu, hubungan baik yang dibentuk antara guru-guru  dengan pelajar-pelajar serta rakan-rakan sejawat lain serta menjaga kebajikan personel pendidikan iaitu melalui tindakan - tindakan memberi perhatian dan mengambil berat tentang kebajikan guru di tempat kerja termasuk aspek keselesaan, keselamatan, kesihatan, kemudahan riadah dan sukan merupakan salah satu faktor yang boleh menyebabkan seseorang guru akan terus kekal dan bermotivasi menceburi bidang tersebut.



Tiada ulasan: