1. Dari perspektif sumber manusia, sekolah
berkesan dapatlah dianggap sebagai sebuah organisasi pendidikan yang memiliki
individu-individu bermotivasi tinggi, berkepuasan tinggi serta sentiasa komited
terhadap matlamat sekolah.
2. Individu-individu yang dimaksudkan ini adalah
mereka yang sentiasa bersama-sama bekerja
dalam satu pasukan di sekolah.
3. Melalui
kerja berpasukan mereka sentiasa
berkongsi objektif kerja yang sama, setia terhadap kumpulan, dan saling menyokong antara satu sama lain bagi
mencapai matlamat sekolah.
4. Dalam konteks pengurusan strategik,
seseorang pemimpin kemanusiaan merupakan seorang yang sentiasa berusaha
meningkatkan komitmen guru-guru, perkembangan peribadi mereka serta hubungan
interpersonal antara semua pihak di sekolah.
5. Antara peranan yang dapat
dilakukan oleh pemimpin sekolah bagi mencapai matlamat ini adalah dengan melaksanakan kejurulatihan
(coaching), latihan-latihan dalam perkhidmatan, menjadi mentor , dan melakukan kaunseling
kerjaya terhadap guru-guru.
6. Melalui peranan pemimpin sekolah ini juga,
guru-guru dan kakitangan sekolah akan
dapat meningkatkan kemahiran individu
yang seterusnya akan membantu mereka meningkatkan kemampuan kerjaya.
7. Dalam melakukan analisis persekitaran,
pemimpin sekolah kemanusiaaan akan berusaha mencipta dan memupuk iklim sekolah
jenis terbuka dalam kalangan warga sekolah agar mereka mampu memberikan gerakbalas
terhadap masalah-masalah dan keperluan-keperluan yang wujud di sekolah.
8. Iklim terbuka diwujudkan bagi menjamin
supaya proses analisis persekitaran dan pengenalpastian masalah dapat
dikendalikan secara bersama-sama dengan semangat berpasukan dalam kalangan
guru-guru dan kakitangan sekolah.
9. Dalam mencapai hasrat ini, pemimpin
sekolah akan menggalakkan penyertaan daripada semua warga sekolah untuk memberi
gerakbalas terhadap hasil analisis persekitaran yang telah dilaksanakan untuk
tujuan kemajuan masa hadapan sekolah.
10. Selain itu, melalui analisis persekitaran
yang telah dilakukan juga akan memberikan pengalaman pembelajaran yang positif
kepada semua warga sekolah.
11. Iklim sekolah terbuka juga diwujudkan
sebagai satu usaha dalam melakukan proses perancangan dan penstrukturan sekolah.
Ini dilakukan dengan cara menggalakkan
perbincangan secara berpasukan dalam penetapan visi dan misi sekolah secara
bersama, perancangan program-program dan perancangan sekolah.
12. Dengan mewujudkan perbincangan secara
terbuka juga, pemimpin sekolah akan
dapat memberi peluang pembelajaran dan perkembangan individu kepada staf
sekolah tersebut.
13 Selain itu, dalam mengurus dan memimpin
organisasinya, pemimpin sekolah akan sedaya upaya mengiktiraf setiap penyertaan warga sekolahnya dalam aktiviti-aktiviti pengurusan
dan kepemimpinan di sekolah.
14. Aktiviti-aktiviti ini seterusnya akan membantu dan memupuk pemajuan individu, hubungan interpersonal
serta semangat berpasukan dalam kalangan warga sekolah.
15. Di samping itu, melalui penyertaan guru-guru
dan kakitangan dalam aktiviti-aktiviti pengurusan dan kepemimpinan akan menyediakan
mereka satu bentuk cabaran baru untuk bekerja
sesuai dengan kebolehan mereka.
16. Selain itu, melalui penyertaan ini juga akan
mampu merangsang kreativiti dan inovasi warga sekolah dalam usaha mencapai matlamat
sekolah.
17. Seterusnya, dalam melaksanakan proses
pemantauan dan penilaian pula, pemimpin sekolah akan melakukannya dengan cara
memupuk semangat bekerjasama, semangat kerja berpasukan, dan memupuk komitmen dalam
kalangan warga sekolah di samping mewujudkan iklim pembelajaran terbuka dalam melakukan penilaian prestasi terhadap individu
, kumpulan, dan sekolah secara
keseluruhannya.
18. Dalam hal ini, pemimpin sekolah akan
sentiasa bertindak memberikan pujian, pengiktirafan, dan ganjaran bagi menggalakkan prestasi cemerlang warga sekolah mengikut tahap tugas yang
berbeza.
19. Kesimpulannya, dapatan yang diperolehi daripada proses
pemantauan dan penilaian amat berguna kepada pihak berkepentingan sekolah bagi
melakukan tindakan susulan untuk tujuan penambahbaikan secara berterusan
terhadap proses-proses di sekolah, menimbang semula proses pengurusan sekolah,
menyemak semula dasar-dasar, merancang semula program-program tindakan dan menyusun semula struktur sekolah.
20. Dalam erti kata lain, maklumat ini akan
menyumbang kepada permulaan baru dalam kitaran pengurusan strategik yang seterusnya secara tidak langsung membantu
individu, kumpulan dan sekolah secara keseluruhannya belajar, memperbaiki dan
membangunkan sekolah mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan