1. Kepemimpinan teknikal dalam konteks pengurusan strategik organisasi
pendidikan dapatlah dianggap sebagai satu usaha bagi memulakan, mendorong dan
mengekalkan proses-proses dalam
pengurusan strategik di sesebuah organisasi pendidikan.
2. Tujuannya adalah bagi melakukan
penambahbaikan secara berterusan terhadap
organisasi pendidikan berkenaan.
3. Melalui kepemimpinan teknikal,
pemimpin organisasi pendidikan akan menyediakan pelbagai bantuan teknikal yang
bersesuaian dalam usaha menambahbaik segala proses yang terlibat dalam
perancangan, pengelolaan, penyelarasan serta pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran di sesebuah sekolah.
4. Dalam konteks ini, seseorang
pemimpin teknikal ialah seorang yang cekap dalam memanipulasikan pelbagai sumber, strategi dan situasi bagi mendapatkan hasil (keputusan) yang optimum.
5. Antara tindakan yang dapat
dilakukan bagi mendapatkan hasil yang optimum di sekolah ialah termasuklah
pengagihan tugas yang tepat, penjelasan tepat terhadap peranan setiap
kakitangan, penggunaan saluran komunikasi yang sesuai serta pengagihan sumber
dan peruntukan yang betul,
6. Di samping itu, penerangan tentang dasar-dasar sekolah dan prosedur-prosedur kerja hendaklah dilakukan
dengan sejelas-jelasnya. Tindakan lain termasuklah pelaksanaan belanjawan yang
bijak, melakukan pemantauan terhadap semua program sekolah, mengadakan khidmat
nasihat serta melakukan pengupayaan terhadap guru dan kakitangan.
7. Dalam usaha bagi melakukan
penambahbaikan terhadap sekolah yang dipimpinnya, seseorang pemimpin teknikal
sekolah juga hendaklah membantu
guru-guru dan kakitangan di bawahnya mengendalikan analisis persekitaran
sekolah.
8. Hasil pelaksanaan analisis
persekitaran sekolah yang tepat akan membantu para guru dan kakitangan sekolah
mengenalpasti masalah-masalah yang sedang dihadapi, di samping dapat membantu mereka
mengenalpasti keperluan-keperluan yang perlu dipenuhi di sesebuah sekolah.
9. Di samping itu juga, mereka
akan mendapat pelbagai maklumat sama ada daripada dalam atau luar sekolah yang didapati secara
langsung atau tidak langsung mempengaruhi segala aspek di sekolah berkenaan.
10. Berdasarkan hasil analisis
persekitaran yang telah dilakukan, pemimpin teknikal sekolah akan melakukan proses seterusnya iaitu proses
perancangan dan penstrukturan sekolah.
11. Melalui proses ini, sumber-sumber
yang sesuai dan mencukupi diperuntukkan
bagi membantu guru-guru dan warga sekolah melakukan pembentukan visi dan misi
sekolah secara bersama-sama.
12. Setelah visi dan misi sekolah dibentuk, pemimpin teknikal seterusnya akan memperuntukkan
sumber-sumber yang mencukupi bagi membantu penyediaan program-program,
dasar-dasar baru serta prosedur-prosedur tugas guru dan kakitangan sekolah selaras dengan visi dan misi yang telah dibentuk. Hasilnya, tindakan ini
akan membantu warga sekolah lebih jelas
dan berakauntabiliti terhadap tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada mereka di sekolah.
13. Perkara lain yang perlu
dilakukan oleh pemimpin sekolah sebagai pemimpin teknikal ialah menyediakan
bantuan teknikal dan sokongan dalam pengendalian latihan-latihan dalam perkhidmatan,
kursus-kursus dalaman serta program perkembangan staf di sekolahnya.
14. Penyertaan guru-guru dan
kakitangan di dalam program-program ini adalah adalah mustahak bagi memudahkan
mereka melaksanakan pelbagai tugas utama yang telah diamanahkan di samping membantu mereka melaksanakan segala program
sekolah dengan lebih cekap dan berkesan.
15. Kebaikan lain ialah, penyertaan
di dalam kursus-kursus dan latihan ini juga akan menjadikan para guru dan
kakitangan sekolah lebih bertanggungjawab dan berkesan terhadap tugas-tugas yang telah
diamanahkan.
16. Di samping itu, mereka juga
akan lebih cekap dalam menyelesaikan masalah-masalah sering yang berlaku di
dalam menjalankan tugas.
17. Faedah berikutnya, penyertaan
di dalam pelbagai kursus dan latihan juga akan membantu para guru dan kakitangan
sekolah membuat keputusan-keputusan dengan lebih bijak dan
tepat selaras dengan visi sesebuah sekolah.
18. Seterusnya, latihan - latihan
yang dianjurkan akan dapat membantu
menjelaskan peranan - peranan dan tanggungjawab para guru serta kakitangan. Ini
seterusnya akan menjadikan mereka lebih berkemampuan dalam melaksanakan tugas
serta lebih cekap dan berprestasi tinggi.
19. Dalam melaksanakan kepemimpinan
teknikal juga, seseorang pemimpin sekolah juga haruslah melakukan proses
pemantauan dan penilaian. Dalam hal ini, para pemimpin sekolah hendaklah menyediakan
bantuan sokongan teknikal kepada para guru dan kakitangan sekolah bagi
memudahkan mereka mengumpul pelbagai maklumat berkenaan prestasi sekolah daripada
pelbagai petunjuk yang berbeza berdasarkan perancangan strategik sekolah, program-program
yang telah dirancang serta perkembangan individu-individu di sekolah berkenaan.
20. Bagi melaksanakan proses
memantauan dan penilaian juga, pemimpin sekolah juga perlu melantik guru-guru
dan kakitangan sekolah yang berkebolehan bagi melakukan penilaian kendiri sekolah,
membantu dalam pemeriksaan luaran, serta
menyediakan laporan akauntabiliti sekolah dan laporan pembangunan.
21. Berkaitan dengan ini juga, para
pemimpin sekolah juga perlu memastikan hasil daripada penemuan penilaian kendiri
sekolah yang telah dilaksanakan dapat digunakan bagi tujuan membantu proses penambahbaikan secara
berterusan terhadap seluruh organsasi sekolah termasuklah penambahbaikan program-program sekolah, serta penambahbaikan terhadap prestasi individu-individu di sekolah berkenaan.
22. Kesimpulannya, pada masa kini kepemimpinan
sekolah berhadapan dengan pelbagai jenis
tuntutan dan cabaran baharu sama ada berbentuk globalisasi mahupun daripada pelbagai
transformasi yang berlaku dalam dunia pendidikan yang lebih menjurus ke arah
pengurusan berasaskan sekolah.
23. Dalam hal ini, matlamat
pengurusan berasaskan sekolah hanya akan tercapai sekiranya diwujudkan keadaan
persekitaran yang strategik dan proaktif bagi menghadapi pelbagai perubahan
persekitaran sama ada berbentuk dalaman atau luaran.
24. Sesebuah organisasi pendidikan hanya
akan mencapai matlamat, visi dan misinya sekiranya menggunakan strategi-strategi
yang berkesan berdasarkan kekuatan, keperluan serta fokus utama organisasi itu
sendiri.
25. Sehubungan itu, persekitaran yang
strategik dan proaktif sedemikian hendaklah diwujudkan supaya proses
penambahbaikan secara berterusan dapat dilakukan terhadap pembangunan
organisasi pendidikan berkenaan bagi menghadapi persekitaran pendidikan yang
sering berubah. Justeru, kepemimpinan teknikal bagi pengurusan strategik adalah
satu keperluan bagi mencapai matlamat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan