Khamis, 12 April 2012

Kepemimpinan Berkesan Penentu Semangat Berprestasi (Spirit of Performance) Organisasi Pendidikan

1. Apakah yang menyebabkan kakitangan di dalam sesebuah organisasi pendidikan bekerja dengan gembira dan  sentiasa berusaha serta menunjukkan prestasi kerja yang tinggi?

2. Antara jawapannya ialah wujudnya penetapan matlamat kerja kakitangan  yang selaras dengan matlamat organisasi. Hasilnya, sudah tentu  secara tidak langsung  membantu  pencapaian prestasi organisasi di tempat kerja kerana mereka telah mendapat kepuasan bekerja.

3. Bagaimana pula caranya untuk mendapatkan rasa gembira di tempat kerja dan seterusnya membantu menyumbang kepada prestasi tinggi organisasi?

 4. Jawapannya sudah tentu di tangan pihak pemimpin organisasi sendiri yang melalui segala usahanya memperkenalkan budaya kerja  baik kepada semua kakitangannya selaras dengan nilai utama Kementerian Pelajaran.

5. Selain itu, pemimpin organisasi haruslah memfokuskan terhadap nilai dan kekuatan utama organisasi yang dipimpinnya.

6. Seterusnya, melalui usaha menyelaraskan matlamat pekerjaan kakitangan dengan matlamat organisasi dengan memberi pemahaman terhadap kakitangan tentang amalan-amalan baik di dalam organisasi.

7. Salah satu ciri  sesebuah organisasi pendidikan yang hebat adalah kemampuannya mengubah orang (kakitangan) biasa   menjadi kakitangan yang mampu menghasilkan sesuatu keputusan (contohnya keputusan peperiksaan awam) yang luar biasa.

8 . Dalam usaha untuk mencapai prestasi tinggi, sesebuah organisasi pendidikan tidak boleh terlalu bergantung kepada mereka yang dianggap genius  di dalam organisasi sahaja sebaliknya sumbangan  daripada semua kakitangan biasa yang lain amat diperlukan bagi meningkatkan prestasi.  Ini kerana bilangan mereka yang dikatakan genius amatlah terhad. 

9. Bagi mencapai hasrat ini, sesebuah organisasi pendidikan perlu mengubah cara kerja orang biasa supaya menghasilkan sesuatu prestasi kerja yang luar biasa dengan cara menggunakan kelebihan yang ada pada setiap kakitangannya untuk membantu organisasi  meningkatkan prestasinya.

10. Pada masa yang sama, setiap organisasi hendaklah sentiasa berusaha mengurangkan kelemahan yang ada pada setiap ahlinya dengan cara mengembangkan kekuatan-kekuatan yang ada pada setiap kakitangannya.

11. Semangat berprestasi (spirit of performance) bermaksud output tenaga yang dihasilkan oleh kakitangan adalah lebih besar jumlahnya daripada jumlah  input usaha yang digunakan bagi menghasilkannya.

12. Semangat ini tidak dapat dijana menggunakan sebarang mesin kerana sesebuah mesin sudah tentu memerlukan input yang banyak bagi menghasilkan sejumlah output, sebaliknya semangat  berprestasi lebih memerlukan kekuatan moral yang dilahirkan melalui amalan-amalan baik budaya kerja sesebuah organisasi.

13. Fokus utama semangat berprestasi adalah kepada kekuatan dan kecemerlangan kerja setiap individu di dalam organisasi tersebut.

14. Dalam hal ini, kekuatan lebih merujuk kepada kemampuan seseorang kakitangan melakukan sesuatu tugasan  dengan baik  serta boleh menyumbang kepada produktiviti tinggi organisasi dan bukannya sesuatu tugasan yang dia tidak berbakat dan tidak berkemampuan melakukannya.

15. Sehubungan itu, pemimpin organisasi pendidikan yang berkesan adalah seorang yang mampu  mewujudkan semangat prestasi dalam kalangan kakitangan di dalam organisasinya dengan  sentiasa berusaha melakukan perkara-perkara yang betul dan baik. 

16. Selain itu, pemimpin seharusnya memiliki perwatakan yang berintegriti ,berwawasan  serta memfokuskan terhadap peluang-peluang, pelanggan-pelanggan (termasuk pihak berkepentingan), teknologi, dan pesaing-pesaing bagi memenuhi kehendak pelanggan serta sentiasa berusaha memenuhi matlamat peningkatan prestasi  berterusan organisasi.

17. Usaha bagi menggubal dan melaksanakan sesuatu program peningkatan semangat berprestasi di dalam sesebuah organisasi pendidikan amat  memerlukan kewibawaan pemimpin dan kemahirannya dalam pelaksanaan agenda tersebut. 

18. Di samping itu, perkara yang dipentingkan di dalam program pembangunan semangat berprestasi di tempat kerja adalah usaha untuk membangunkan kekuatan setiap kakitangan di dalam organisasi tersebut supaya mereka sentiasa  mampu memberikan hasil kerja yang luar biasa dalam melaksanakan tugas.

19. Antara ciri organisasi berprestasi tinggi adalah pemimpin dan semua kakitangannya mempunyai ‘morale’ yang tinggi malah pemimpinnya pula banyak  memberikan perhatian terhadap aktiviti ahli-ahlinya terutamanya yang melibatkan peluang dan hasil (prestasi). 

20. Selain itu, pemimpin organisasi juga sentiasa memberi fokus terhadap aspek-aspek pemilihan, ganjaran dan kenaikan pangkat kakitangannya.

21. Di samping itu  nilai integriti  yang ada pada seseorang pemimpin organisasi pendidikan juga  adalah penting bagi menyuntik semangat berprestasi dalam kalangan subordinatnya kerana sifat-sifat perwatakan pemimpin ini akan menjadi  teladan kepada orang-orang di bawahnya. 

22.  Segala tindakan pemimpin organisasi hendaklah berdasarkan prinsip-prinsip kempimpinan terpuji seperti bertanggungjawab, berdasarkan piawaian prestasi organisasi, serta sentiasa menghormati profesionalisme individu-individu di bawahnya. 

23.  Semangat berprestasi yang tinggi di dalam sesebuah organisasi juga sebenarnya adalah bergantung kepada semangat tinggi pemimpinnya yang sentiasa mengamalkan semangat berprestasi tinggi di dalam amalan kerja sehariannya.

24. Pemimpin organisasi pendidikan  yang berprestasi tinggi selalunya mengutamakan lima amalan berikut di dalam pekerjaannya.

i. Pengurusan masa yang bijak – Ada kalangan pemimpin organisasi pendidikan yang sentiasa menghabiskan masa kerjanya dengan memenuhi pelbagai  tuntutan yang tidak produktif . Pemimpin yang berkesan akan sentiasa mengisi masa kerjanya dengan mengutamakan perkara-perkara yang produktif, seperti memberikan perhatian yang lebih ke atas keputusan prestasi akademik pelajar, pembangunan modal insan, dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan warga institusi pendidikan di bawahnya.

ii. Menetapkan keutamaan - Ini membolehkan mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang penting organisasi dan utama terlebih dahulu sebelum memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang lebih bersifat peribadi atau memenuhi tuntutan golongan tertentu sahaja. Ini akan membantu dalam peningkatan prestasi.

 iii. . Membuat keputusan yang tepat terhadap orang-orang di bawahnya - Misalnya keputusan-keputusan yang dibuat bagi kenaikan pangkat kakitangan hendaklah sepadan dengan kelayakan dan kemampuan seseorang. Ini memerlukan pemimpin untuk memahami tugasan, mempertimbangkan calon yang layak, menyemak rekod-rekod prestasi, dan memastikan calon yang dipilih memahami tugasan yang baru. Pemimpin yang berkesan mampu membina kekuatan orang-orang di bawahnya.

iv. Meninggalkan amalan-amalan yang tidak produktif – Misalnya, amalan tidak mewakilkan kuasa atau mewakilkan kuasa tetapi tidak memberikan kuasa yang mencukupi kerana tidak percayakan kakitangan merupakan amalan yang yang tidak menyumbang terhadap produktiviti hendaklah ditinggalkan.

v. . Membuat keputusan yang berkesan – Dalam hal ini ramai dalam kalangan pembuat keputusan yang tidak benar-benar terdedah dengan kaedah membuat keputusan berkesan. Sehubungan itu, dengan mempraktikkan kaedah menganalisis dan penggunaan pendekatan saintifik akan dapat  membantu para pemimpin menyelesaikan masalah serta membuat keputusan yang betul. Seseorang pemimpin organisasi tidak boleh membuat keputusan mengikut hati dan perasaan.

25. Kesimpulannya, semangat berprestasi yang diamalkan di dalam sesebuah organisasi pendidikan akan membantu pihak pengurusan merealisasikan visi kerja seseorang kakitangan. Selain itu, semangat berprestasi yang diamalkan juga akan membolehkan pihak pengurusan berusaha menambahbaik prestasi  organisasi melalui pelbagai usaha termasuk mengadakan rundingan dengan kakitangan tentang penetapan piawaian prestasi dan program-program penambahbaikan prestasi organisasi.

26. Pengamalan semangat berprestasi (spirit of performance) di dalam sesebuah organisasi pendidikan akan menyumbang terhadap peningkatan prestasi sesebuah institusi pendidikan sama ada dari segi kualiti dan kuantiti. Keadaan ini seterusnya akan membantu pencapaian matlamat dan visi sesebuah organisasi pendidikan sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri atau nasional.



Tiada ulasan: