Rabu, 15 Februari 2012

Sekolah Sebagai Institusi Sosial

1.   Organisasi  ditakrifkan sebagai sebuah unit sosial yang berusaha mencapai matlamat  yang telah ditetapkan bagi organisasi tersebut.

2.   Sekolah dikatakan sebagai sebuah institusi sosial kerana organisasi ini terdiri daripada beberapa kumpulan manusia iaitu pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru yang lain yang berperanan bersama-sama bagi mencapai matlamat organisasi.

3.   Setiap ahli  kumpulan di dalam organisasi sekolah mempunyai set peranan dan kedudukan  masing-masing yang seterusnya akan menentukan segala tindakan mereka di dalam institusi tersebut.

4.   Namun demikian, setiap kumpulan di sekolah sama ada pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru mempunyai peranan,  dan nilai yang berbeza-beza antara satu sama lain dalam usaha  mencapai matlamat organisasi sekolah.

5.   Keadaan ini disebabkan setiap kumpulan iaitu pelajar, guru, pentadbir, dan kakitangan bukan guru sebenarnya sudah mempunyai set  ekspektasi peranan dengan cara tersendiri yang berbeza bagi mencapai satu visi sekolah yang dikongsi bersama walaupun mereka semuanya berada di bawah kepimpinan seorang pengetua atau guru besar yang sama.

6.    Dengan itu, status hubungan antara ahli sesuatu kumpulan dengan kumpulan lain di dalam institusi sekolah boleh menjadi  lebih rumit dan kompleks jika tidak dikendalikan dengan baik.

7.    Masalah mula wujud apabila ada ahli kumpulan di dalam sesebuah organisasi pendidikan mempunyai status dan fahaman ekspektasi peranan yang berbeza tentang perkara yang harus dilakukannya bagi mencapai matlamat organisasi dengan fahamannya tentang ekspektasi peranan pihak lain bagi mencapai matlamat organisasi.

8.    Konflik hubungan manusia boleh juga terjadi di dalam organisasi sekolah sekiranya ada ahli kumpulan di dalam organisasi tersebut tidak memahami dan mungkin juga enggan mengiktiraf cara kumpulan lain berperanan bagi mencapai matlamat organisasi sekolah tersebut.

9.  Selain itu, masalah juga bertambah rumit apabila tingkahlaku/peranan seseorang atau kumpulan di dalam sesuatu status tertentu didapati tidak mengikut ekspektasi seseorang atau kumpulan lain yang memegang status peranan berkaitan.

10. Misalnya, seorang guru yang berkelulusan dalam sarjana pengurusan pendidikan yang dilantik memegang sesuatu jawatan pengurusan di sekolah, kadang kala merasai bahawa ekspektasi peranan yang diharapkan oleh pihak pengurusan sekolah tidaklah sama dengan ekspektasinya sendiri.

11.  Ini kerana golongan konservatif di dalam pengurusan sekolah lebih berminat untuk mengekalkan amalan-amalan dan peraturan lama semua aspek pentadbiran dan gaya kepimpinan sekolah, sebaliknya  guru ini pula lebih berminat untuk menggunakan gaya pentadbiran dan kepimpinan terkini dalam pelaksanaan tugasnya kerana pada pendapatnya lebih sesuai dengan keadaan organisasi sekolah sekarang yang lebih kompleks daripada dahulu.

12. Perbezaan ekspektasi peranan ini lama kelamaan akan membawa kepada konflik yang berpanjangan kerana masing-masing mempunyai cara berperanan tersendiri dan mengharapkan pihak lain berperanan seperti ekpektasi yang dikehendakinya. Keadaan ini boleh membawa kepada keretakan hubungan antara pelbagai pihak yang berbeza pendapat di dalam organisasi tersebut yang seterusnya boleh mengganggu pencapaian matlamat organisasi.

13.  Namun demikian, sekiranya wujud persefahaman  dan penerimaan peranan antara semua ahli kumpulan di dalam organisasi tersebut, organisasi sekolah akan berfungsi dengan berkesan bagi mencapai matlamatnya.

Tiada ulasan: