Sabtu, 7 Januari 2012

Perbezaan Antara Pemimpin Dengan Pengurus Organisasi Pendidikan

1.    Sesebuah organisasi pendidikan diwujudkan adalah untuk mencapai matlamat pihak atasan dan memenuhi  keperluan kakitangan.

2.    Dalam hal ini, pihak kakitangan sentiasa berusaha mendapatkan kepuasan  melalui pemenuhan keperluan-keperluan mereka di tempat kerja manakala matlamat pihak atasan pula dapat dicapai melalui penghasilan produktiviti yang tinggi dalam segala pekerjaan kakitangan bawahannya.

3.    Sehubungan itu, matlamat kedua-dua belah pihak ini hanya dapat dicapai melalui proses kepemimpinan yang berkesan yang diamalkan oleh pihak atasan di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

4.    Namun demikian, kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua pengurus organisasi pendidikan dapat dianggap sebagai pemimpin  yang berkesan walaupun kebanyakan pemimpin boleh dianggap pengurus organisasi pendidikan yang baik.

5.    Ini kerana tugas kepemimpinan lebih melibatkan proses seseorang individu  mempengaruhi orang-orang di bawahnya untuk mencapai matlamat organisasi pendidikan terutamanya dalam usaha untuk mengubah tingkah laku dan sikap mereka. Dalam hal ini, tidak semua ketua mampu melakukannya.

6.    Kepemimpinan yang baik bukan lahir dengan sendiri atau dengan cara meniru cara-cara orang lain membuat kerja malah proses kepemimpinan juga tidak dapat dilakukan dengan cara bereksperimen tanpa berdasarkan teori-teori kepimpinan sedia ada.

7.    Pemimpin yang baik selalunya wujud hasil daripada latihan dan pengalaman  yang berterusan melalui pencarian ilmu tentang teori-teori kepimpinan sama ada secara formal atau tidak formal.

8.    Seseorang yang dikatakan pemimpin selalunya mampu menggunakan  kebijaksanaannya melalui pelbagai teknik untuk mengubah tingkah laku orang-orang dibawahnya tanpa paksaan atau menggunakan emosi marah dan orang-orang di bawahnya  pula mempunyai pilihan sama ada mahu berubah atau tidak.

9.    Antara ciri lain seorang pemimpin ialah beliau mampu menggubal  arah tuju organisasi pendidikan  melalui visi dan misi organisasi pendidikan bersama-sama orang di bawahnya dan sentiasa berusaha mempengaruhi orang-orang dibawahnya supaya berusaha mencapai visi dan misi tersebut sepanjang masa.

10. Selain itu, seseorang yang dikatakan pemimpin sesebuah organisasi pendidikan ialah seorang yang berusaha menjadi agen perubahan terhadap organisasinya dan bukannya membawa organisasinya berpatah balik ke takuk lama dan sukar untuk menerima sebarang perubahan ke hadapan.

11. Pemimpin organisasi juga cenderung mencipta suasana kerja yang menyeronokkan dan berusaha menaikkan ‘morale’ kakitangan bagi meningkatkan produktiviti kerja.

12. Ini dilakukan dengan cara berusaha memenuhi keperluan semua kakitangan di tempat kerja dan menerima baik  cadangan serta pandangan mereka yang mungkin  berbeza dengan kehendak  pihak atasan.

13. Seterusnya seorang pemimpin organisasi pendidikan yang berkesan jarang sekali mengaitkan diri mereka dengan jawatan masing-masing dan sentiasa berempati dengan kakitangan.

14. Keadaan ini berbeza dengan seorang pengurus organisasi pendidikan yang sentiasa menggunakan jawatan dan kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya bagi memastikan  orang bawahan dalam organisasi yang diketuainya  menerima segala arahan dan melaksanakan semua tugas dengan lancar tanpa sebarang masalah atau  perbezaan pendapat dalam pelaksanaan tanggungjawab berkenaan.

15. Pemimpin organisasi pendidikan juga selalunya memperkenalkan sesuatu dasar  atau amalan yang baru dalam organisasi atau membatalkan sesuatu dasar  pengurusan adalah semuanya berdasarkan kepentingan umum dan bukannya berubah-ubah mengikut kepentingan pihak atasan semata-mata.

16. Dalam hal ini, seorang pengurus organisasi pendidikan pula hanya bertugas menyelaras tugas-tugas orang di bawahnya yang sudah ditetapkan tugas mereka masing-masing mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

17. Misalnya kerja-kerja merancang, mengurus, menyusun, mengarah dan mengawal kerja-kerja orang-orang di bawahnya.

18. Selain itu, pengurus organisasi pendidikan selalunya amat mementingkan pematuhan terhadap segala keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan tanpa bertolak ansur menerima pandangan yang berbeza daripada kakitangan di bawahnya.

19. Seterusnya, pengurus organisasi pendidikan sering menganggap kedudukan mereka di dalam organisasi amat penting kerana mereka mampu menentukan masa depan karier serta 'periuk nasi' orang di bawahnya dengan memberi ganjaran atau hukuman, menaikkan atau menurunkan terhadap sesiapa yang mereka kehendaki. Kedudukan, kuasa dan autoriti ini amat penting bagi mendapatkan pematuhan.

20. Dapatlah dirumuskan di sini bahawa terdapat perbezaan antara pemimpin dengan pengurus di sesebuah institusi pendidikan.

21. Kebanyakan ketua mampu bertindak sebagai pengurus pendidikan yang baik, namun bukan semuanya dapat bertindak sebagai pemimpin yang baik.

22. Terdapat kontrak psikologi antara seseorang kakitangan dengan organisasi tempat kerjanya iaitu setiap kakitangan mempunyai harapan yang tinggi terhadap organisasinya.

23. Harapan-harapan ini bukan sahaja melibatkan jumlah kerja yang diperlukan bagi mendapatkan sejumlah gaji bulanannya, tetapi juga melibatkan hak, keistimewaan dan tanggungjawabnya sebagai kakitangan sesebuah organisasi pendidikan.

24. Ini kerana pencapaian matamat sesebuah organisasi pendidikan hanya akan dapat diperolehi dengan sempurna jika organisasi tersebut dipimpin oleh seorang individu yang berwibawa.

25. Pengurusan tanpa kepemimpinan tidak akan membawa organisasi pendidikan tersebut ke mana-mana.

Tiada ulasan: