Selasa, 24 Januari 2012

Kepimpinan Berkarisma Dalam Institusi Pendidikan

1. Kepimpinan bermaksud kemampuan seseorang untuk mempengaruhi  orang-orang di bawahnya bagi mencapai matlamat organisasi.

2. Seseorang yang dikatakan pemimpin pendidikan adalah individu yang menetapkan visi  sesebuah organisasi pendidikan dan berusaha menggembleng seluruh tenaga orang-orang di bawahnya bagi mencapai visi tersebut.

3. Karisma adalah berkaitan dengan hasil  kepimpinan yang berkesan terutamanya apabila pengikutnya yakin dengan visi pemimpin berkenaan. Seseorang pemimpin berkarisma  dianggap mempunyai  kuasa  dan kebolehan yang luar biasa  terhadap pengikut-pengikut mereka.

4. Karisma boleh berlaku apabila wujudnya sesuatu satu krisis sosial di dalam sesebuah organisasi pendidikan,  kempimpinan seorang pemimpin mampu menarik perhatian pengikutnya dengan satu visi yang memberi peluang kepada penyelesaian masalah.

5. Pemimpin pendidikan berkarisma selalunya memiliki kemahiran bahasa badan (body language) dan kemahiran berkomunikasi yang baik. Ini sering dilakukan melalui penggunaan hubungan mata dan berjabat tangan dengan para pengikutnya.

6. Misalnya pemimpin-pemimpin seperti Alexander the Great, Winston Churchill, Adolf Hitler, John F. Kennedy, Vladimir Lenin dan Barrack Obama, dikatakan memiliki satu gaya  kepimpinan  yang berkesan iaitu kepimpinan berkarisma.

7. Mereka sering  menonjolkan  kualiti kempimpinan luar biasa mereka yang jarang ditemui dalam kalangan pemimpin-pemimpin lain.

8. Sebagai contoh, tentera-tentera Alexander The Great secara membuta tuli amat setia kepadanya kerana kepimpinan Alexander yang berkarisma.  Selain itu, tentera-tentera British berusaha ke arah kemenangan semasa Perang Dunia Kedua di bawah kepimpinan berkarisma Winston Churchill. Barrack Obama pula mampu mempengaruhi pengundi di Amerika Syarikat untuk menyokongnya menjadi presiden.

9. Walaupun karisma adalah sesuatu yang berkaitan dengan kuasa luar biasa yang dikurniakan oleh tuhan kepada seseorang  sejak dilahirkan, namun ada penyelidikan  mendapati  bahawa karisma adalah kemahiran yang boleh dikuasai melalui latihan, pengalaman dan amalan seseorang.

10.  Personaliti pemimpin pendidikan berkarismatik dikatakan menarik dan berwarna-warni. Mereka mempunyai personaliti magnet yang mampu menarik dan mempengaruhi orang-orang di bawahnya. Pemimpin ini   juga dikatakan memahami kehendak pengikut-pengikut mereka. 

11. Pemimpin berkarisma sosial adalah mereka yang menggunakan karismanya untuk kepentingan umum. Manakala pemimpin berkarisma peribadi pula menggunakan karismanya untuk kepentingan peribadi. Dalam hal ini, pemimpin dikatakan sentiasa berkuasa tidak mengira sama ada ketika memegang jawatan atau tidak memegang jawatan lagi.

12. Selain itu, pemimpin berkarisma berjawatan adalah mereka yang hanya berkarisma di tempat kerja dan apabila mereka tidak memegang jawatan tersebut, mereka tiada berkarisma lagi. Seterusnya, pemimpin berkarisma anugerah selalunya menganggap bahawa karisma yang ada pada mereka adalah anugerah tuhan.

13. Seseorang pemimpin berkarisma yang cemerlang perlu memiliki kuasa rujukan dan kuasa pakar dalam melaksanakan tugasnya. 

14. Kuasa rujukan datangnya daripada ilmu pengetahuan yang mendalam, sifat intergriti dan kredibiliti yang tinggi seseorang sehinggakan dia dipercayai dan diyakini oleh orang lain. Seseorang yang memiliki kuasa ini akan mudah mempengaruhi orang lain. Kuasa ini tidak semestinya dimiliki oleh orang yang berkedudukan tinggi di dalam sesebuah organisasi pendidikan.

15. Selain itu, kuasa maklumat pula berkaitan dengan sejauh mana seseorang individu tersebut dipandang sebagai kompeten dan berkredibiliti oleh orang-orang lain. Seseorang yang mempunyai lebih banyak maklumat dikatakan lebih mempunyai kuasa mempengaruhi keputusan berbanding mereka yang kurang memilikinya.

16. Dengan meggunakan kuasa-kuasa ini, seseorang pemimpin pendidikan berkarisma mampu menangani sesuatu krisis dengan berkesan.

17. Antara ciri pemimpin pendidikan berkarismatik ialah :
  • Bertindak sebagai agen perubahan dan anti status quo (berwawasan).
  • Memiliki personaliti magnet yang sentiasa bertenaga dan bersemangat.
  • Mampu memberikan sesuatu gambaran  dengan cara yang menarik kepada pengikut-pengikutnya.
  • Mampu berkomunikasi dengan hebat dan memiliki kebijaksanaan emosi.
  • Mampu mengambil risiko serta berkembang maju melalui  risiko tersebut.
  • Sentiasa berusaha meningkatkan diri sendiri .
  • Tidak  takut kepada kegagalan.
  • Sangat beremosi tetapi mampu menyeimbangkannya.
  • Seorang tukang cerita yang baik  dan percaya kepada konsep pengurusan melalui anekdot. Mereka sering memulakan ucapan dengan anekdot supaya dapat berhubung dengan khalayak mereka dengan lebih cepat dan berkesan.
  • Berusaha membangunkan wawasan untuk orang lain dengan  yakin dan optimis.
  • Sentiasa membina rangkaian dan hubungan baik dengan orang lain.
  • Seorang yang jujur dan sentiasa berusaha membantu orang lain.
  • Tidak mudah berputus asa.
18. Untuk menjadi seorang pemimpin pendidikan berkarismatik pula, seseorang itu hendaklah :
  •  Mampu untuk sentiasa memberikan senyuman yang ikhlas.
  •  Memuji secara ikhlas dan mengkritik secara berhati-hati.
  •  Menggunakan hubungan mata dan berjabat tangan dengan dengan baik.
  •  Menggunakan bahasa tubuh yang positif.
  •  Melayani orang lain dengan hormat.
  •  Berusaha mengingati nama-nama kakitangan.
  •  Berusaha meningkatkan kemahiran komunikasi.
19. Kesimpulannya, sesebuah organisasi yang memiliki pemimpin berkarisma akan mampu membina empayar organisasi dengan cemerlang.

20. Kepimpinan pendidikan yang berkesan bukanlah bergantung kepada jawatan seseorang semata-mata tetapi kepimpinan pendidikan lebih bergantung kepada sejauh mana seseorang itu berjaya mempengaruhi orang-orang di bawahnya bekerja bagi mencapai matlamat organisasi pendidikan, selain kuasa formal melalui jawatan yang dimilikinya.

21. Namun, dengan hanya memiliki kuasa formal, tanpa penerimaan orang-orang di bawah amat sukar seseorang ketua menggembleng tenaga orang-orang di bawahnya bagi mencapai matlamat sesebuah organisasi pendidikan.

Tiada ulasan: