Khamis, 1 Disember 2011

Pengurusan Emosi Di Institusi Pendidikan

1. Pengurusan emosi merupakan satu dimensi baru  dalam  pengurusan sesebuah institusi pendidikan.

2. Melalui program pembangunan staf yang dilaksanakan selama ini, didapati kebanyakan institusi pendidikan hanya memberi tumpuan kepada latihan aspek pemikiran logik dan rasional sahaja tanpa mengambil kira aspek-aspek kawalan dan pengurusan emosi di tempat kerja.

3. Dengan itu, kebanyakan kakitangan belajar menguruskan emosi mereka dengan hanya meniru cara-cara orang lain bertindak di tempat kerja tanpa mengetahui sama ada sesuatu tindakan sesuai itu atau tidak.

4. Kajian mendapati bahawa pihak pengurusan dan rakan sekerja di kebanyakan organisasi tidak begitu berminat jika rakan sekerja mereka meluahkan apa-apa jenis emosi secara kuat sama ada positif atau negatif.

5. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa satu-satunya cara sesuai untuk menguruskan emosi negatif di tempat kerja ialah dengan menyembunyikannya manakala emosi yang positif pula perlu diluahkan secara sederhana.

6. Seperti organisasi lain, sekolah juga dikatakan sebagai sebuah organisasi beremosi yang kompleks dan rencam.

7. Keadaan ini dikatakan menjadi salah satu punca pengurusan sesebuah sekolah pada masa kini menjadi semakin kompleks, kabur, dan bercelaru.

8. Suasana sebegini  sebenarnya tidak dapat diurus menggunakan kaedah pengurusan rasional biasa seperti pengurusan kewangan, kemudahan, kurikulum, sumber dan lain-lain.

9. Sebaliknya keadaan ini menuntut supaya kepemimpinan sekolah  mampu menguruskan  emosi kakitangannya dengan lebih bijaksana  dan teliti berbanding pengurusan rasional yang lain.

10. Dalam konteks ini, strategi pengurusan dalam emosi didapati lebih jauh berbeza berbanding dengan pengurusan rasional organisasi biasa.

11. Pengurusan rasional lebih menumpukan kepada unsur biroktatik, objektif, dan strategik manakala pengurusan emosi pula lebih melibatkan proses-proses sosial, hubungan manusia dan aspek kualitatif kakitangan di dalam sesebuah organisasi.

12. Ini kerana emosi adalah  satu unsur penting  yang bersifat dalaman serta kompleks di dalam sesebuah organisasi  dan perkara  yang membimbangkan kita ialah emosi amat berkuasa dalam menentukan jatuh naik sesebuah organisasi pendidikan.

13. Dengan itu, emosi hendaklah diuruskan dengan sebaik-baiknya kerana pengurusan yang baik akan menjurus kepada peningkatan produktiviti yang tinggi.

14. Dari sudut positif, emosi sangat penting untuk memberi motivasi kepada kakitangan untuk terus bekerja dengan baik bagi mencapai matlamat organisasi.

15. Selain itu, emosi juga berguna kepada pemimpin sebagai asas di dalam kepimpinan berinspirasi.

16. Namun demikian, emosi juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada organisasi sekiranya kakitangan berada di dalam keadaan tertekan.

17. Ini kerana emosi mampu mempengaruhi tindakan yang bakal dilakukan oleh kakitangan andaikata mereka tertekan dan kesannya keadaan ini boleh menurunkan produktiviti organisasi secara keseluruhan.

18. Dengan itu, apa-apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh pihak atasan di dalam sesebuah organisasi hendaklah mengambil kira  aspek emosi dan kepuasan kerja kakitangan.

19. Berkaitan dengan ini juga, kita dapati bahawa walau secekap manapun unsur rasional diurus di dalam sesebuah organisasi pendidikan namun kegagalan mengurus emosi di dalam organisasi tersebut boleh mengundang keruntuhan yang sukar untuk dibangunkan semula

20. Oleh itu, kemahiran tinggi dalam pengurusan emosi adalah perlu untuk mencapai  sasaran menjadi sebuah organisasi yang produktif, cekap dan berkesan.

21. Kini, melalui penggunaan pelbagai model perubahan tingkah laku, emosi negatif boleh dirangka semula untuk diurus menjadi kuasa yang positif bagi menghasilkan keputusan mampu memberi manfaat berpanjangan kepada organisasi.

22. Kajian terkini menunjukkan bahawa dengan memperoleh kemahiran pengurusan emosi dan teknik pengurusan yang baik, pemimpin dan kakitangan boleh membuat keputusan yang positif yang seterusnya akan menjadikan mereka produktif dalam semua aspek.

23. Antara sifat interpersonal  yang perlu ada pada seseorang pengurus emosi yang berkesan di sesebuah sekolah ialah :
a. Seorang yang sentiasa berkeyakinan tinggi;
b. Mampu mencipta dan mengekalkan suasana kerja yang positif;
c. Mampu mendorong dan memotivasi kakitangan;
d. Berkomunikasi secara berkesan;
e. Seorang yang sentiasa memahami perasaan orang lain (empati); dan
f. Mementingkan kerja berpasukan.

24. Peranan yang boleh dilakukan oleh seseorang ketua di dalam mengurus emosi kakitangannya ialah dengan membantu mereka lebih memahami bahawa apa sahaja perasaan dan emosi mereka akan memberi kesan terhadap tingkah laku , perhubungan manusia dan prestasi kerja mereka.

25. Selain itu, pihak pengurusan hendaklah menyediakan kakitangan mereka dengan pelbagai teknik pengurusan emosi yang berkesan serta mewujudkan suasana emosi yang produktif di termpat kerja.

26. Dalam usaha mengurus kakitangan di tempat kerja, kita tidak dapat menyangkal bahawa semua manusia sentiasa berusaha untuk mengawal dan mengurus emosi mereka supaya menjadi lebih baik.

27. Bagi mencapai hasrat ini, pendekatan berfokuskan emosi dilihat sebagai asas untuk membina jati diri kakitangan di dalam menjayakan sesebuah organisasi.

28. Selain itu, pemahaman makna diri seseorang kakitangan juga boleh dicapai melalui tindakan penerokaan dan penyusunan semula emosinya.

29. Aspek bimbingan emosi hendaklah memberi tumpuan kepada usaha-usaha membantu kakitangan supaya menggunakan emosi mereka secara bijaksana dalam penyelesaian masalah dan mencapai matlamat kerjaya mereka.

30. Penggunaan pelbagai pendekatan teknik model perubahan tingkah laku secara empirik didapati boleh menghasilkan perubahan yang baik dalam jangka masa yang singkat.

31. Hasilnya sesebuah organisasi pendidikan akan memiliki kakitangan yang tinggi morel kerjanya, sentiasa berusaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap tugas, berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah di tempat kerja serta berfikiran kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Tiada ulasan: