Selasa, 29 November 2011

Pengainayaan Kakitangan Di Tempat Kerja

1. Dalam tempoh dua puluh tahun kebelakangan ini banyak penyelidikan dilakukan pada peringkat antarabangsa mendapati bahawa kes layanan buruk termasuk penyalahgunaan tenaga kerja, pembulian dan gangguan di tempat kerja semakin meningkat.

2. Beberapa buah negara kini telah menggubal pelbagai dasar dan undang-undang yang melarang mana-mana pegawai atasan dan kakitangan di dalam sesebuah organisasi berkelakuan buruk terhadap kakitangan lain dengan niat untuk memberi layanan buruk, membuli atau mendera.

3. Dalam konteks hubungan manusia di tempat kerja, istilah "mobbing" merujuk kepada sejenis komunikasi yang digunakan oleh sekumpulan kakitangan atau orang atasan atau kedua-duanya yang bertindak secara bersama-sama untuk membuli seorang rakan sekerja atau lebih dalam tempoh jangka panjang sehingga menyebabkan kemudaratan terhadap psikologi, fizikal, dan sosial.

4. Mobbing juga dapat dianggap sebagai penderaan emosi di tempat kerja, seperti "ganging" oleh rakan sekerja, orang bawahan atau atasan, untuk memaksa seseorang keluar dari tempat kerja dengan cara menyebarkan khabar angin, sindiran, ugutan, penghinaan, mencemar nama baik, dan pengasingan, ini juga disebut sebagai berniat jahat, nonsexual, nonracial atau gangguan umum.

5. Gangguan di tempat kerja pula dianggap sebagai tindakan membuli yang merupakan gangguan yang dilakukan secara berulang-ulang oleh seseorang individu kakitangan yang dilakukan secara berseorangan atau bersama kakitangan lain terhadap seseorang kakitangan atau sekumpulan kakitangan di dalam sesebuah organisasi.

6. Dalam hal ini, membuli dapatlah dianggap sebagai layanan buruk oleh orang atasan atau yang lebih berkuasa terhadap seseorang kakitangan secara berulang-ulang dengan niat jahat sama ada secara lisan atau bukan lisan dengan menggunakan kuasa yang ada padanya dalam bentuk pelbagai kawalan.

7. Kawalan ini biasanya dalam bentuk gabungan perbuatan kejam dan penghinaan yang disengajakan dilakukan dalam bentuk gangguan dan berusaha mendapatkan sokongan untuk menghalang individu sasaran daripada berjaya di tempat kerja.

8. Ciri-ciri yang paling penting perbuatan buli ialah melakukan tindakan dengan niat untuk merosakkan "kesihatan kakitangan sasaran" dan harga dirinya, hubungan dengan keluarga dan rakan-rakannya, kehidupan, ekonomi, atau kombinasi daripada kesemuanya.

9. Istilah “work harassment” merujuk kepada tindakan memalukan yang dilakukan oleh orang atasan secara berulang-ulang menggunakan kuasa yang ada dengan bertujuan untuk menyebabkan kesakitan psikik terhadap individu yang tidak mampu untuk melindungi diri mereka.

10. “Petty Tyrant" pula merujuk kepada individu yang bertindak menjadi tuan-tuan atau berkuasa ke atas orang lain yang bertindak secara sewenang-wenangnya menggunakan kuasa terhadap orang bawahan, dengan cara tidak memberi sebarang pertimbangan, menggunakan kuasa mutlak dalam penyelesaian konflik, tidak membenarkan perundingan, dan menggunakan hukuman non contingent.

11. Tindakan “Abusive Disrespect” pula termasuklah pelbagai tindakan "pelanggaran" oleh pihak atasan, termasuklah penipuan, paksaan, mementingkan diri, kekejaman, dan tidak peduli terhadap tindakannya terhadap orang bawahan.

12. Penderaan emosi di tempat kerja diperihalkan sebagai tingkahlaku bermusuhan sama ada secara lisan dan bukan lisan yang diarahkan bagi mendapatkan pematuhan daripada orang bawahan.

13. Pelbagai tindakan yang sebenarnya tidak diingini oleh sasaran itu, sengaja dilakukan bertujuan untuk memberi kesusahan terhadap sasaran dan semuanya wujud dalam bentuk corak layanan buruk, melanggar norma-norma hak asasi individu, tingkah laku yang menyebabkan kemudaratan, dan hubungan kuasa yang tidak sama rata.

14. Walaupun kita mungkin tidak boleh membuat kesimpulan bahawa pentadbir (berbanding dengan rakan sekerja) yang paling kerap melakukan tingkah laku sebegini, tetapi hakikatnya banyak kajian telah mendapati bahawa pentadbir merupakan sebagai pendera utama di tempat kerja iaitu antara 50 peratus dan 90 peratus pada masa ini.

15. Kajian mendapati bahawa kadar pembulian oleh pegawai atasan di Amerika Syarikat adalah melebihi negara-negara di Eropah.

16. Perbezaan ini telah disebabkan oleh ketidaksamaan kuasa yang menyebabkan orang bawahan tidak mendapat perlindungan secukupnya untuk mempertahankan diri kerana budaya organisasi di tempat tertentu menjamin kuasa mutlak pihak atasan terhadap kakitangan bahawan dan ketua selalunya dianggap betul serta tidak boleh dicabar.

17. Walaupun demikian, statistik ini mungkin lebih tinggi di negara-negara lain tetapi kerana kurangnya aduan secara rasmi berkaitan masalah ini menyebabkan masalah ini seperti tidak pernah wujud di tempat lain.

18. Berdasarkan pelbagai kajian yang dilakukan, didapati bahawa terdapat pelbagai bentuk penderaan atau pengainayaan yang dilakukan oleh pihak atasan atau rakan sekerja.

19. Ini termasuklah pengainayaan yang berbentuk lisan seperti mempersalahkan, ancaman (contohnya, kehilangan pekerjaan, penilaian prestasi rendah, dipindahkan), dipandang rendah, diperkecilkan, tuduhan palsu, menyumpah, menjerit, ledakan marah, panggilan nama yang tidak baik, penghinaan di depan awam, kritikan (kritikan iaitu berlebihan dan / atau yang tidak berasas tentang kebolehan kerja atau kehidupan peribadi), mengumpat, menyebarkan khabar angin palsu, gangguan seksual, gangguan ungkitan bangsa/asal, penipuan, kecurangan, pilih kasih, penilaian yang tidak adil, celaan yang tidak munasabah , halangan, mengambil kredit daripada pencapaian individu sasaran, tugasan tidak munasabah, pemantauan dan micro management yang berlebihan, menolak pemikiran/idea/perasaan individu sasaran , mewujudkan hubungan tuan dengan hamba, rujukan kerja yang tidak adil, menjejaskan kemajuan, mengenakan tarikh akhir yang tidak munasabah, reassignments yang tidak adil atau penamatan, dan menghalang peluang untuk pembangunan profesional.

20. Antara pengainayaan berbentuk bukan lisan pula termasuklah pengabaian, penghinaan, hubungan mata yang agresif contohnya, merenung tajam , mengintip, dan penggunaan gerak isyarat fizikal (contohnya, menghentak kaki, menunjuk jari , membaling dan menghempas objek).

21. Selain itu, tindakan lain ialah penyingkiran dan pengasingan, menahan sumber yang mangsa perlukan dan berkomplot dengan orang lain untuk menahan sumber yang diperlukan, kecurian, dan merosakkan harta benda adalah contoh-contoh bentuk fizikal penderaan / penganiayaan.

22. Penyelidikan telah mendapati bahawa tindakan pengainayaan di tempat kerja mendatangkan banyak kesan negatif yang merosakkan kesihatan mangsa dari segi psikologi-emosi, kesihatan fizikal-fisiologi, prestasi kerja dan hubungan dengan rakan sekerja, serta kehidupan peribadi.

23. Antara contoh kesan negatif ke atas kesihatan psikologi-emosi termasuklah menimbulkan rasa tidak berpuas hati di tempat kerja, perasaan negatif (misalnya, berasa terdesak, tidak cekap, tidak mencukupi, rasa malu, rasa bersalah, segan, ragu-ragu, kesepian, terasing), hilang tumpuan kerja, pemikiran yang keterlaluan sehingga mengganggu kehidupan, rasa tidak percaya, sinis, kerisauan, keletihan emosi, compulsivity, burnout, kekeliruan, kejutan, ketakutan kronik, sociophobia, serangan panik, hypervigilance, kemurungan, gangguan keresahan, berfikir untuk membunuh diri, dan tekanan gangguan posttraumatic (PTSD).

24. Kesan negatif layanan buruk / penderaan ke atas kesihatan fizikal-fisiologi pula termasuklah kehilangan rambut, sakit belakang dan leher, sakit kepala dan migrain, masalah kulit, kelajuan kadar degupan jantung, kehilangan kekuatan, perubahan berat badan ketara (meningkat atau susut), ulser, sakit dada, sindrom kelesuan kronik, tekanan darah tinggi, angina, cepat marah,masalah usus , TMJ, aritmia jantung, dan serangan jantung.

25. Selain itu, kesan negatif ke atas prestasi kerja dan hubungan dengan rakan pula  ialah berlakunya kemerosotan terhadap nilai kakitangan tersebut antaranya termasuklah kurangnya inisiatif, kreativiti menurun, pengambilan risiko lemah, dan komitmen kerja yang berkurangan.

26. Daripada kajian terhadap layanan buruk di tempat kerja, didapati bahawa mangsa jarang bertindakbalas terhadap tingkahlaku pengainayaan yang dilakukan di tempat kerja dan hanya 10% mangsa yang membuat aduan secara rasmi.

27. Masalah ini jika dibiarkan boleh mengundang malapetaka yang serius di dalam sesebuah organisasi.

28. Sesebuah organisasi boleh runtuh jika ada kakitangannya diainaya secara berterusan oleh mana-mana pihak yang berniat tidak baik.

29. Dalam hal ini, kepimpinan yang berkesan amat diperlukan agar semua kakitangan dilayan sebagai aset yang berguna dalam sesebuah organisasi walaupun dalam keadaan tertentu mereka dianggap beban yang banyak menimbulkan rasa tidak senang kepada pihak atasan.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hai..saya berminat dengan topik ini kerana saya berpendapat saya dalam salah satu situasi tersebut. Saya menjadi mangsa berikutan staf lain tidak sependapat dengan bos saya.Saya sering disindir dan dimalukan.Isu saya bercuti atau bekerja pun menjadi bahan sindiran staf ini.Saya bercadang untuk berpindah tempat kerja tapi masih dalam status menunggu.Ini juga dijadikan bahan untuk staf ini dan beberapa staf lain untuk menyebarkan cerita yang tidak benar.Ini juga telah menjejaskan hubungan saya dengan bos saya yang menyangka saya lah punca khabar angin itu.Staf ini juga beberapa kali berteriak(walaupun dia gagap!)padahal dia tidak perlu berbuat demikian semata-mata meminta penjelasan tentang hal kerja.Saya cuba bersikap positif tetapi perkara ini tetap memberi saya tekanan.Saya mengalami insomnia,mengelak daripada bergaul dengan staf lain, pening kepala dan selalu memberi alasan untuk bercuti. Apakah tindakan yang perlu saya ambil?Perlu kah saya lapor ke Jabatan Tenaga Buruh?Tapi itu pun membimbangkan saya sekiranya mereka dapat tahu saya telah membuat aduan. Please HELP!TQVM

Siti Tanah 96 berkata...

Salam..Saya Siti dari GLC company di Wangsa Maju...saya nak tahu, bagaimana saya ingin mendapatkan hak saya sebagai staf yang idaniaya oleh staf bawahan dan bos yang telah mengganggu saya denagn cara mereka menjadi orang bunian..?

Diana berkata...

Ulasan yang terperinci tapi apakah penyelesaiannya? Ada ke tempat untuk dibuat aduan?