Selasa, 6 Disember 2011

Penglibatan Aktif Keluarga dan Komuniti Setempat Membantu Peningkatan Prestasi Sekolah

1. Setiap ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mengharapkan anak-anak membantu mereka apabila  dewasa kelak.

2. Kebanyakan guru juga sedar bahawa penglibatan ibu bapa di sekolah amat penting bagi membantu peningkatan prestasi akademik pelajar kerana pada masa yang sama penglibatan ini dapat membantu pihak sekolah mengurangkan masalah disiplin pelajar di sekolah.

3. Walaupun demikian, pemahaman pihak sekolah tentang kepentingan dan pendekatan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa di sekolah dengan lebih bermakna  didapati masih kurang.

4. Bagi memenuhi hasrat ini, pihak sekolah perlu melakukan pelbagai usaha bagi mendekati pihak ibu bapa supaya mereka melibatkan diri secara sepenuhnya dalam pelbagai program yang dianjurkan.

5. Kerjasama dan penglibatan ibu bapa di sekolah sebenarnya boleh meliputi pelbagai aspek sama ada dalam bidang akademik, perkembangan sahsiah pelajar, ko kurikulum, pembangunan fizikal sekolah dan lain-lain lagi.

6. Dalam hal ini, apabila pihak sekolah, pelajar, ibu bapa dan masyarakat masing-masing sudah menganggap diri masing-masing sebagai rakan kongsi bersama dalam pendidikan, maka akan terbentuklah satu komuniti di sekolah yang akan bergerak bersama-sama dalam usaha untuk membantu  peningkatan dalam pembelajaran pelajar.

7. Komuniti Pembelajaran Sekolah (School Learning Community) merupakan satu komuniti di sekolah yang terdiri daripada  guru/pihak sekolah, pelajar, keluarga/ibu bapa dan masyarakat yang bersama-sama terlibat  untuk melakukan penambahbaikan terhadap segala aspek di sekolah dan pada masa yang sama membantu meningkatkan peluang pembelajaran pelajar.

8. Kajian  mendapati bahawa SLC banyak mendatangkan kebaikan kepada semua pihak antaranya menambahbaik keadaan iklim dan prestasi sekolah, menguatkan ikatan persaudaraan, menggalakkan sokongan masyarakat setempat terhadap sekolah dan meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dalam semua aspek di sekolah.

9. Antara ciri penting yang terkandung di dalam SLC ialah penglibatan pihak sekolah,pelajar, keluarga dan masyarakat setempat secara bersama-sama dalam pencapaian visi sekolah.

10. Selain itu, ciri lain ialah sekolah yang mengamalkan SLC akan sentiasa mengalu-alukan kedatangan ibu bapa ke sekolah tanpa mengira latarbelakang ibu bapa pelajar.

11. Kajian mendapati bahawa pelajar akan berusaha lebih bersungguh-sungguh dan bertingkah laku lebih baik sekiranya mereka mendapati ibu bapa mereka sering dilibatkan dalam pelbagai aktiviti di sekolah pada sepanjang tahun persekolahan.

12. Seterusnya SLC didapati lebih berfokuskan pencapaian pelajar. Dalam hal ini didapati bahawa pihak sekolah akan melibatkan keluarga dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan dengan tujuan bagi mendapat sokongan dalam pelbagai bentuk untuk meningkatkan prestasi pelajar.

13. Ini secara tidak langsung akan membantu meneguhkan pelbagai aspek pembelajaran serta kemahiran-kemahiran pelajar di sekolah, misalnya kemahiran membaca, menulis dan mengira di sekolah rendah.

14. Perkara lain yang ditekankan di dalam SLC adalah wujudnya kerjasama erat antara pihak sekolah dengan komuniti setempat. Pihak sekolah akan berkerjasama dengan masyarakat setempat dengan menganjurkan pelbagai aktiviti sama ada di dalam atau di luar sekolah pada masa yang dirasakan sesuai dalam usaha bagi meningkatkan kemahiran dan bakat pelajar.

15. Joyce Epstein (2009) dalam bukunya School, Family and Community Partnership : Your Handbook for Action, telah menggariskan 6 jenis penglibatan ibu bapa yang dapat dianjurkan oleh pihak sekolah dalam usaha untuk  membantu meningkatkan pembelajaran pelajar.

a. Parenting (Keibubapaan) – Melalui penglibatan jenis ini, pihak sekolah boleh membantu pihak keluarga dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan sama ada tentang kemahiran keibubapaan, memberi maklumat tentang perkembangan psikologi anak-anak, serta membantu menyediakan suasana yang dapat memudahkan anak-anak belajar dengan lebih baik di rumah. Penglibatan jenis ini juga secara tidak langsung dapat membantu pihak sekolah memahami latar belakang keluarga dan budaya pelajar berkenaan.

b. Communicating (Berkomunikasi) – Dalam penglibatan jenis ini, pihak sekolah akan berusaha berkomunikasi secara berkesan dengan pihak ibu bapa melalui pelbagai cara dan media dalam usaha untuk membantu pembelajaran pelajar. Misalnya pihak sekolah menggunakan surat bagi menerangkan program-program yang dilaksanakan di sekolah ataupun guru menerangkan kepada pihak ibu bapa tentang perkembangan prestasi semasa anak-anak mereka semasa perjumpaan ibu bapa dengan guru. Selain itu, melalui saluran tertentu, pihak ibu bapa juga boleh memberi maklumbalas terhadap perkara-perkara tertentu kepada pihak sekolah.

c. Volunteering (Kesukarelawanan) – Pihak sekolah boleh melakukan perancangan pelbagai program yang melibatkan ibu bapa di sekolah sama ada sebagai sukarelawan, peserta ataupun sebagai penonton dalam mana-mana aktiviti sekolah. Kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa dalam penganjuran dan pelaksanaan sesuatu aktiviti, secara tidak langsung akan menyumbang kepada kejayaan pelajar. Misalnya aktiviti gotong-royong mengecat bangunan sekolah, ibu bapa membantu pelbagai penganjuran aktiviti pelajar di sekolah.

d. Learning at Home (Pembelajaran di Rumah) – Melalui penglibatan jenis ini, pihak sekolah dapat mendedahkan kepada pihak ibu bapa tentang pelbagai kaedah yang sesuai bagi membantu anak-anak mereka belajar atau menyelesaikan kerja sekolah di rumah. Dalam hal ini, pihak ibu bapa juga dapat berkongsi idea dengan pihak sekolah bagi menyediakan strategi yang sesuai bagi penambahbaikan kerja rumah anak-anak mereka. Selain itu, pihak sekolah juga boleh menyediakan maklumat tentang jenis-jenis kemahiran yang diperlukan untuk belajar di rumah.

e. Decision Making (Pembuatan Keputusan) – Pihak sekolah juga melibatkan ibu bapa sebagai rakan kongsi dalam pembuatan keputusan dalam beberapa aspek di sekolah. Misalnya di dalam penganjuran beberapa aktiviti, mesyuarat PIBG, jawatankuasa bersama dalam program sekolah dan lain-lain.

f. Collaborating with the Community (Bekerjasama dengan Masyarakat Setempat) – Hubungan baik sekolah dengan masyarakat setempat dapat diwujudkan dengan melibatkan pihak jabatan kerajaan, swasta atau badan-badan lain dalam pelbagai program di sekolah. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mendidik pelajar dan keluarga mereka tentang cara-cara menjadi warganegara yang baik.

16. Kesimpulannya, setiap jenis penglibatan di atas memerlukan pendekatan yang berbeza. Setiap satunya mempunyai cabaran tersendiri yang perlu ditangani supaya penglibatan sepenuhnya dapat diwujudkan.

17. Selain itu, pengubahsuaian aspek-aspek tertentu amat perlukan supaya penglibatkan yang dilakukan bersesuaian dengan latar belakang keluarga dan masyarakat setempat.

18. Setiap jenis penglibatan akan membawa kesan yang berbeza sama ada terhadap pelajar, ibu bapa, amalan pengajaran guru dan iklim sekolah. Sehubungan itu, pihak sekolah perlulah membuat pilihan yang tepat supaya penglibatan ibu bapa dan masyarakat dapat membantu pencapaian matlamat utama sekolah dengan lebih bermakna.

19. Dengan menjadi menjadi rakan kongsi yang baik, diharapkan penglibatan pihak ibu bapa dan komuniti setempat akan dapat membantu pihak sekolah meningkatkan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah dan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah di siplin di sekolah.

20. Ini kerana tugas bagi penambahbaikan pendidikan anak-anak bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah tetapi juga melibatkan pihak keluarga dan komuniti setempat.

Tiada ulasan: