Rabu, 23 November 2011

Tanda-Tanda Keunggulan Sekolah Berkesan

1. Mengapakah dua sekolah yang terletak berhampiran di daerah yang sama, mempunyai latarbelakang guru, pelajar,ibu bapa, kakitangan, dan kemudahan yang hampir sama, tetapi keputusan peperiksaan awam mereka jauh berbeza ?

2. Sebuah sekolah prestasinya mengatasi peratus kebangsaan dan sebuah lagi peratusan prestasinya amat lemah. Mengapakah perbezaan ini boleh berlaku?

3. Perbezaan ini sudah tentu disebabkan beberapa faktor dalaman unik yang melibatkan budaya sekolah sebagai penentu sama ada statusnya akan menjadi sekolah berkesan atau sekolah yang lemah.

4. Sekolah berkesan ialah sekolah yang berkemampuan menghasilkan pelajar maju atau lebih tinggi daripada yang disasarkan.

5. Dengan itu, sekolah berkesan juga dianggap sebagai sekolah yang mampu memberi nilai tambah terhadap ‘outcome’ (keputusan peperiksaan awam) pelajar sekolah berkenaan berbanding keputusan peperiksaan sekolah lain yang menerima kemasukan pelajar yang mempunyai ciri hampir sama.

6.Perbezaan ketara keputusan peperiksaan awam kedua-dua sekolah tadi adalah disebabkan pelbagai faktor berdasarkan tahap komitmen semua pihak di sesebuah sekolah iaitu bermula daripada kepemimpinan, kakitangan (akademik dan sokongan), ibu bapa, pelajar, pelaksanaan dasar-dasar Kementeran Pelajaran Malaysia dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik darjah.

7.Antara tanda sesebuah sekolah berkesan ialah pernyataan visi dan misinya yang jelas. Dalam hal ini, pernyataan visi dan misi yang jelas, yang dikongsi dengan semua pihak berkepentingan dan difahami oleh semua akan membantu pihak berkepentingan sama ada guru, pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah memberi komitmen yang tinggi dalam usaha untuk menjadikan sesebuah sekolah itu sekolah berkesan.

8. Perkongsian dan pemahaman semua pihak terhadap hala tuju sekolah seterusnya akan memudahkan mereka memainkan peranan secara bersepadu untuk mencapai visi dan misi tersebut. Perkongsian dan pemahaman ini akan lebih berkesan apabila guru-guru dan kakitangan lain dilibatkan secara langsung di dalam pembentukan visi dan misi sekolah.

9. Misalnya, pemahaman visi dan misi sekolah secara mendalam oleh pihak guru di sekolah akan dapat diterjemahkan melalui komitmen tinggi mereka dalam tugas utama yang melibatkan tugas pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran serta melalui amalan-amalan lain di sekolah.

11. Namun demikian, individu yang berperanan utama dalam melakukan perubahan terancang di sekolah ialah pengetua sekolah itu sendiri.

12. Sebagai pemimpin sebuah organisasi pendidikan, seseorang pengetua akan berusaha secara berterusan bagi mempengaruhi subordinat di bawahnya supaya berusaha mencapai visi dan misi sekolah yang telah ditetapkan.

13. Selain itu, tanda kedua sekolah berkesan ialah wujudnya kepimpinan pengajaran (instructional leadership) berkesan yang diamalkan oleh pengetua.

14. Sebagai pemimpin sekolah berkesan, pengetua berkemampuan menjelaskan visi dan misi sekolah secara berterusan dan sentiasa mewujudkan perasaan kekitaan kepada semua guru, kakitangan, ibu bapa dan pelajar untuk mencapainya.

15.Ini dapat dilakukan dengan cara mewujudkan satu set nilai teras yang menjadi panduan yang dikongsi oleh semua pihak berkepentingan tidak kira sama ada guru, kakitangan, ibu bapa dan pelajar.

16. Tujuannya supaya mereka mempunyai halatuju yang sama dan berusaha untuk mencapai sasaran prestasi tinggi dalam bidang akademik di sekolah secara bersama-sama.

17. Untuk mencapai sasaran ini ,pengetua juga akan berusaha untuk memahami dan memasukkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran berkesan dalam semua aspek pengurusan program akedemik di sekolah.

18. Jelasnya, semuanya adalah bergantung kepada peranan pengetua sebagai artikulator misi sekolah dalam usaha untuk mencapai keberkesanan sekolah dalam bidang akademik keseluruhannya.

19.Seterusnya, tanda lain ialah wujudnya pengurusan masa pelajaran pelajar yang berkesan. Dalam hal ini, pihak sekolah sentiasa menguruskan dan memastikan supaya pelajar diajar mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan di dalam tempoh yang terhad.

20. Bagi mencapai tujuan ini, pihak sekolah akan melakukan perancangan dan mempunyai kesepakatan tentang peruntukan masa untuk sesuatu mata pelajaran dan tempoh untuk menghabiskan sukatan pelajaran dengan berkesan.

21. Pengurusan ini banyak melibatkan peranan guru untuk menyesuaikan aktiviti pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajarannya supaya sukatan pelajaran dapat dihabiskan di dalam tempoh yang telah ditetapkan.

22. Tanda lain keberkesanan sesebuah sekolah adalah melalui persekitaran sekolah yang kondusif dan iklim sekolah yang positif.

23. Sesebuah sekolah berkesan memerlukan persekitaran yang teratur, selamat, indah, nyaman, selesa serta bebas daripada sebarang ancaman keselamatan.

24. Selain itu, iklim sekolah yang terbuka akan memberikan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif.Dalam mencapai hasrat iklim sekolah terbuka dan positif, pihak sekolah hendaklah sentiasa mendidik pelajar-pelajarnya tentang tingkahlaku yang baik dan bermoral.

25. Ini termasuklah contoh teladan baik yang ditunjukkan oleh semua orang dewasa di sekolah itu.

26. Tanda berikutnya ialah wujudnya hubungan baik antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa pelajar di sesebuah sekolah berkesan selalunya amat memahami dan menyokong segala program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.

27. Selain itu, pihak sekolah juga sering memberi peluang kepada ibu bapa untuk memainkan peranan penting bagi membantu pihak sekolah mencapai visi dan misi.

28. Anak-anak akan merasakan bahawa ibu bapa mereka mengambil berat tentang tingkahlaku dan akademik mereka di sekolah apabila mendapati ibu bapa mereka sentiasa bersama-sama pentadbir, guru dan kakitangan menyertai pelbagai aktiviti di sekolah.

29. Ini secara tidak langsung akan menggalakkan pelajar bersungguh-sungguh di dalam akademik yang seterusnya akan membantu meningkatkan prestasi sekolah.

30. Selanjutnya, antara tanda lain sekolah berkesan adalah wujudnya pemantauan prestasi akademik pelajar secara berterusan di sekolah.

31. Prestasi akademik yang dipantau secara berterusan sejak awal lagi iaitu semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah akan dapat membantu meningkatkan prestasi pelajar secara berterusan.

32. Dalam hal ini, segala kelemahan pelajar dapat dikesan terus oleh guru mahupun pihak sekolah dan kelemahan tersebut segera diperbaiki semasa proses pengajaran dan pembelajaran lagi.

33. Penambahbaikan secara berterusan (continuous improvement) dalam prestasi akademik pelajar ini sudah tentu akan memudahkan pihak sekolah memantau prestasi pelajarnya secara berterusan kerana usaha mengesan kelemahan serta usaha memperbaikinya dapat dilakukan sejak awal lagi kerana tindakan pemulihan dan pengayaan dapat dilakukan segera oleh guru sepanjang masa.

34. Hasilnya sudah tentu prestasi akademik sesebuah sekolah akan sentiasa berkualiti dan terbaik juga dari segi kuantitinya.

35. Hasrat untuk menjadi sekolah berkesan hanya akan dicapai apabila semua pihak mempunyai hala tuju yang sama dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk mencapainya.

36. Sebagai pemimpin sekolah, seseorang pengetua itu hendaklah mengetahui dan berkemampuan untuk membawa sekolahnya ke arah kecemerlangan dengan mendalami dan mengaplikasi pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam pengurusan sekolah berkesan.

37. Selain itu, guru-guru, kakitangan dan ibu bapa pula seharusnya memahami visi dan misi sekolah serta mampu menterjemahkannya di dalam peranan masing-masing secara berterusan dengan komitmen yang tinggi.

38. Manakala pelajar pula hendaklah sentiasa memiliki kemahuan yang tinggi untuk belajar serta mengamalkan pelbagai teknik kemahiran belajar berkesan dalam usaha mencapai prestasi akademik yang tinggi seperti yang dihasratkan.

39. Sekolah berkesan sebenarnya mempunyai hubungan langsung dengan penghasilan modal insan unggul negara pada masa akan datang.

Tiada ulasan: