Sabtu, 26 November 2011

Pengurusan Risiko, Kecuaian dan Hak Ibu Bapa

1. Perkembangan sistem pendidikan dan teknologi moden telah mula mengubah cara pemikiran dan pandangan ibu bapa terhadap persekolahan anak-anak mereka pada masa kini.

2. Dahulu ibu bapa lebih bersikap tidak apa dalam sesuatu isu berkaitan anak-anak di sekolah dan menyerahkan bulat-bulat segala keputusan kepada pihak sekolah untuk menentukannya.

3. Namun kini, ibu bapa didapati lebih prihatin dan sudah mula sedar akan hak-hak mereka dan anak-anak terutamanya melibatkan aspek perundangan di sekolah.

4. Pada masa kini juga, pihak sekolah diberi amanah sebagai “loco parentis” oleh ibu bapa sebagai pengganti mereka untuk menjaga kebajikan, keselamatan dan pelindung ketika anak-anak mereka berada di sekolah.

5. Sebagai pendidik, kita perlu memahami bahawa pada abad ke-21 ini, kita bekerja dalam era reformasi pendidikan yang mengutamakan hak asasi, ketelusan, akauntabiliti, piawaian dan tadbir urus yang baik dalam pendidikan.

6. Semua tindakan pentadbir dan guru-guru di sekolah adalah terikat dengan akta, pekeliling dan prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak atasan dan tidak boleh dilanggar secara sewenang-wenangnya.

7. Implikasinya, pihak sekolah boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang jika ibu bapa mendapati bahawa tindakan yang diambil oleh pihak sekolah tidak mengikut lunas-lunas yang ditetapkan dan prosedur-prosedur yang perlu diikuti sehinggakan boleh mendatangkan kemudaratan dan kemalangan atau kegagalan terhadap anak-anak mereka.

8. Kecuaian dalam konteks perundangan pendidikan bermaksud pelanggaran standard atau piawaian atau prosedur penjagaan/keselamatan/rawatan yang telah ditetapkan atau sepatutnya dilakukan akibat kegagalan untuk berhati-hati dalam keadaan waras (sedar, tahu, sengaja) dalam sesuatu situasi sehingga mendatangkan kecederaan, kematian, kemudaratan atau kegagalan kepada pelajar.

9. Dengan kata lain ‘kecuaian’ dapat juga dianggap kelakuan yang tidak mengikut prosedur piawaian keselamatan sehingga boleh menyebabkan berlakunya kecederaan atau kemalangan terhadap pelajar.

10. Kecuaian atau kegagalan bertindak mengikut seperti yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang waras dan berhati-hati ini boleh berlaku dalam tiga keadaan.

11. Keadaan pertama ialah “nonfeasance” yang bermaksud kegagalan personel/pihak sekolah bertugas mengikut peraturan dan sepatutnya berada di tempat yang ditetapkan tetapi personel/pihak sekolah tidak melakukannya.

12. Keadaan ini melibatkan seseorang patut menjalankan tugas tetapi meninggalkan tugas tersebut dan tidak menjaganya seperti yang sepatutnya dilakukan.

13. Misalnya, kemalangan atau kecederaan pelajar berlaku di dalam bilik darjah ketika guru tidak berada di dalam kelas sedangkan sepatutnya guru tersebut perlu berada di dalam kelas pada masa kejadian itu.

14. Keadaan kedua pula ialah “misfeance” yang bermaksud kegagalan personel/pihak sekolah melakukan sesuatu tindakan mengikut prosedur atau peraturan yang telah ditetapkan apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

15. Dalam hal ini, seseorang "misfeance" didapati telah berbuat salah laku, dengan mengambil suatu tindakan yang tidak mengikut peraturan atau prosedur apabila ada kewajipan untuk bertindak.

16. Misalnya, ada pelajar tercedera akibat terjatuh ke dalam lubang bekas takungan najis lama yang tidak ditimbus ketika berlari-lari di kawasan sekolah. Kecuaian berlaku apabila pihak sekolah gagal mengikut prosedur yang sepatutnya iaitu berusaha mengenal pasti tempat-tempat berbahaya di kawasan sekolah, mewartakannya kepada semua pelajar dan berusaha menimbus lubang tersebut.

17. Masalah boleh timbul apabila pihak pelajar yang cedera tersebut mendakwa bahawa pihak sekolah yang sepatutnya tahu kewujudan tempat bahaya tersebut tetapi tidak mengambil langkah yang betul untuk mengatasinya.

18. Contoh lain ialah ada murid sekolah rendah yang cedera ditumbuk oleh rakan semasa ketiadaan guru di dalam kelas, disuruh berjalan kaki balik sendiri ke rumah pada waktu sesi persekolahan berlangsung.

19. Keadaan seterusnya ialah “malfeasance” pula bermaksud personel/pihak sekolah melakukan tindakan tetapi berpandukan niat yang tidak baik.

20. Keadaan ini sebenarnya menyalahi undang-undang kerana seseorang bertindak melebihi bidang tugasnya yang dipertanggungjawabkan.

21. Misalnya, guru menghukum pelajar dengan hukuman berdiri di atas kerusi atau berjemur di tengah panas matahari sehinggakan ada pelajar yang rebah pengsan.

22. Sedangkan di dalam mana-mana peraturan pengurusan bilik darjah yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran, tidak pernah dinyatakan tentang jenis bentuk hukuman sedemikian.

23. Dalam hal ini, pihak ibu bapa berhak mendakwa personel/pihak sekolah kerana tindakan tersebut nyata menyalahi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

24. Sesuatu dakwaan terhadap tindakan kecuaian hanya akan diterima jika wujud pra syarat seperti berikut :

a. defendan mesti mempunyai kewajipan/tugas terhadap plaintif;
b. defendan didapati telah gagal untuk melaksanakan satu standard/prosedur penjagaan yang munasabah dalam tindakannya;
c. tindakan defendan mesti terbukti ada kaitan dengan kecederaan/kemudaratan yang dialami oleh plaintif; dan
d. plaintif mesti membuktikan bahawa dia benar-benar mengalami kecederaan/kemudaratan.

25. Ternyata ini merupakan satu cabaran baru yang bakal dihadapi oleh senario pendidikan kita pada masa kini dan akan datang.

26. Walaupun demikian, kita tidak dapat menolak perubahan ini kerana perubahan tetap dan terus berlaku walaupun ada pihak cuba menggunakan pelbagai cara dan kuasa untuk menolaknya.

27. Dalam keadaan ini, tindakan yang perlu diambil ialah kita perlu memikirkan cara-cara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal berlaku supaya kita dapat menerimanya dalam keadaan baik dan bersedia.

Tiada ulasan: