Rabu, 16 November 2011

Pengupayaan Pengurus Pertengahan Penyumbang Kecemerlangan Organisasi

1. Perkembangan teknologi telah membawa perubahan terhadap dalam gaya kepimpinan di dalam sesebuah organisasi. Kaedah kepimpinan kawal dan perintah yang diamalkan sejak berabad lalu didapati kurang cekap dan tidak relevan lagi dalam dunia teknologi yang pantas berubah.

2. Pada masa kini, pengurus pertengahan sesebuah organiasasi memerlukan persekitaran kerja yang bermotivasi dan berautonomi daripada kepimpinan peringkat atasan di dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

3. Pengupayaan(empowerment) adalah adalah proses yang membolehkan atau membenarkan seseorang individu untuk berfikir, berkelakuan, mengambil tindakan, dan mengawal serta membuat keputusan secara autonomi dalam menjalankan tugasnya.

4. Dalam pengurusan sekolah, pengupayaan melibatkan aspek kurikulum, ko-kurikulum, pentadbiran, hal ehwal pelajar, perjawatan, kewangan, harta benda dan kawasan, perhubungan awam serta iklim dan budaya sekolah.

5. Antara proses yang terlibat dalam pengupayaan adalah perkongsian maklumat dengan kakitangan, mencipta autonomi tetapi dalam sempadan tertentu serta menggantikan sistem hirarki tradisional kepada pasukan terarah sendiri.

6. Perkongsian maklumat ini akan menimbulkan perasaan saling mempercayai dan ini secara tidak langsung akan memberi pemahaman kepada kakitangan tentang status semasa organisasi dengan jelas dan tepat.

7. Dalam konteks pengurusan sekolah, pengurus pertengahan merupakan golongan pentadbir lapisan kedua selepas penolong-penolong kanan.

8. Dalam hal ini, pengetua dan penolong-penolong kanan didapati sudah mempunyai autonomi yang jelas dalam melaksanakan tugas masing-masing.

9. Walaupun demikian, pengurus pertengahan sukar untuk menjalankan tugas dengan baik memandangkan bidang tugas mereka tidak pernah diberi sempadan autonomi yang jelas.

10. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya pencapahan tugas serta kekeliruan dalam kalangan pengurus pertengahan terutamanya dalam membuat keputusan, perancangan dan tindakan.

11. Kegagalan pihak atasan memberikan pengupayaan atau menetapkan autonomi tentang bidang tugas pengurus pertengahan boleh menyebabkan berlakunya pelbagai konflik kerana ketiadaan batasan autonomi menyebabkan ada pengurus pertengahan yang menggunakan tafsirannya sendiri dalam melaksanakan tugas.

12. Ketiadaan autonomi yang jelas juga akan menyebabkan mereka menjadi serba salah tentang hala tuju kerja dan kesannya, matlamat untuk mencapai sesuatu visi dan misi tidak akan berjaya sepenuhnya.

13. Dalam hal ini, pengetua sebagai pemimpin tertinggi organisasi sekolah seharusnya bertindak sebagai fasilitator dengan menetapkan autonomi yang jelas kepada pengurusan pertengahan supaya mereka berasa yakin dan berupaya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.

14. Hasilnya, pemindahan pengalaman dan pengetahuan dapat dilakukan dengan lancar dan sempurna tanpa sebarang konflik.

15. Pengupayaan akan menjadikan persekitaran kerja lebih berinspirasi dan seterusnya akan dapat menarik serta mengekalkan pengurus pertengahan supaya terus bekerja dengan produktiviti tinggi yang akhirnya dapat membantu menjadikan sesebuah organisasi terus cemerlang.

Tiada ulasan: