Isnin, 14 November 2011

Pengaruh Kematangan Guru Terhadap Pelajar

1.Selain mengajar di bilik darjah, guru juga berperanan secara tidak langsung untuk mendidik pelajar-pelajarnya supaya berfikir dan bertingkah laku secara matang.

2.Untuk melaksanakan tanggungjawab ini, seseorang guru itu sendiri terlebih dahulu haruslah menjadikan dirinya matang iaitu sentiasa mampu mengawal perasaan diri, mampu menerima perbezaan orang lain, menjadikan dirinya seorang yang mudah didekati oleh pelajarnya dan bukannya memperlihatkan imej sebagai seorang yang berkuasa terhadap pelajar.

3.Selain itu, seorang guru yang dikatakan matang juga seharusnya sentiasa mencari jalan untuk membantu pelajar-pelajarnya untuk berjaya dan bukannya sentiasa memikirkan tentang cara-cara untuk menggunakan kelebihan dan kuasa yang ada padanya untuk menjadi pemenang di dalam segala tindakan.

4.Di samping itu, guru itu juga perlu mampu mengambil sesuatu tindakan atau keputusan untuk satu jangkamasa yang panjang dan bukannya hanya untuk memuaskan hati dalam jangka masa pendek.

5.Seterusnya, dia juga perlu memastikan mana-mana tindakannya adalah sentiasa berlandaskan norma-norma masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap tingkahlaku guru di tempatnya.

6.Seseorang yang dikatakan dewasa itu, ialah seorang yang mampu mengawal emosinya tetapi berkesan dalam menyelesaikan masalah.

7.Dalam hal ini, seseorang guru itu hendaklah juga sentiasa bersabar terhadap tingkahlaku pelajarnya walaupun dalam keadaan paling menyakitkan hatinya sekalipun.

8.Dia juga tidak boleh mendapat kelebihan untuk menang ketika emosinya tidak dapat dikawal.

9.Didapati pelajar-pelajar yang kurang matang selalunya melihat sesuatu berdasarkan perspektifnya sahaja dan menolak cara orang lain melihat atau melakukan sesuatu.

10.Ini kerana pada peringkat awal pertumbuhan manusia, kita hanya mampu menerima sesuatu yang dikatakan betul itu hanyalah berdasarkan jika ada persamaan dengan diri kita, latar belakang keluarga, adat, pengalaman kerja, kampung, pendidikan dan sebagainya.

11.Seseorang pelajar yang meningkat dewasa pula seharusnya dididik untuk menerima perbezaan orang lain(budaya, bahasa, pandangan dll).

12.Pada peringkat kematangan ini, sepatutnya pelajar akan mampu menerima perbezaan pandangan orang lain.

13.Dalam hal ini, pelajar perlu dididik bahawa apabila setiap orang saling menghormati dan menerima pandangan orang lain, perbezaan pandangan tersebut akan akhirnya akan menyumbang kepada usaha jujur pelajar untuk melihat bagaimana mereka yang berbeza pandangan boleh menyokong dan membantu antara satu sama lain untuk kebaikan bersama. Tahap ini dinamakan integrasi.

14.Walaupun tahap integrasi kadang kala sukar dicapai walaupun ketika mereka sudah dewasa, namun guru boleh memupuk kematangan ini melalui pelbagai aktiviti sama ada terancang atau tidak terancang di sekolah. Ini kerana integrasi akhirnya dapat menjadikan sekolah sebagai alat perpaduan.

15. Pengaruh teladan seorang guru yang matang akan mempengaruhi tindakan pelajar-pelajarnya dalam semua aspek kehidupannya pada masa akan datang.

16. Ini kerana pelajar lebih menghormati guru yang matang berbanding guru yang garang.

17.Pengaruh kematangan guru terhadap pelajar secara tidak langsung seterusnya akan dapat mengurangkan konflik antara pelajar dengan pelajar, pelajar dengan guru dan pelajar dengan masyarakat.

18.Keadaan ini sudah tentu akan menghasilkan iklim sekolah yang terbuka dan ini seterusnya akan membantu mengurangkan masalah disiplin sekolah di samping dapat menyatupadukan pelbagai pihak yang berbeza di sekolah.

Tiada ulasan: