Rabu, 9 November 2011

Akauntabiliti Dalam Institusi Pendidikan

1. Modal insan berkualiti merujuk kepada individu yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia yang merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

2. Aspek utama sebagai pemangkin dalam usaha membentuk modal insan berkualiti ialah melalui akauntabiliti di dalam pengurusan institusi pendidikan.

3. Dalam konteks pentadbiran pendidikan, akauntabiliti merujuk kepada kebertanggungjawaban pihak sekolah atas segala tindakan yang dilakukan melalui sistem pendidikan bagi menghasilkan pelajar yang berprestasi tinggi dan berkualiti dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

4. Akauntabiliti juga berkaitan dengan tanggungjawab yang diberikan kepada pengetua, guru-guru dan kakitangan lain melalui perwakilan kuasa oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menguruskan sekolah dengan baik dan bukannya kuasa mutlak untuk membuat apa-apa sahaja.

5. Selain itu, pihak sekolah bertanggungjawab sebagai “loco parentis” terhadap pendidikan anak-anak di sekolah sebagai mewakili ibu bapa.

6. Memandangkan penubuhan sekolah adalah bagi memenuhi amanah dan kepercayaan oleh kerajaan dan masyarakat untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan berkualiti, sewajarnyalah amanah tersebut dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab serta komitmen tinggi daripada semua pihak.

7. Bagi mengukuhkan akauntabiliti ini, setiap tindakan yang diambil oleh sesebuah institusi pendidikan seharusnya berlandaskan kepada peraturan, undang-undang dan pekeliling yang telah ditetapkan.

8. Dengan itu, pihak sekolah adalah terikat dengan peraturan, undang-undang dan pekeliling yang telah ditetapkan kerana tahap akauntabilitinya adalah diukur dari segi pematuhannya terhadap peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu.

9. Mana-mana pelanggaran atau pengubahsuaian terhadap peraturan dan pekeliling yang telah ditetapkan boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap sekolah.

10. Dalam apa-apa tindakan sekalipun sama ada pengurusan kewangan, disiplin pelajar, kenaikan pangkat guru, peperiksaan, keselamatan pelajar, biasiswa dan sebagainya hendaklah diuruskan mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

11. Misalnya, di dalam peristiwa 3 orang pelajar Tahun Enam di sebuah sekolah rendah yang tidak dibenarkan menduduki UPSR 2011 oleh pihak sekolah atas alasan mereka lemah dalam akademik dan dikurung pula di dalam bilik pemulihan mulai jam 8.00 pagi sehingga waktu tengah hari pada 13 September dan 14 September yang lalu merupakan satu pelanggaran terhadap Perkara 19 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

12. Perkara 19 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) jelas menyatakan bahawa tiap-tiap sekolah hendaklah menyediakan murid-muridnya bagi peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini melainkan jika dikecualikan selainnya oleh atau di bawah Akta ini.

13. Pelanggaran ini boleh memberi banyak implikasi buruk terhadap nama baik sesebuah institusi pendidikan kerana ini jelas menafikan hak murid-murid di dalam menduduki peperiksaan awam.

14. Sedangkan di negara ini semua calon yang berdaftar untuk menduduki peperiksaan awam tidak mengira sama ada dia calon normal, calon tahanan penjara, calon hospital, mahupun Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang kurang upaya, buta, rabun, bisu, pekak, dan hamil berhak dan layak menduduki peperiksaan.

15. Pelanggaran sesuatu akta, prosedur atau pekeliling juga menyebabkan sesuatu tindakan salah pengurusan sekolah boleh dipersoalkan dan dicabar di mahkamah kerana tiada bahagian di dalam mana-mana akta atau pekeliling yang memperuntukkan supaya sesuatu tindakan atau hukuman salah itu patut dilaksanakan mengikut hati.

16. Sepatutnya penyelesaian masalah ini ialah melalui pendidikan dan kebijaksanaan pihak yang diwakilkan kuasanya oleh kementerian untuk menyelesaikan apa-apa masalah di institusi tersebut dan bukannya dengan mengambil jalan mudah.

17. Kita bimbang akan pelanggaran mana-mana akta atau surat pekeliling boleh mengundang pertikaian daripada pihak berkepentingan (stakeholder) yang boleh mengheret mana-mana institusi pendidikan ke muka pengadilan.

18. Ini kerana pada masa kini masyarakat sudah mula prihatin terhadap tadbir urus terbaik (good governance) bagi sesebuah institusi pendidikan yang mulia ini.

19. Semoga peristiwa hitam sebegini tidak akan berulang lagi kerana pelanggaran akta dan surat pekeliling ini boleh menjejaskan akauntabiliti sesebuah institusi pendidikan.

20. Akauntabiliti hanya boleh wujud dengan sempurna sekiranya adanya sistem kawalan dan pemantauan yang cekap ke atas organisasi pendidikan berkenaan.

21. Kuasa yang diberi adalah untuk membolehkan tugas disempurnakan dengan penuh tanggungjawab dan berkesan bagi memenuhi hasrat masyarakat/negara dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

22. Tugas yang diamanahkan pula hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur, arahan dan peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin keselarasan tindakan kita bagi mencapai hasrat negara untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam

1. Perkara 16 adalah dirujuk, pelajar yang dirampas telefon bimbitnya atas kesalahan pertama bukan digantung asrama atas sebab telefon semata-mata. Pelajar terbabit telah beberapa kali melanggar disiplin sekolah termasuk peraturan asrama. Merujuk kepada salah seorang pelajar Tingkatan 6 yang mungkin mengadu kepada Penyelaras Tingkatan 6 untuk meraih simpati, pelajar berkenaan terlibat dengan banyak kesalahan disiplin seperti "dating", mengugut hendak menumbuk pelajar lain (lebih dari sekali, melawan guru dan lain-lain. Di harap Penyelaras Tingkatan 6 berhubung dengan PK HEM untuk mendapat penjelasan lanjut bukan semata-mata menulis bahan "kosong" tanpa fakta yang jelas, berat sebelah dan prejudis kepada pentadbiran sekolah.

2.Perkara 17 adalah dirujuk, tidak ada pengubahsuaian terhadap surat pekeliling berkenaan. Pengetua mempunyai kuasa tertentu untuk menghalang, melarang dan sebagainya apa-apa yang difikirkan perlu untuk kepentingan semua pihak bukan hanya melayan golongan tertentu sahaja.

3.Kesalahan pertama adalah universal, sedangkan PKHEM telah memberi peringatan ataupun amaran hampir setiap perhimpunan. Jadi kesalahan pertama tidak wujud apabila pelajar tetap melakukan kesalahan. Dan akibatnya PKHEM berhak mendenda mengikut peraturan yang sedia ada.

4.Tindakan disiplin yang dikenakan kepada pelajar di dalam surat pekeliling tersebut hanya merujuk kepada kesalahan membawa telefon sahaja sedangkan dalam menentukan kesalahan/hukuman pelajar semua kesalahan yang pernah dilakukan adalah dirujuk bersama.

sekian

Tanpa Nama berkata...

Selamat sejahtera

Saya ucapkan tahniah kepada En. Zulkifli Hasim kerana berjaya menulis blog yang dapat memberi manfaat kepada warga pendidik amnya dan warga pentadbir sekolah khasnya. Saya juga seronok melihat komen-komen yang diberikan cukup menarik.

Terlebih dahulu saya ingin nyatakan yang saya ini kurang pengalaman apatah lagi saya memang tiada ilmu tinggi seperti saudara-saudara sekalian.

Saya setuju dengan En. Zulkifli bahawa dalam pekerjaan mengurus sekolah kita mesti patuh kepada semua peraturan yang sudah ditetapkan, jika tidak akan berlakulah macam-macam masalah di belakang hari.Semua pihak boleh susah.

Saya umpamakan mengurus sekolah ini macam kita memandu bas sekolah pergi rombongan lawatan. Ada pemandu (pengetua dan pengurusan), ada penumpang (guru-guru dan murid-murid), ada bas (sekolah), ada destinasi (visi sekolah).Tapi adakah semua ini menjamin kita sampai ke destinasi dengan selamat?

Belum tentu selamat tuan. Jadi di sinilah..ada satu lagi iaitu kita juga perlu patuh kepada peraturan keselamatan jalanraya (iaitu akta, pekeliling, peraturan..)barulah kita berjaya membawa penumpang bas sekolah dengan selamat sampai menuju ke destinasi yang kita nak pergi.

Bolehkah kita melanggar peraturan jalanraya ?...Sudah tentu boleh kerana bukan sepanjang masa ada polis trafik atau JPJ memantau...dan mereka tak tahupun apa yang kita buat..

Penumpang bas sekolah itu ada macam-macam jenis orang...ada yang nak cepat sampai suruh pemandu pandu laju..ada yang tidur sepanjang perjalanan..tak peduli asalkan sampai...ada juga yang prihatin dengan pemanduan pemandu...

Bagi saya pemandu bas sekolah itu amat bertuah dan patut bersyukur jika memiliki penumpang yang kebanyakannya prihatin dan mengambil berat terhadap perjalanan ke destinasi mereka.

Sepatutnya, pemandu bas sekolah juga perlu menghargai penumpang yang prihatin. Mereka takut jadi mangsa kemalangan.

Ada penumpang baru dan ada juga penumpang lama yang selalu menumpang bas sekolah tersebut untuk pergi rombongan.

Sebagai penumpang yang sudah lama menumpang bas itu (mungkin sudah beberapa kali bertukar pemandunya sebelum ini)...ada kalangan penumpang bas itu yakin pemandu bas itu boleh membawa mereka sampai dengan selamat ke destinasi mereka jika pemandunya sentiasa fokus kepada pemanduannya.

Pelanggaran undang-undang jalanraya atau akta..boleh dielakkan jika pemandu ada akauntabiliti dalam pekerjaannya.

Apa yang nak ditakutkan kalau kita tidak melanggar undang-undang...memandu dengan cermat, berhati-hati, merancang perjalanan, memeriksa keadaan bas supaya mematuhi kehendak keselamatan sepatutnya bergembiralah kerana selama ini melakukan pemanduan terbaik kepada penumpang..

Apa yang penting, kita memandu bas ikut peraturan...kita tak boleh memandu sesuka hati sebab banyak penumpang mengharapkan kita membawa mereka selamat tiba di destinasi.

PANDU CERMAT JIWA SELAMAT...BERHATI-HATI DI JALAN RAYA...JANGAN BIARKAN ORANG TERSAYANG MENANTI DALAM TANGISAN...

Semuanya ada makna dalam kerja kita mengurus sekolah.

Sekian, terima kasih.

GURU BESAR PENCEN
Malaysia

Tanpa Nama berkata...

Salam perpaduan

Pada pendapat saya, masyarakat sekarang mula ada kesedaran dengan mengambil berat terhadap akuntabiliti sebebuah institusi pendidikan kerana mereka inginkan wang yang mereka laburkan dalam bentuk potongan cukai digunakan sebaiknya bagi menghasilkan pelajar berkualiti dan berprestasi tinggi.

Tanpa Nama berkata...

Tahniah kepada Cikgu kerana tidak berani menghadapi kenyataan!

1. Perkara 16 dan 17 dari artikel asal telah DIBUANG menunjukkan Cikgu tidak berani menghadapi komen daripada orang lain. Ini menyebabkan ulasan pertama tergantung.

2. Saya syorkan kepada cikgu muhasabbah diri dulu. Kalau takut diulas oleh pihak lain, jangan buat rencana tanpa kajian atau siasatan.

3. Ingat, mengkritik itu mudah tapi melaksanakan sesuatu perkara belum tentu mudah jika hanya berteori semata-mata.

tq

Zulkifli Hasim berkata...

Salam...

Cikgu yang memberi komen pertama dan keempat..

Saya minta maaf kalau contoh nyata di dalam blog ini menyentuh mana-mana pihak...

Tujuan saya tulis blog ini untuk perkongsian pendapat tentang pentadbiran pendidikan.

Sebab itulah jika ada bahagian yang boleh menyebabkan ada pihak-pihak yang merasakan dirinya tak puas hati saya akan cuba elakkan...dan potong...saya tak mahu berkonflik dengan tetamu saya..

Kalau saya berniat nak mengkritik pentadbiran mana-mana institusi pendidikan terutamanya sekolah tuan, banyak yang boleh saya tulis......tapi bukannya di blog saya ini...

Satu lagi, untuk pengetahuan pihak tuan semua teori sebenarnya boleh diaplikasikan melainkan kita sendiri tak tahu mcm mana nak praktikkannya..

Masalah timbul apabila seseorang yg tidak tahu teori akan bertindak dan membuat keputusan mengikut kata hati /kata orang berautoriti yang bukannya berdasarkan penyelidikan...

Sebagai guru kita perlu banyakkan membaca dan berfikir bagaimana nak aplikasikan sesuatu teori pentadbiran pendidikan di dalam situasi kerja kita..

Janganlah terus meninggalkan teori tersebut di dalam buku dan menyalahkan bahawa teori itu cuma khayalan pengkaji..

Profesion kita bukannya umpama Nujum Pak Belalang...main teka-teka..Ini soal kemuliaan ilmu pengetahuan.

Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa kerana saya tahu...kalau bergaduh tentu tuan yang berkuasa akan menang dan dimenangi...siapalah saya...

Akhir sekali terima kasih atas komen tuan dan keprihatinan pihak tuan ...semoga pihak tuan terus mengulas segala artikel saya.. saya amat mengalu-alukannya..kerana tanpa komen daripada pembaca siapalah saya...

Tanpa Nama berkata...

Salam,

1. Cikgu boleh teruskan rencana cikgu mengenai apa saja kerana niat sesseorang hanya tuhan saja yang tahu. Kadang-kadang idea tercetus kerana situasi semasa. Maka nilaikan teori sebelum menulis kerana persepsi orang sukar kita jangka.

2. Berteori memang mudah tapi melaksana bukannya mudah. Seorang Pegawai Polis kerap menahan orang yang melanggar kesalahan lalulintas, tapi tidak semuanya diberi saman. Pemberian saman masih memerlukan budibicara bukan semata-mata melanggar peraturan terus disaman.

3. Ilmu memang baik dikongsi, tapi ilmu dunia sentiasa berkembang. Maka pasti ada pro dan kontra. pasti ada komen yang berbeza dengan idea asal.

4. Teruskan usaha.