Jumaat, 18 November 2011

Masalah Irihati Di Tempat Kerja

1. Sudah menjadi lumrah hidup di mana-mana sahaja bahawa ada orang yang akan tidak gembira apabila melihat kesenangan orang lain.

2. Irihati dan dengki adalah salah satu tingkah laku sosial manusia yang boleh wujud di dalam semua kumpulan dalam sesebuah organisasi tidak mengira sama ada daripada kumpulan tinggi atau rendah.

3. Perasaan irihati dianggap sebagai gugusan emosi yang berkaitan dengan rasa rendah diri, malu, murung, rasa tidak selamat, tidak senang, kecewa, dan rasa tidak upaya.

4. Walaupun demikian, intipati utama perasaan ini ialah lebih kepada gugusan perasaan yang tidak menyenangkan terutamanya apabila seseorang itu hidup atau bekerja bersama-sama orang lain.

5. Perasaan irihati muncul akibat kesan proses perbandingan sosial yang dilakukan oleh seseorang dengan mengukur sejauhmana dia setanding dengan orang yang dekat dengannya.

6. Irihati juga lebih berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan, menikmati, mempunyai, memiliki apa yang ada pada orang lain yang dekat atau dipandang rendah olehnya selama ini.

7. Misalnya paras rupa, kepintaran, pendidikan, kerjaya,harta benda, wang atau pangkat.

8. Masalah timbul apabila seseorang itu berasa yakin yang dia juga boleh memiliki kelebihan setanding dengan orang lain tetapi hakikatnya dia tidak mampu memilikinya.

9. Irihati kadangkala juga berpunca apabila ada kakitangan yang bimbang dan merasakan kedudukannya ‘terancam’ melihat rakan sekerjanya yang selama ini setaraf atau lebih rendah daripadanya semakin berkembang maju dan berjaya di tempat kerja.

10. Irihati yang keterlaluan dan melampau boleh bertukar menjadi dengki yang akhirnya boleh mengakibatkan perbuatan khianat.

11. Dalam hal ini, pendengki selalunya  mengharapkan nasib individu yang menjadi sasaran dengkinya akan menjadi lebih lebih buruk, jatuh, menderita atau kalah.

12. Ini berpunca daripada niat buruk yang didasari dengan rasa kurang senang yang tidak terhingga terhadap individu yang menjadi sasarannya.

13. Pendengki akan mendapat kepuasan apabila individu yang menjadi sasaran dengkinya akhirnya menderita, berada dalam keadaan kesusahan, tidak berjaya, ketinggalan, dimalukan dan diketepikan oleh ketua atau rakan sekerja.

14. Perasaan dengki adalah pengalaman psikologikal yang sukar untuk dikendalikan kerana pengalaman ini sebenarnya akan memudaratkan orang yang memilikinya kerana dengki ini membebankan, menyukarkan dan menyeksa pendengki kerana perasaan irihati dan dengki ini merupakan masalah intrapersonal yang akan menyebabkan pendengki sentiasa berperang dengan dirinya sendiri.

15. Misalnya, seseorang pendengki akan sentiasa dihantui oleh kejayaan-kejayaan orang lain, walaupun hanya mendengar pujian kecil daripada ketuanya atau rakan sekerja terhadap saingannya boleh menyebabkan ia merasakan harga dirinya telah jatuh berbanding pesaingnya. Ini ditambah pula, apabila dia tidak mampu untuk menandingi pesaingnya.

16. Dalam keadaan ini, pendengki akan menjadi terlalu fokus terhadap semua kelebihan dan kejayaan saingannya sehinggakan dia sendiri hilang fokus terhadap prestasi kerjanya.

17. Kesannya dia akan mengabaikan prestasi kerjanya dan apabila sampai pada satu tahap, seseorang boleh mensabotaj pekerjaannya sendiri dan orang lain.

18. Di samping itu, pendengki juga berasa sukar untuk mengiktiraf idea-idea walaupun bernas daripada individu yang menjadi pesaingnya di dalam organisasi, sebaliknya dia akan lebih senang mengiktiraf idea yang datangnya dari luar organisasi walaupun kadangkala tidak relevan.

19. Kedengkian yang mencapai kemuncaknya akan menyebabkan seseorang pendengki itu menjadi kurang rasional, hilang pertimbangan dan akhirnya akan mendorong pendengki melakukan tindakan-tindakan di luar dugaan.

20. Dalam hal ini jika kedengkian gagal dikendalikan dengan baik melalui apa-apa juga mekanisma pertahanan diri akan menjurus kepada perbuatan khianat yang akan menghasilkan beberapa tindakan serangan jahat sama ada perbuatan zalim, kejam, tidak bertimbang rasa, tidak adil, fitnah, menuduh, mengainaya, buli, memalukan orang dan sebagainya.

21. Perasaan ini sebenarnya memperlihatkan harga diri seseorang yang terjejas apabila mendapati kualiti diri, pencapaian, kebolehan, keupayaan diri, pemilikan material yang dimiliki oleh dirinya tidak sehebat dan setanding individu yang menjadi sasaran irihati dan dengki.

22. Kesan buruk daripada perasaan irihati dan dengki juga boleh merosakkan hubungan manusia di tempat kerja, memecah belahkan kumpulan, dan akhirnya boleh melemahkan prestasi sesebuah organisasi.

23. Namun, ramai yang tidak menyedari dan mengakui bahawa irihati dan dengki adalah masalah yang berpunca daripada diri sendiri walaupun pendengki seringkali menyalahkan orang lain.

24. Adalah tidak mustahil untuk mengelakkan sifat irihati dan dengki kerana sifat ini sebenarnya dapat disalurkan kepada sesuatu yang memberi kebaikan dan manfaat kepada organisasi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sdr penulis

Dalam abad ke -16, Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belasnya pernah menulis..

"Apabila dengki sudah bertanah,

Keluar daripadanya beberapa anak panah."

Maksudnya, apabila perasaan dengki di dalam hati seseorang sampai ke kemuncaknya (bertanah) maka akan berlakulah pelbagai serangan (beberapa anak panah)terhadap mangsa dengki melalui perbuatan khianat sama ada secara terang-terangan atau secara tersembunyi dengan tujuan untuk menjatuhkannya, merosakkan atau memusnahkannya.