Rabu, 2 November 2011

Dendaan Sebagai Jalan Mudah Menyelesaikan Masalah Disiplin Pelajar

1. Sekolah ditubuhkan untuk mendidik masyarakat supaya menjadi warganegara yang baik dan berguna pada masa akan datang.

2. Walaupun demikian, pada peringkat pertumbuhan sebagai seseorang manusia, pelajar-pelajar kita tidak dapat mengelakkan daripada melakukan kesilapan dan kesalahan.

3. Dalam hal ini, pihak sekolah akan sering menghadapi pelbagai masalah berkaitan disiplin pelajar.

4. Tingkahlaku yang dikatakan anti-sosial ini banyak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran, membuang masa pihak pentadbir sekolah dan menimbulkan masalah 'burnout' dalam kalangan guru.

5. Bagi mengatasi masalah ini, pihak sekolah akan mengambil pelbagai langkah yang kerap kali berbentuk dendaan seperti gantung asrama, gantung sekolah, berhenti sekolah dan lain-lain.

6. Tujuannya, bagi memberi pengajaran kepada pelajar yang bersalah dan pelajar-pelajar lain bahawa mereka boleh dihukum jika melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

7. Dendaan bermaksud mengenakan kesakitan dengan sengaja atau sesuatu yang tidak menyenangkan; oleh orang yang berautoriti; terhadap seseorang yang melanggar peraturan.

8. Kesukaran untuk mengawal disiplin pelajar yang terlalu ramai menyebabkan ada pihak sekolah mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah salah laku pelajar dengan melaksanakan dendaan.

9. Dalam hal ini, didapati dendaan yang dilakukan berbentuk tindakan pembalasan terhadap salah laku pelajar.

10. Dendaan berbentuk pembalasan ini sudah tentu tidak mendatangkan apa-apa perubahan positif kepada tingkah laku pelajar tersebut melainkan rasa tidak puas hati, dendam dan perubahan luaran yang hanya bersifat sementara.

11. Dalam konteks pendidikan, sesuatu kesilapan hendaklah diperbetul dengan cara mendidik dan memulih dan bukannya dengan cara mendenda.

12. Tujuan utamanya supaya pelajar yang bersalah itu sedar dan bertanggungjawab atas kesilapannya.

13. Kesedaran dan rasa tanggungjawab akan menyebabkan pelajar tersebut berusaha memulihkan tingkah lakunya supaya menjadi lebih baik.

14. Dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa pihak guru dibayar gaji dan diberi latihan profesional untuk mendidik pelajar (masyarakat)walau seteruk mana mereka sekalipun dan bukannya kita diupah untuk mendenda pelajar.

14. Sememangnya menyelesaikan masalah salah laku dengan cara mendenda lebih mudah daripada mendidik.

15. Ini kerana mendenda tidak memerlukan masa dan tenaga yang banyak berbanding mendidik. Mendidik memerlukan masa dan tenaga serta kesabaran yang tinggi untuk melakukannya.

16. Seorang guru yang profesional dan terlatih tidak akan menggunakan kaedah dendaan, melepaskan emosi marah atau membalas dendam terhadap pelajar-pelajarnya yang bermasalah

17. Ini kerana sebagai profesional, seseorang guru itu telah menerima pelbagai latihan dalam bidang psikologi, sosiologi pendidikan, pedagogi dan sebagainya.

18. Latihan profesional yang dilaluinya menjadikannya cekap dan mahir dalam menghadapi masalah disiplin pelajar serta berusaha membantu memperbaiki tingkah laku pelajarnya yang bermasalah.

19. Dalam hal ini, sebelum mengambil sesuatu tindakan, beliau akan memikirkan terlebih dahulu tentang kesan terhadap pelajar jika sesuatu tindakan pencegahan dikenakan.

20. Mana-mana salah laku sepatutnya diselesaikan dengan kaedah mendidik kerana sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan yang ditubuhkan untuk mendidik dan mencorakkan masyarakat yang akan menjadi orang dewasa pada masa akan datang.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setuju dgn artikel ni.. saya BODOH matematik sebab cikgu mate saya garang nak mampus.... salah je lari tiang gol ke tiang gol..apadehal... Unit kaunseling kena mainkan peranan... Kami Generasi Y dan Z.... Cikgu hgn treat student mcm zaman dulu...

Tanpa Nama berkata...

Salam,

1. Tak kira anda adalah generasi Y dan Z dan sebagainya. Guru adalah pemimpin. Tujuannya mulia untuk memimpin pelajar. Kenapa guru bertindak sedemikian? Berfikir secara positif, kalau negatif semuanya akan salah guru.

2.sabda Rasulullah :
"Barang siapa tidak menyukai sesuatu pada pemimpin, hendaklah ia bersabar, karena barangsiapa keluar dari pemimpin sejengkal saja, ia mati dalam keadaan mati jahiliyah." (Muttafaq Alaih).

"Barangsiapa menghina pemimpin (Muslim), maka Allah menghinanya." (Diriwayatkan At-Tirmidzi dan ia menghasankan hadits ini).

Tanpa Nama berkata...

salam cikgu saya bekas pelajar SMK Saribas...tahniah cikgu sbb dpt mentadbir sekolah ini dengan baik..Saya ternampak pelajar senior saya ada difoto FB sekolah ini,iaitu Cikgu Dickson. Tahniah kerana mnjd tanaga pengajar diSekolah tmpt dia menuntut dulu.Sekolah tmpt kami semua mengenal erti kehidupan yang sebenarnya.Didik anakbangsa hendaklah dari hati yang luhur, korban masa dan tenaga.Moga sekolah SMK Saribas akan byk lg produce more xcellent people.Haha,,sorry cikgu xnk comment article diatas.Lupa nama saya Ibrahim Zeman,Cikgu Dickson kenal saya.