1. Peter Drucker, seorang sarjana pengurusan pernah menyatakan bahawa aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi dalam abad ke-20 ialah harta modal bagi tujuan pengeluaran produk manakala aset yang paling berharga dalam sesebuah organisasi dalam abad ke-21 pula adalah pekerja berpengetahuan dan produktiviti tinggi yang mereka hasilkan.
2. Idea 'pekerja berpengetahuan' pertama kali dikemukakan oleh Peter Drucker dalam bukunya 'The Landmarks of Tomorrow' pada tahun 1959.
3.Pekerja berpengetahuan adalah individu-individu yang penting di dalam sesebuah organisasi yang berupaya untuk bertindak dan akan menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka dalam menyelesaikan sesuatu masalah di dalam organisasi.
4. Mereka sering membantu pemahaman menyeluruh tentang sesuatu isu di dalam organisasi melalui kajian.
5. Pekerja berpengetahuan menggunakan kemahiran penyelidikan untuk mentakrifkan masalah dan untuk mengenal pasti alternatif penyelesaiannya. Dalam hal ini pandangan dan kepakaran mereka digunakan oleh sesebuah organisasi untuk menyelesaikan masalah, mengatur strategi atau membuat keputusan.
6.Apa yang membezakan pekerja berpengetahuan dengan pekerja lain adalah tugas utamanya iaitu menyelesaikan masalah menggunakann pemikiran kritis dan kreatif.
7.Drucker pernah meramalkan bahawa akan berlaku peralihan tumpuan pengurusan organisasi perniagaan daripada kejayaan kerana keupayaan untuk mencipta produk baru kepada kejayaan atas keupayaan untuk menjana dan menggunakan pengetahuan baru.
8. Dalam hal ini, beliau mencadangkan bahawa usaha menjana produktiviti pekerja berpengetahuan menjadi tumpuan utama dalam pengurusan mmana-mana organisasi dalam abad ke-21.
9. Drucker (1999, p142) menyatakan bahawa terdapat enam faktor utama yang menjana produktiviti pekerja berpengetahuan.
a. "Produktiviti pekerja berpengetahuan menuntut kita bertanya soalan:" Apakah tugas mereka"?
b. Pekerja perlu bertanggungjawab menghasilkan produktiviti mereka sendiri. Pekerja berpengetahuan perlu diberi peluang mengurus diri mereka sendiri dan diberi autonomi dalam menjalankan tugas.
c. Menghasilkan inovasi berterusan menjadi sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab pekerja berpengetahuan.
d. Sebagai pekerja pengetahuan mereka memerlukan pembelajaran secara berterusan dalam menjalankan tugas. Selain itu, mereka juga perlu mahir memberi latihan kepada pekerja-pekerja lain secara berterusan.
e. Produktiviti pekerja berpengetahuan seharusnya mempunyai kuantiti dan kualiti yang tinggi.
f. Akhir sekali, pekerja berpengetahuan yang berproduktiviti tinggi memerlukan mereka dilayan sebagai 'aset' dan bukannya 'kos'atau 'beban'.
10. Beliau menambah bahawa untuk berjaya, sesebuah organisasi perlu memberi tumpuan tinggi kepada para pekerja berpengetahuan dan mereka perlu dianggap sebagai sebahagian dari sebuah sistem dalam organisasi, setanding dengan usaha memenuhi keperluan pelanggan dan mengatur strategi perniagaan.
11. Apakah implikasinya di dalam pengurusan sesebuah organisasi kerana ada pekerja berpengetahuan yang dianggap sebagai beban dan masalah kepada pihak tertentu jika 'disimpan' untuk jangka masa panjang di sesebuah organisasi...seperti nasib yang menimpa Hang Nadim dalam Peristiwa Singapura Dilanggar Todak...
12.....Di kawasan pantai yang penuh dengan mayat bergelimpangan terdampar, baginda telah mula berasa amat tertekan. Maka Raja Singapura mengarahkan orang yang ada disitu untuk terus ke tepi pantai berbaris, lalu dijadikan betis masing-masing sebagai pedinding dari serangan ikan todak.
13. Namun usahanya gagal. Seorang demi-seorang daripada mereka mati ditikam oleh ikan todak. Semua orang berada dalam ketakutan dan mereka menyangka tiada harapan lagi untuk bertahan.
14. Keadaan ini membuatkan Raja Singapura bertambah murka dan seraya mendakwa sesiapa yang lari akan dikira sebagai penderhaka kepada raja yang akan ditimpa tulah.
15. Maka ada seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun yang bijaksana bernama Hang Nadim. Beliau terus pergi untuk menghadap raja yang berdiri di situ. Hang Nadim terus mengemukakan cadangan lain kepada Raja Singapura.
16. Maka ada cadangan yang baik dari Hang Nadim bahawa elok jika dibariskan batang pisang untuk dijadikan kubu pertahanan. Akhirnya baginda bersetuju dengan cadangan Hang Nadim itu, lalu mengarahkan orang yang ada di situ untuk terus meninggalkan pantai untuk mencari batang pisang bagi dijadikan kubu.
17. Orang yang ada di situ terus gembira apabila titah baginda disambut dengan penuh sorakan dan mula meninggalkan pantai. Mereka terus ke kebun pisang untuk mencari batang pisang lalu dibawa ke pantai. Beberapa jam kemudian batang-batang pisang yang ada di situ terus dijadikan kubu. Kubu akhirnya siap dalam masa yang terdekat.
18. Tidak lama kemudian kebanyakan ikan todak telah menyerang semula dan akhirnya ikan todak telah tersangkut pada batang pisang. Rakyat Singapura yang melihat kejadian itu disambut dengan penuh kegembiraan dan sorakan penuh.
19. Apabila ikan todak berhenti menyerang orang ramai yang ada di situ mula ke pantai lalu membersihkan ikan todak itu. Singapura akhirnya bebas dari serangan ikan todak. Baginda telah memuji kejayaan Hang Nadim menumpaskan ikan todak lalu baginda menjemput Hang Nadim ke istana untuk menerima anugerah daripadanya.
20. Sementara itu di istana, kebanyakkan pembesar berasa iri hati dan mula berasa benci dengan kebijaksanaan dan populariti Hang Nadim kerana pada pengamatan mereka, apabila Hang Nadim sudah dewasa nanti, beliau mungkin akan diangkat tinggi dan kebarangkalian Hang Nadim akan merampas kuasa baginda raja dan memerintah Singapura pada suatu hari nanti.
21. Para pembesar yang iri hati telah berjaya menghasut Raja Singapura dengan berita fitnah tersebut. Raja Singapura yang mudah percaya akan dakwaan tersebut telah mengarahkan pembesar supaya membatalkan istiadat penganugerahan dan diganti dengan perlaksanaan hukuman bunuh.
22. Dengan mengucap salam ke atas ibunya, Hang Nadim mula pergi ke istana untuk menghadiri istiadat penganugerahan, tetapi sejurus sampainya ke istana, beliau mula merasakan ada yang tidak kena apabila pengawal istana terus menangkap Hang Nadim.
23. Keadaan menjadi tegang apabila beliau bukannya ke balai penghadapan tetapi diseret ke tengah halaman. Tanpa berlengah masa lagi baginda mengarahkan petanda supaya melaksanakan hukuman bunuh ke atas budak itu.
24. Hang Nadim mula menjerit kesakitan apabila ditikam oleh sebilah keris lalu mati dan mayatnya dicampakkan ke dalam laut Akhirnya Hang Nadim telah menemui ajalnya akibat perbuatan khianat pada umur semuda sepuluh tahun.
25. Hang Nadim bolehlah dianggap contoh baik seorang pekerja berpengetahuan yang membantu organisasinya (Singapura) untuk menyelesaikan masalah serangan ikan todak. Idea kreatifnya mampu menyelamatkan banyak nyawa rakyat di Singapura.
26. Namun, sesuatu idea baru yang luar biasa sukar diterima oleh sesetengah ahli yang mempunyai kepentingan tertentu di dalam organisasi. Sesuatu kebaikan boleh disalah tafsir atau sengaja dimanipulasi dengan tujuan untuk menjatuhkan mana-mana pekerja yang berpengetahuan demi kepentingan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan