1. Syabas kepada sekolah-sekolah yang mendapat ranking dan band yang baik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP). Melalui program ini, prestasi sekolah diukur melalui Gred Purata Sekolah (GPS) dalam peperiksaan awam dan skor penarafan kendiri sekolah menggunakan SKPM (Standard Kualiti Pendidikan Malaysia).
2. Kita dapati di sini, kejayaan sesebuah sekolah dilihat bukan sahaja daripada kecemerlangan pelajar-pelajarnya, tetapi juga dari segi produktiviti guru dan yang lebih penting kempimpinan serta kegigihan pengetuanya.
3. Amalan di Malaysia, selalunya seorang guru yang berpengalaman dilantik sebagai pengetua di sesebuah sekolah menengah atau guru besar di sekolah rendah. Namun, pengalaman sebagai guru di bilik darjah belum memadai untuk seseorang itu mengetuai satu organisasi pendidikan yang kompleks dan sentiasa berubah.
4. Bagi mencapai matlamat organisasi pendidikan, pengetua perlu memainkan dua peranan utama iaitu sebagai pentadbir sekolah dan sebagai pemimpin pengajaran ( kepimpinan instruksional).
5. Tugas ikhtisas utama pengetua ialah sebagai pemimpin pengajaran manakala tugas pentadbiran adalah bersifat sampingan. Walaupun demikian didapati bahawa pengetua banyak menghabiskan masa dengan kerja-kerja pentadbiran berbanding sebagai pemimpin pengajaran.
6. Keadaan ini menyebabkan pengabaiaan tugas utama pengetua terhadap kepimpinan pengajaran yang seterusnya memberi kesan negatif terhadap GPS prestasi akademik peperiksaan awam. Ini kerana banyak tugas akan diserahkan kepada penolong-penolong kanan dan guru-guru lain.
7. Pengetua yang berprestasi tinggi bukan sahaja mampu mengurus sekolah dengan baik, tetapi juga bijak menguruskan masanya. Hasilnya produktiviti kerja yang tinggi. Sebaliknya, jika seseorang pengetua itu tidak mampu mengurus masanya dengan baik sudah tentu tugas beliau akan menghadapi pelbagai masalah.
8. Antaranya ialah pengabaian terhadap tugas dan kerjanya sendiri. Misalnya, pengetua terpaksa meminta tolong guru lain menggantikan tugas pengajaran dan pembelajarannya di bilik darjah. Pencerapan pengajaran guru juga tidak dapat dilaksanakan kerana masa lebih digunakan untuk tujuan lain. Kesannya prestasi dan kualiti pengajaran guru tidak dapat dipantau dengan berkesan.
9. Selain itu, kesibukan pengetua dengan aktiviti luar menyebabkan kemerosotan pencapaian akademik sekolah . Kerja pengurusan akademik diserahkan sepenuhnya kepada Penolong Kanan atau guru-guru tertentu yang diberikan kuasa terhad dalam membuat keputusan. Kesannya, pelaksanaan program akademik tidak dapat dilakukan dengan berkesan kerana kuasa mereka hanya untuk membuat keputusan-keputusan kecil.
10. Visi sekolah tidak dapat dicapai manakala misi sekolah akhirnya tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
11. Masalah seterusnya ialah pengetua menjadi kurang fokus dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. Kesannya, kebanyakan program terutamanya akademik di sekolah hanya dilaksanakan secara ad hoc tanpa strategi dan perancangan yang rapi. Hasilnya sudah tentu kemerosotan prestasi pelajar di dalam peperiksaan awam.
12. Itulah rasionalnya melalui sub-NKRA, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan Tawaran Baru kepada pemimpin sekolah dalam usaha untuk meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah di Malaysia
12. Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang menjadi visi Kementerian Pelajaran Malaysia. Namun sejauh manakah visi ini akan menjadi realiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan