Khamis, 27 Oktober 2011

Iklim sekolah tertutup...menutup masa depan semua..

1. Iklim sekolah dapat dianggap sebagai "keperibadian" sesebuah sekolah yang dilihat sama ada iklim terbuka atau tertutup.

2. Antara ciri yang tersendiri iklim terbuka adalah ketulenan tingkah laku ibu bapa dan guru-guru. Pengetua pula memimpin melalui teladan, mempunyai hala tuju, serta sentiasa memberi sokongan dan pertimbangan.

3. Sekolah beriklim terbuka tidak hanya mementingkan pencapaian tugas atau hanya memenuhi keperluan sosial semata-mata, tetapi mencakupi kedua-duanya secara serentak.

4. Iklim tertutup pula berlawanan dengan iklim terbuka. Pengetua dan guru-guru hanya melakukan kerja-kerja rutin serta menekankan dan kerja-kerja yang tidak perlu.

5. Guru-guru pula hanya memberi tindak balas yang minimum dalam sesuatu isu serta sering mempamerkan rasa tidak puas hati.

6. Kepimpinan pengetua yang tidak berkesan dapat dilihat melalui pelbagai sekatan dan pengawasan rapi terhadap tingkah laku guru dan pelajar; yang lebih bersifat peribadi dan tidak bertimbang rasa

7. Antara punca berlakunya iklim sekolah 'tertutup' atau 'tidak sihat' adalah kerana pada masa tertentu ada individu dalam organisasi sekolah yang hanya memberi penekanan kepada pencapaian matlamat unit kecil sehingga mengabaikan matlamat utama sekolah.

8. Ini disebut "penggantian matlamat" iaitu lebih mementingkan cara daripada hasil. Misalnya ada guru yang terlalu mengambil berat aspek disiplin pelajar sehingga mengabaikan aspek utama iaitu akademik.

9. Kesan "penggantian matlamat" ini ialah wujudnya pelbagai peraturan ketat disiplin sehingga menyebabkan ada pelajar terpaksa berhenti sekolah (meninggalkan dunia akademik) semata-mata kerana mereka tidak memenuhi piawaian peraturan disiplin yang ditetapkan.

10. Sepatutnya disiplin menyokong akademik bukannya menguasai akademik. Keadaan ini akan menimbulkan banyak masalah disiplin dan pada masa yang sama akan menjatuhkan prestasi akademik. Ini disebut penggantian matlamat.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam, idea-idea yang dikongsikan sangat berfaedah. Syabas. Walau bagaimanapun terdapat juga idea-idea yang bercanggahan dengan idea-idea orang lain. Sesungguhnya tuhan telah mencipta manusia daripada pelbagai golongan kerana terdapat hikmah disebaliknya.

1. Disiplin adalah selari dengan akademik. Tanpa disiplin kejayaan yang diperolehi pasti tiada manisnya.

2. Benarkah pelajar meninggalkan dunia akademik kerana peraturan disiplin yang ketat seperti yang dinyatakan pada para 9. Kajian manakah yang menyokong fakta ini. Ataupun luahan emosi semata-mata. Disiplin yang dilaksanakan di sekolah adalah berdasarkan yang jelas daripada KPM, tersurat dalam bentuk dokumen rasmi dan tiada pilih kasih. Mereka yang melanggarnya merupakan anti-guru, anti-pelajar, anti sekolah bahkan anti-masyarakat yang menamanahkan sekolah sebagai institusi pendidikan yang mulia.

3. Rata-rata pelajar yang berjaya adalah pelajar yang berdisiplin. Sanggup bersengkang mata menalaah hingga lewat malam. Adakah ciri-ciri ini ada pada pelajar sekeliling anda!

4. Adakah kelas-kelas yang anda ajar sebagai guru bersih sebersihnya tanpa ada secebis sampah dilantai atau cerminnya tiada sekelumit habuk!. Itulah disiplin yang mencerminkan siapa pelajar itu.

5. Disiplin memang menyokong akademik seperti di para 10. Tetapi jika pentadbir tidak atau gagal bertindak ke atas kecacatan disiplin waima di depan matanya, itu bukanlah pentadbir yang prihatin ke atas kejayaan pelajar. Pentadbir ini hanyalah ber"teori" semata-mata.

6. Disiplin dalam erti kata yang sebenar adalah sangat luas. Kuku panjang pun merupakan satu isu disiplin, gigi kuning kerana malas gosok gigi pun satu isu didiplin. Tanpa disiplin tiadalah kejayaan yang bermakna. Sekian

Tanpa Nama berkata...

Salam...

1. Pada pendapat saya contoh yang penulis maksudkan mungkin ada pihak sekolah terlalu menumpukan kepada aspek penguatkuasaan undang-undang ketat disiplin.

2.Pemberatan terhadap disiplin pelajar menjadikan mereka terpenjara.

3. Disiplin dapat dibentuk dengan cara mendidik dan bukannya dendaan.

4. Selain itu, tidak ada usaha langsung daripada untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam peperiksaan awam.

4. Sedangkan tujuan utama sekolah ditubuhkan di mana-mana tempat untuk mendidik dan memberi pelajaran kepada masyarakat.

5. Kalau satu bahagian sahaja diutamakan (disiplin) tetapi bahagian utama (akademik) tidak ditumpukan, mana mungkin sekolah tersebut akan berjaya.

6. Ini dinamakan penggantian matlamat...yang utamka dikesampingkan manakala yang sampingan diutamakan...lebih kuah daripada isi...isi tak banyak tapi kuahnya yang lebih...

Tanpa Nama berkata...

Salam.

1. Kenapa ada sekolah yang sanggup melarang pelajarnya mengambil peperiksaan awam. Salah satu sebabnya ialah sekolah mementingkan akademik dan tidak mahu pihak atasan mempersoalkan mereka kenapa prestasi sekolah menurun dan sebagainya.

2. Jadi, bolehlah diandaikan bahawa semua sekolah mementingkan akademik.

3. Masalahnya ada pihak menggunakan istilah penggantian matlamat kerana kegagalan mereka sendiri dalam mengurus disiplin pelajar mereka. Jadi wajar bagi mereka mencari alasan awal jika pencapaian akademik di bawah penyeliaan masing-masing menurun sedangkan hakikatnya banyak bahagian/jabatan menumpukan usaha untuk mencapai kecemerlangan daripada mencari alasan yang menunjukkan kelemahan sendiri.

4. Oleh itu matlamat sekolah adalah tetap tidak berubah, cuma yang berubah siapa yang mengendalikan sekolah itu dan siapa yang tidak menyokong kepimpinan sekolah sentiasa mencari ruang untuk menyalahkan sekolah.

5. Akhir sekali:
Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kalian." (An-Nisa': 59).

Sabda Rasulullah saw., "Barangsiapa taat kepadaku, ia taat kepada Allah. Barangsiapa bermaksiat kepadaku, ia bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa taat kepada pemimpinku, ia taat kepadaku. Dan barangsiapa bermaksiat kepada pemimpinku, ia bermaksiat kepadaku." (Muttafaq Alaih)