Rabu, 26 Oktober 2011

Keputusan hendaklah berasaskan penyelidikan...

1. Kehidupan sebagai masyarakat bertamadun membuatkan kita sering berdepan dengan pelbagai masalah yang memerlukan jawapan untuk menyelesaikannya.

2. Penyelesaian masalah ini memerlukan kita membuat keputusan.Dalam membuat keputusan pula kita berhadapan dengan pelbagai risiko.

3. Bagi mengurangkan risiko, kita hendaklah melakukan proses mengumpul, menganalisis, dan mentafsir data untuk membuat keputusan. Proses ini dinamakan penyelidikan.

4. Rasanya pelik jika pihak pengurusan sesuatu organisasi pendidikan membuat keputusan penting hanya berdasarkan andaian.

5. Andaian bahawa sesuatu keputusan diambil berdasarkan sangkaan-sangkaan, kebiasaan dan amalan yang pernah dilakukan oleh sekolah lain tidak akan memberi makna kepada keberkesanan sesuatu tindakan yang bakal diambil dalam konteks sesebuah sekolah.

6. Sedangkan apabila dilakukan kajian didapati bahawa tindakan yang diambil berdasarkan andaian tidak memberi gambaran sebenar tentang senario yang berlaku di sekolah.

7. Misalnya, pengharaman penggunaan laptop dalam kalangan pelajar atas alasan pelajar mudah mengakses laman web lucah merupakan satu keputusan yang tidak berasaskan kajian.

8. Keputusan boleh mengundang kepada masalah besar dalam perkembangan ilmu pengetahuan pelajar kerana di dalam internet bukan sahaja terdapat laman web lucah, sebaliknya banyak lagi gedung ilmu pengetahuan dan maklumat yang boleh pelajar perolehi.



9. Keputusan sebegini sememangnya bertentangan dengan hasrat kerajaan melalui Teras 2 : Pelan Induk Pembangunan Pendidikan iaitu untuk Membangunkan Modal Insan.

10. Dalam Teras 2 ini dinyatakan bahawa pembangunan modal insan termasuk melengkapkan diri pelajar dengan kebolehan menggunakan ICT dengan baik. Ini dapat dilihat pelaksanaannya melalui pemberian percuma Laptop 1 Malaysia kepada pelajar-pelajar yang layak.

11. Jika kajian dilakukan sekalipun mendapati penggunaan laptop di sekolah mendatangkan masalah kepada pelajar, tindakan mendidik etika penggunaan internet adalah lebih berkesan dalam tempoh jangka masa panjang berbanding dengan mengambil keputusan mudah dengan terus mengharamkan pelajar membawa laptop.

12. Institusi pendidikan merupakan sebuah organisasi keilmuan. Sudah pasti mana-mana aspek terutamanya dalam pembuatan keputusan hendaklah berasaskan kajian.

13. Andaian semata-mata dengan tujuan mencapai matlamat segera dan untuk mengelabui pandangan umum akan menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan warga pendidik dan yang akan menjadi mangsa adalah pelajar.

Tiada ulasan: